Categories
EXCO SELANGOR

Sektor makanan, minuman kluster kelima penting Selangor

SHAH ALAM, 4 MAC: Sektor makanan dan minuman menjana RM18 juta nilai pelaburan selain membuka 50,000 peluang pekerjaan di negeri ini, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata kejayaan itu didorong polisi Kerajaan Negeri yang membuka ruang kepada syarikat pembuatan mengeksport produk itu ke seluruh dunia.

“Paling membanggakan apabila usahawan industri kecil dan sederhana meningkat setiap tahun.

“Usahawan mikro produk makanan dan minuman memberi impak memacu pertumbuhan ekonomi sehingga sektor tersebut menjadi kluster kelima terpenting di Selangor,” katanya pada Program ‘Pocket Talk: Industri Makanan dan Minuman Selangor 2020 di Hotel Concorde di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan CEO Central Spectrum (M) Sdn Bhd Mohamad Razif Abdul Wahab.

Sementara itu, Chang Khim berkata Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 14 hingga 17 Oktober depan menyasarkan transaksi perniagaan bernilai RM350 juta.

Katanya, acara empat hari itu membabitkan penyertaan lebih 800 pempamer dan dijangka menerima 40,000 pengunjung.

“SIBS 2020 meliputi empat acara besar iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor, Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor-ASEAN serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor.

“Acara sampingan termasuk Pameran Kopi & Teh Antarabangsa Malaysia, Persidangan Halal Antarabangsa Selangor dan Festival Kulinari Selangor,” katanya.