Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN RENCANA WAWANCARA

Pakar: Sedia perubahan iklim, Putrajaya harus bantu negeri

SHAH ALAM, 9 MAC: Benarkah banjir teruk di Selangor dan Pahang akibat taburan hujan luar biasa di Banjaran Titiwangsa? Apakah amaran hujan lebat sudah dikeluarkan?

Untuk mengelak banjir besar berulang, apakah tindakan yang harus diambil oleh Putrajaya? Wajarkah kerajaan melabur berbilion-bilion ringgit untuk membina terowong banjir di bawah tanah?

Ada orang mendakwa taufan di Filipina menyebabkan hujan lebat ke Selangor dan negeri Pantai Barat pada Disember lalu. Apakah benar taufan Rai puncanya?

Selain bersetuju dengan langkah Selangor menangani perubahan iklim, Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudera Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah mengulas isu-isu menarik ini kepada wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK pada 1 Mac.


Boleh Datuk huraikan sistem tekanan rendah di Banjaran Titiwangsa yang menyebabkan hujan lebat hingga banyak kawasan terjejas teruk dilanda banjir termasuk Selangor?

Dalam membuat ramalan, saya menggunakan pelbagai sumber ada termasuk disediakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengetahui paras sungai. Saya juga guna sumber luar seperti laman sesawang Earth Nullschool yang mengumpul data daripada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat dan Sistem Ramalan Sejagat (GFS).

Sumber-sumber ini membantu dalam kami membuat ramalan cuaca dan ia boleh disebarkan kepada umum supaya mereka mengambil langkah sewajarnya sesuai dengan situasi semasa.

Data tekanan rendah ini dikesan di Laut China Selatan pada 15 Disember 2021, dibawa angin dari China dan mula memasuki Semenanjung Malaysia menerusi Banjaran Titiwangsa pada keesokan harinya, seawal jam 10 pagi yang secara perlahan-lahan meliputi kawasan luas.

Tekanan dibawa luruan udara sejuk atau monsun, yang bertembung angin kencang selaju 30 hingga 40 km sejam, turut membawa kelembapan yang boleh menyebabkan taburan hujan tinggi untuk jangka panjang dan inilah yang dibawa ke Banjaran Titiwangsa.

Mulanya kami meramal pergerakannya ke Pantai Timur tetapi memasuki pertengahan Banjaran Titiwangsa (pada 16 Disember) disebabkan angin kencang. Jadi kawasan tanah tinggi itu terima hujan tinggi. Bayangkan dalam tiga jam sahaja, ia merekodkan 22 milimiter (mm) yang kemudiannya meningkat sehingga 110 mm.

Pastinya jumlah air di banjaran juga banyak apabila hujan berlarutan sehingga petang 19 Disember 2021. Apabila tidak dapat ditampung, ia mengalir dengan laju dan memasuki alur-alur sungai termasuk ke Selangor.

Penduduk setempat melakukan kerja-kerja pembersihan sekitar pekan Yan yang terjejas akibat tragedi banjir susulan fenomena kepala air sekitar kawasan Gunung Jerai ketika tinjauan pada 20 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Ia juga membentuk fenomena kepala air besar seperti berlaku di Yan, Kedah yang alirannya turut membawa puing banjir seperti selut dan kayu. Ada rakan-rakan saya di Janda Baik, Pahang beritahu kejadian itu berlaku di tempat mereka.

Bestari Jaya (Kuala Selangor) dan Ulu Yam (Hulu Selangor) turut dinaiki air tetapi mungkin tidak terjejas teruk kerana ada kolam takungan Sistem Hibdrid Peningkatan Air Pinggir Sungai (Horas). Begitu juga di Bentong, Pahang. Sebab itu kita tengok keadaan di Telemong cukup teruk apabila kediaman penduduk dipenuhi banjir lumpur serta kayu.

