Categories
RENCANA WAWANCARA

Cabaran mengajar dalam talian semasa PKP

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Penutupan sekolah dan pusat pengajian tinggi yang dilanjutkan selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan memberi cabaran baharu kepada warga pendidik untuk memastikan pelajar mereka terus dapat belajar.

Pembelajaran dalam talian terutama google classroom yang diamalkan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terbukti cukup membantu guru dan pensyarah selain aplikasi zoom bagi membolehkan interaksi secara terus dengan pelajar dapat dilakukan.

Para guru dan pensyarah turut memanfaatkan media sosial seperti whatsapp dan telegram dengan sebaik-baiknya untuk menyampaikan pelbagai maklumat, arahan dan latihan.

Semuanya ini untuk memastikan pembelajaran pelajar tetap lancar walaupun mereka tidak berada di dalam kelas dan bilik kuliah.

Bagaimanapun, tidak semua mendapat manfaat tersebut kerana pembelajaran dalam talian hanya berkesan sekiranya capaian internet dapat dinikmati secara meluas bukan sahaja di bandar tetapi juga di luar bandar dan kawasan pedalaman.

Ini adalah antara cabaran utama dalam usaha kerajaan mengoptimumkan sepenuhnya pembelajaran dalam talian dalam sistem pendidikan negara, lebih-lebih lagi sepanjang tempoh PKP ini.

Belum bersedia sepenuhnya

Apa yang ketara sekarang ialah ada hikmahnya di sebalik krisis akibat penularan penyakit Covid-19 ini. Pihak yang berkenaan boleh melihat sendiri bahawa bidang pembelajaran dalam talian masih belum mencapai tahap yang memuaskan dan mereka perlu lebih fokus dalam hal berkenaan.

Menurut Pensyarah Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, jika sebelum ini pembelajaran dalam talian hanyalah satu pilihan, tetapi dengan penguatkuasaan PKP, ia menjadi suatu keperluan.

Beliau menjelaskan, apabila kerajaan melanjutkan tempoh PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac kepada 14 April, pembelajaran dalam talian adalah pilihan terbaik kerana kebanyakan pelajar masih berada di rumah masing-masing.

“Cuma pensyarah kena bersedia dengan bahan mengajar sebelum melaksanakan pembelajaran dalam talian. Mereka perlukan sedikit masa untuk menyediakannya.

“Selain tu pensyarah juga harus meningkatkan kemahiran dalam teknologi maklumat, pegagogi dan penilaian dalam talian,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Anuar, semua universiti mempunyai platform pembelajaran dalam talian namun isu utama yang dihadapi ialah capaian internet dalam kalangan pelajar.

“Tidak semua pelajar ada capaian internet yang baik di kediaman masing-masing khususnya di kampung dan pedalaman. Jadi pembelajaran dalam talian secara terus seperti aplikasi zoom mungkin pilihan kedua.

“Pilihan yang baik ialah dalam talian yang bukan real time seperti menggunakan google classroom, telegram dan sebagainya,” katanya, sambil menambah, jika melihat keadaan semasa, Malaysia belum bersedia sepenuhnya menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian berikutan kekurangan prasarana, internet terutama di luar bandar.

Masih belum optimum

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran mengakui penggunaan pembelajaran dalam talian di peringkat universiti belum lagi sampai ke tahap maksimum.

Ini memandangkan kaedah bersemuka dengan pelajar tetap menjadi pilihan.

Menurut beliau, apabila berlaku krisis yang dialami sekarang, adalah baik sekali untuk untuk melihat semula sistem yang kita ada dan bagaimana untuk meningkatkan lagi keberkesanannya.

“Sudah tiba masanya untuk kita memantapkan lagi proses pembelajaran dalam talian di negara kita, sama seperti yang dilaksanakan di beberapa buat negara maju.

