Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hanya satu zon merah Covid-19 di Selangor

SHAH ALAM, 13 JUN: Hanya satu zon merah Covid-19 direkodkan di negeri membabitkan 62 kes aktif di Hulu Langat, demikian menurut data Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Selain Hulu Langat, semalam Selangor mempunyai dua zon merah iaitu Sepang dengan 68 kes aktif.

Namun disebabkan kes pulih tinggi di Sepang hari ini membolehkan ia berjaya diklasifikasi sebagai zon kuning dengan 37 kes aktif.

“Kes discaj yang tinggi menjadikan mukim Labu (dalam Sepang) menjadi zon kuning hari ini. Daerah Sepang juga telah keluar dari zon merah menjadi zon kuning. Syabas Selangor!

“Amalkan norma baru agar jangkitan dapat diputuskan menjadikan Selangor bebas Covid-19,” katanya menerusi Twitter.

Sementara itu Klang yang mempunyai satu kes aktif dan berpotensi berubah status kepada zon hijau tidak lama lagi, begitu juga bagi Hulu Selangor yang kini mencatatkan dua kes aktif.

Malaysia mencatatkan 43 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah positif sebanyak 8,445 hari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga daerah di Selangor diisytihar zon merah Covid-19

SHAH ALAM, 27 MAC: Tiga daerah di Selangor diisytihar sebagai zon merah wabak Covid-19 selepas merekodkan lebih 41 kes setakat ini.

Mengikut statistik di Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Petaling Jaya mencatatkan taburan kes tertinggi iaitu sebanyak 167 kes diikuti Hulu Langat (132) dan Gombak (53).

Lapan kawasan lain turut dikategorikan memasuki zon merah ialah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (167 kes); Seremban, Negeri Sembilan (78 kes) dan Johor Bahru, Johor  (68 kes).

Selain itu, Kluang, Johor pula mencatat 54 kes; Titiwangsa, Kuala Lumpur (49 kes); Kota Bharu, Kelantan (48 kes); Hilir Perak (48 kes) dan Kinta, Perak (41 kes).

Susulan itu, KKM mengingatkan orang ramai yang berada di daerah terbabit meningkatkan langkah pencegahan terutama duduk di rumah bagi membendung pertambahan kes Covid-19.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mana-mana kawasan atau daerah yang mempunyai lebih 40 kes jangkitan Covid-19 akan disytiharkan sebagai zon merah.