Aliran air dari banjaran sampai ke Hulu Langat mungkin dalam satu jam sahaja, cukup deras dan bawa puing yang menghanyutkan rumah serta kereta penduduk berhampiran sungai.

Cuma saya juga berpendapat dalam tempoh itu, ada juga air dilepaskan dari empangan untuk mengelakkannya pecah dan menyebabkan keadaan lebih buruk berlaku. Sama seperti sekarang apabila banjir melanda Terengganu (hujung Februari), air di empangan Kenyir dilepaskan.


Adakah taufan Rai yang melanda Filipina pada waktu tersebut memberi kesan kepada tekanan rendah di Malaysia?

Sebenarnya ia mematikan luruan monsun apabila kedua-duanya bertembung. Ia menjadi antitaufan. Awalnya memang taufan Rai memberi momentum tambahan tetapi apabila masuk ke dalam, monsun menjadi lemah.

(Arah tiupan) taufan itu berlawan arus dengan Monsun Timur Laut pada 19 Disember. Sebab itu, hujan berhenti pada sebelah petang hari itu.


S: Adakah banjir seperti ini mudah diramal berbanding banjir kilat?

J: Ya, ia memang mudah (diramal) kerana sistem besar ini mempunyai resipi sendiri untuk terjadi. Sekiranya ada luruan udara, monsun dan tekanan rendah, pastinya taburan hujan tinggi. Kita boleh mengesannya menerusi permodelan serta melihat data ramalan.

Banjir kilat pula sukar diramal dan ia hanya berlaku untuk tempoh singkat. Kejadian pada 18 hingga 19 Disember lalu bukan banjir kilat tetapi banjir besar yang kesannya lebih teruk serta memerlukan air surut lebih lama.


Adakah fenomena pengaruh taufan pernah berlaku di Malaysia?

Kejadian ini sama seperti berlaku di Pulau Pinang pada 2017. Bencana itu hampir menjejaskan seluruh negeri itu. Saya kata senarionya sama kerana pusat taburan hujan berada di tempat lain tetapi kesannya teruk dirasai di kawasan lain.

Pada 2017, kajian kami mendapati tekanan rendah yang menjadi punca taburan hujan tinggi berada di Kuala Muda, Kedah tetapi tidak terjejas teruk kerana kawasan itu mempunyai bendang luas. Jadi air dilepaskan ke situ sahaja.

Berbeza dengan Pulau Pinang yang bentuk muka buminya berlembah dan bukan landai. Jadi air naik dengan cepat sehingga menenggelamkan banyak kawasan.

Beberapa kenderaan meredah banjir di Persiaran Jubli Perak, Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Bagaimana pula punca banjir di kawasan lain di Selangor seperti Klang dan Shah Alam?

Taburan hujan tinggi dan air pasang besar. Walaupun air pasang besar tidak terlalu tinggi iaitu 4.6 meter tetapi apabila bertembung pula dengan hujan lebat pastinya air dari sungai dan darat tidak boleh mengalir ke laut.

Kalau ikut kajian kami, taburan hujan di Lembah Klang biasanya sekitar 2,000 mm setahun tetapi pada tiga hari bermula 17 Disember, taburan dicatat 300 mm. Boleh bayangkan bagaimana tinggi taburannya.

Sungai yang dalam sekalipun tidak mampu menampung, apatah lagi saliran-saliran kecil. Jadi banyak kawasan, rumah dan premis cepat dinaiki air.


Apakah pandangan Datuk mengenai langkah Kerajaan Selangor ingin mewujud jawatankuasa tetap perubahan iklim (yang dipikul EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian) susulan bencana banjir itu?

Bagus! Maksudnya, sudah ada kesedaran untuk menerima hakikat bahawa perubahan iklim telah menunjukkan bibit-bibitnya sekarang, bukan lagi dijangka 20 tahun akan datang.