“Walaupun mereka tidak mempunyai Covid -19 ketika itu tetapi mereka sudah pun merealisasikan dan mengaplikasikan pembelajaran dalam talian. Walaupun tidak 100 peratus tetapi dibina sistem sedemkian,” katanya.

Universiti di Malaysia, tambah beliau, tidak mempunyai masalah untuk mengaplikasikan pembelajaran dalam talian kerana jaringan internet yang baik.

Jika ada pun yang bermasalah, jelas beliau, ia mungkin hanya lima peratus atau kurang.

Bagaimanapun, pembelajaran dalam talian masih boleh dilakukan melalui cara lain, antaranya melalui rakaman video yang boleh dihantar kepada pelajar melalui WhatsApp atau Telegram.

“Ini juga masih boleh dilaksanakan (pengajaran melalui video) sekiranya pembelajaran dalam talian tidak boleh dilaksanakan kepada pelajar disebabkan jaringan internet yang bermasalah,” katanya.

Menurut Mohammad Shatar, pembelajaran dalam talian bukan perkara baharu di universiti terutama bagi pengajaran di luar kampus dan di pesisir yang mana pelajar tidak perlu datang ke pusat kampus.

“Semua pembelajaran dilakukan secara dalam talian termasuk persidangan dan sebagainya. Di UPSI sendiri ada beberapa pelajar pesisir seperti di Sibu, Tawau, Kota Kinabalu dan Indonesia. Kini UPSI merancang untuk menambah lagi kampus di beberapa negara seperti di Asia Barat dan China.

“Pastinya kalau tidak ada pembelajaran secara dalam talian ini, ia menjadi satu perkara yang amat mendatangkan masalah dan meningkatkan logistik kepada pensyarah dan sebagainya,” katanya.

Perlu capaian internet lebih baik

Sementara itu, Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia, Cheras, Haslindar Nor Ismail berkata tempoh PKP yang dilanjutkan memberi kesan kepada pengajaran di sekolah terutama silibus yang ditetapkan KPM.

Bagi memastikan pelajarnya tidak ketinggalan, beliau memulakan pembelajaran dalam talian menggunakan google classroom sejak PKP mula dilaksanakan 18 Mac lalu.

Sayangnya, tidak semua pelajar masuk ke dalam kelas maya itu, kata Haslindar yang berpengalaman mengajar hampir 20 tahun.

“Terdapat banyak kekangan dalam kalangan murid. Mereka masih belum dapat menyesuaikan diri memasuki kelas maya seperti ini kerana suasananya yang berbeza daripada kelas harian biasa,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, halangan lain yang menyebabkan mereka tidak dapat turut serta dalam kelas maya disebabkan tiada kemudahan internet dan peralatan.

Menurut beliau, ramai dalam kalangan pelajar berasal daripada keluarga miskin bandar yang mana mereka tidak mempunyai telefon pintar, komputer riba atau komputer di rumah.

“Mereka juga tidak mempuyai capaian internet. Jadi sukar untuk mengoptimumkan pengajaran dan pembelajaran dalam talian ini,” katanya.

Beliau berkata tidak hanya murid, guru yang tinggal di luar bandar terutamanya juga berhadapan dengan masalah pengajaran di alam maya disebabkan capaian internet yang lemah.

Selain itu menurut beliau, masih ramai lagi guru yang kurang berkemahiran dalam penggunaan teknologi maklumat bagi membolehkan mereka menyampaikan bahan pengajaran dalam talian.

“KPM memperkenalkan pelbagai kaedah pengajaran dalam talian. Jika sebelum ini pengajaran dalam talian hanya sebagai bahan bantu mengajar bukan dikira kaedah utama pembelajaran.

“Tetapi apabila berlaku krisis dan PKP dikuatkuasakan, pengajaran dalam talian sudah dikira sebagai kaedah utama pembelajaran. Jadi sudah tiba masanya untuk kita mantapkan lagi pembelajaran dan pengajaran dalam talian ini terutamanya untuk kegunaan pada masa akan datang,” katanya.

-BERNAMA