Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan Sharafuddin yakin Dasar Kelulusan 100 Hari rancakkan ekonomi Selangor

SHAH ALAM, 16 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yakin kerancakan ekonomi yang sedang dinikmati negeri ini akan diperkemaskan dengan adanya Dasar Kelulusan 100 Hari.

Titah baginda, dasar yang pertama di Malaysia akan merancakkan pertumbuhan ekonomi di Selangor serta memudahkan sebarang kelulusan perniagaan dan pelaburan.

“Dasar Kelulusan 100 Hari merupakan penambahbaikan daripada proses kelulusan yang sebelum ini mengambil masa 270 hari.

“Justeru, jumlah pelaburan di Selangor pada tahun ini dijangka  RM12 bilion  tetapi dalam keadaan ekonomi suram akibat perang dagang China-Amerika Syarikat, ketidakstabilan politik di Timur Tengah serta yang terbaharu ancaman Covid-19  unjuran ekonomi diramal sederhana iaitu 3.2 peratus hingga 4.2 peratus,” titah baginda.

Beliau bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2020 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan Dasar Kelulusan 100 hari bagi proses pembangunan tanah berkuat kuasa serta-merta bertujuan mempercepatkan kelulusan.

Kelulusan itu membabitkan kebenaran merancang (KM), pelan bangunan (PB) dan pelan infrastruktur (PI).