Mulai dari sekarang, (kerajaan) harus buat perancangan apa perubahan boleh dilakukan, sektor mana perlu dilihat dan lokasi berpenduduk ramai yang berisiko terjejas. Boleh buat perancangan teliti untuk menghindar masalah pada masa depan.

Masalah bencana ini kita tidak boleh hindar kerana ia berlaku tanpa dirancang. Kita seharusnya merancang untuk berdepan dengan bencana. Lihat senario buruk yang boleh berlaku dan lihat juga aset yang perlu diselamatkan untuk elak kerugian lebih besar.


Bagaimana pula dari segi keanggotaan jawatankuasa?

Saya lebih senang kalau jawatankuasa itu menasihati golongan profesional berbanding ahli politik atau pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). Maaf kata kerana PTD ini lebih berfungsi sebagai pengurus besar dan tidak mengetahui sepenuhnya. Contohnya apabila bercakap berkenaan banjir, ada yang tidak faham.

Bagi saya, perlu ada pakar. Kita ramai pegawai dalam JPS dan ahli akademik yang membuat kajian. Kita tidak buat keputusan yang mungkin disukai orang tetapi kita beri senario sebenarnya dengan telus.


Apakah bentuk pembangunan yang sesuai untuk negara pada masa depan bagi mengelak kerugian akibat bencana?

Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC), bawah Perubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ada meramalkan kebarangkalian cuaca ekstrem akan meningkat susulan pemanasan global pada masa ini. Kita lihat seluruh dunia terkesan.

Atas sebab itu, kerajaan dari sekarang harus bersedia menghadapi kemungkinan sekiranya bencana alam seperti banjir bakal berulang pada masa depan. Kalau hendak buat projek mitigasi banjir, adakah kita hendak bina satu lagi Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart)? Gabung dengan Horas? Atau buat kolam takungan seperti Taman Wetland Putrajaya?

Kolam takungan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai 600 (Horas 600).

Pada 1971, Kuala Lumpur banjir besar yang menyebabkan kerugian. Masalah di Kuala Lumpur, mereka tiada bendang seperti Kedah untuk salurkan air bagi mengurangkan kesan. Jadi kerajaan rancang projek mitigasi babit pembinaan terowong Smart yang menelan berbilion ringgit (dibina mulai awal 2000-an).

Tetapi perbelanjaan itu perlu untuk melindungi aset dan ekonomi, jadi kerajaan harus melabur.

Dalam situasi di Selangor, saya minta kerajaan pusat melihat keperluan negeri itu kerana Selangor penyumbang utama ekonomi negara. Pelabuhan Klang yang terjejas akibat banjir tempoh hari penting kepada Malaysia untuk menarik pelabur.

Aset dan rakyat di Selangor perlu dijaga kerana sekali lagi bencana sebesar itu berlaku, kerugiannya pasti besar memandangkan kepadatan penduduk. Ruginya bukan sedikit tetapi beratus-ratus juta ringgit dan ribuan kereta ditenggelami air.


Ada dakwaan mengatakan sistem amaran di Malaysia lambat untuk disebar kepada orang ramai, apa komen Datuk?

MetMalaysia dan JPS mempunyai sistem amaran masing-masing kerana memantau aspek berasingan. Lazimnya kalau banjir di daerah, maka pegawai daerah harus menjadi ketua. Manakala di peringkat negeri pula, menteri besar atau ketua menteri dan perdana menteri pula bertanggungjawab di peringkat kebangsaan.

Pada kejadian (hujan dan banjir) 17 hingga 19 Disember 2021, bukan sahaja Selangor terjejas tetapi beberapa negeri antaranya Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. Jadi perkara ini bawah (tanggungjawab) kebangsaan. Masalahnya, pada tiga tarikh itu kawasan terjejas banyak di Pantai Barat, bukan Pantai Timur yang persediaan rapi sudah dilakukan.

