Categories
AGENDA SUKANKINI

AFC tangguh pertandingan dijadual Mei, Jun

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan untuk menanguhkan semua perlawanan dan pertandingan yang dijadualkan berlangsung dalam Mei dan Jun, sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Ia disebabkan pelaksanaan pelbagai langkah pencegahan dan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh beberapa negara dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Dalam satu kenyataan di sini AFC berkata keputusan itu juga selaras dengan komitmen pihaknya dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan pemain, pasukan yang mengambil bahagian, para pegawai, peminat dan semua pemegang taruh, semasa tercetusnya pandemik Covid-19.

“AFC juga sentiasa berhubung dan berbincang dengan ahli persatuan yang mengambil bahagian dalam Kejohanan-kejohanan Kelab AFC, dan akan meninjau semua kemungkinan pilihan untuk bertanding dalam Liga Kejuaraan AFC dan Piala Peringkat Kumpulan AFC,” katanya.

Badan pentadbir bola sepak piala Asia itu memantau dengan rapi perkembangan pandemik Covid-19, dan sebelum ini menangguhkan semua perlawanan dijadual berlangsung dalam Mac dan April selepas mengadakan siri mesyuarat tergempar di Delhi, Doha, Dubai and Kuala Lumpur.

-BERNAMA