Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga daerah di Selangor diisytihar zon merah Covid-19

SHAH ALAM, 27 MAC: Tiga daerah di Selangor diisytihar sebagai zon merah wabak Covid-19 selepas merekodkan lebih 41 kes setakat ini.

Mengikut statistik di Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Petaling Jaya mencatatkan taburan kes tertinggi iaitu sebanyak 167 kes diikuti Hulu Langat (132) dan Gombak (53).

Lapan kawasan lain turut dikategorikan memasuki zon merah ialah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (167 kes); Seremban, Negeri Sembilan (78 kes) dan Johor Bahru, Johor  (68 kes).

Selain itu, Kluang, Johor pula mencatat 54 kes; Titiwangsa, Kuala Lumpur (49 kes); Kota Bharu, Kelantan (48 kes); Hilir Perak (48 kes) dan Kinta, Perak (41 kes).

Susulan itu, KKM mengingatkan orang ramai yang berada di daerah terbabit meningkatkan langkah pencegahan terutama duduk di rumah bagi membendung pertambahan kes Covid-19.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mana-mana kawasan atau daerah yang mempunyai lebih 40 kes jangkitan Covid-19 akan disytiharkan sebagai zon merah.