Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor yakin patahkan sayap Lang Merah malam ini – FAS

SHAH ALAM, 15 MAC: Selangor optimis mampu mematahkan sayap Lang Merah dalam perlawanan keempat CIMB Liga Super 2020 walaupun beraksi tanpa penyokong di Stadium Darul Aman, Alor Setar jam 9 malam ini.

Jurucakap Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkata skuad Gergasi Merah akan menjelmakan aksi mantap untuk mengutip tiga mata sebelum kejohanan ditangguh sementara susulan wabak Covid-19.

“Pertemuan kedua-dua pasukan bakal menjadi pertembungan menarik tetapi (yakin) Selangor akan berjaya membawa pulang mata penuh dari negeri jelapang padi sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah,” kata FAS dalam kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini.

Sementara itu, pertahanan tengah Selangor, Rodney Celvin ketika dihubungi berkata walaupun bukan mudah menjinakkan juara bertahan Piala FA, namun dia akan memastikan benteng pasukan sukar ditembusi lawan.

“Misi kami untuk mengutip tiga atau satu mata malam ini tetapi kami tahu Kedah merupakan pasukan yang kuat, jadi perlawanan dilihat bukan mudah.

“Bagaimanapun, pasukan kami tidak berdepan sebarang tekanan untuk memburu kemenangan kerana paling penting kami perlu fokus 100 peratus,” katanya.

Tiga perlawanan sebelum ini menyaksikan Selangor menghuni kedudukan kelima liga dengan kutipan lima mata manakala Kedah belum menemui sentuhan kemenangan berada di tangga ke-10 dengan satu mata.