Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor berkenan inisiatif tambah CCTV di seluruh negeri

SHAH ALAM, 16 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan dengan inisiatif Kerajaan Negeri menambah 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negeri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah langkah itu bagi mewujudkan negeri yang selamat didiami oleh rakyat.

“Beta turut dimaklumkan Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi pelaksanaan Skim Polis Bantuan di pihak berkuasa tempatan.

“Beta berkenan dengan langkah dan inisiatif Selangor mewujudkan negeri yang selamat didiami oleh rakyat jelata,” titah baginda pada istiadat pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor penggal ke-14 di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta sebagai geran komuniti untuk meningkatkan aspek keselamatan serta memberikan kesedaran kepada komuniti berhubung kepentingan mewujudkan suasana tempat tinggal selamat, aman dan harmoni.