Categories
AGENSI SELANGOR

1,700 mahasiswa dapat manfaat Khidmat Bantuan Belia Siswa

SHAH ALAM, 8 APRIL: Seramai 1,700 mahasiswa dijangka menerima manfaat daripada Khidmat Bantuan Belia Siswa yang digerakkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor.

Timbalan Presiden GPMS Syed Mohsen Syed Bakar Alkaff berkata jumlah itu membabitkan lapan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Selangor yang memerlukan bekalan makanan kering susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebanyak 350 rumah sewa pelajar dengan purata setiap isi rumah seramai lima orang
dikenal pasti layak menerima bantuan bekalan makanan melalui program ini.

Timbalan Presiden GPMS, Syed Mohsen Syed Bakar Alkaff

“Pelajar boleh membuat permohonan bantuan menerusi borang google dengan mengemukakan alamat, nama universiti atau kolej dan bilangan isi rumah,” katanya ketika ditemui pada pelepasan Konvoi Khidmat Bantuan Belia Siswa GPMS Selangor di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini hari ini.

Konvoi bermula kira-kira jam 1.30 petang itu menuju ke empat daerah di Selangor antaranya Sepang, Cyberjaya, Shah Alam dan Subang.

Sementara itu Setiausaha GPMS Selangor Muhamad Tassim Zainal berkata aktiviti sukarelawan seperti itu pendekatan untuk berbakti kepada masyarakat khususnya pelajar yang terkesan dengan arahan PKP ketika ini.

”Saya terlibat secara langsung dengan program sukarelawan sejak sekolah menengah lagi bermula di peringkat komuniti taman kemudian daerah, negeri dan kebangsaan,” katanya yang juga penuntut tahun pertama Sarjana Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).