Contohnya di Johor dahulu apabila banjir besar berlaku (hujung 2006 dan awal 2017), kajian kita dapati mereka tidak mampu mengendali pengurusan banjir kerana telah lama (Johor) tidak berdepan situasi itu. Jadi kurang kekerapan (banjir) itu menyumbang kepada ketidaksediaan.

Satu lagi kepadatan penduduk. Kita di Lembah Klang ada tujuh juta orang. Bukan mudah hendak menyelaraskan pengurusan sehingga menjadi cacamarba. Tuding-menuding dan salah-menyalah tidak seharusnya berlaku, sebaliknya cari cara selesai masalah.

Harus ambil iktibar banjir besar di Kuala Lumpur pada 1971. Mereka ambil langkah buat projek mitigasi banjir. Selangor juga harus ada kerana status sebagai penjana ekonomi negara.

Di Malaysia, kita tidak buat seperti di luar negara. Contohnya di Thailand, pihak berkuasa akan memastikan Bangkok tidak akan terjejas akibat banjir dengan melepaskan air ke kawasan pedalaman. Mereka akan pertahankan dan tidak mahu Bangkok tenggelam kerana ia pusat ekonomi.

Kena manfaatkan juga kolam dan tasik tinggalan perlombongan timah yang boleh menjadi takungan untuk melepaskan air dengan segera.


Adakah sebarang teknologi yang boleh diguna untuk memperbaik sistem ramalan cuaca dan amaran?

Sebenarnya selepas banjir besar 2014 (di Pantai Timur), kerajaan memang melaksanakan pelbagai langkah dengan memberi geran kepada universiti untuk buat kajian dan dana RM60 juta untuk tingkat sistem ramalan cuaca.

Komputer yang canggih ada di MetMalaysia. JPS juga giat pertingkat keselamatan sungai, simulasi dan permodelan.

Cuma saya rasa masalah sekarang adalah ketiadaan pengurusan memori (kemahiran pegawai) kerana struktur jabatan kita. Orang yang ada pengalaman dan kepakaran akan dipindahkan untuk kenaikan pangkat.

Contohnya, seorang pegawai berpengetahuan menguruskan banjir dan pernah dihantar kursus ke luar negara. Tetapi apabila naik pangkat, pegawai terbabit buat kerja lain pula. Kita di sini naik pangkat untuk jadi pentadbir, bukan profesional.

Jadi kepakaran itu hilang. Kelemahan ini kami kesan ketika mengkaji masalah pengurusan banjir pada 2014. Apabila kami tanya siapa pegawai yang mahir menguruskan banjir? Ada pegawai kata, dialah orangnya tetapi sudah naik pangkat menjadi timbalan pengarah.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Imuda seniman serba boleh, penyeri Pi Mai Pi Mai Tang Tu

Bakat seni pada Imuda bukan sembarangan. ‘Otai’ ini melukis, berlakon, menyanyi, melawak dan mengacara. Pendek kata semua boleh.

Dalam bidang lukisan, beliau sendiri tidak dapat mengingati jumlah karya yang dihasilkan. Antara yang terkenal potret Michael Jackson yang pada asalnya dijual dengan harga RM20,000 tetapi nilainya kini dianggarkan mencecah RM1 juta.

Potret itu ditandatangani raja pop terbabit ketika mengadakan konsert jelajahnya di ibu negara pada 1996 dan kini dipamerkan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Foto Facebook Imuda A. Rahim Muda

Dalam bidang lakonan, watak Budin yang dibawa dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu bukan sahaja memberi impak besar kepada karier seninya malah kepada peminat sitkom itu sendiri.

Pada era kemuncak, beliau menang Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori artis lelaki komedi dan beberapa kali tercalon dalam pelbagai anugerah lain.

Sehingga kini beliau membintangi sekurang-kurangnya 31 filem, 11 drama, enam telefilem dan tiga program televisyen seperti rancangan dokumentari pengalaman sendiri dan lain-lain.

Selain Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2+1, beliau antaranya membintangi filem Mekanik, Kembara Seniman Jalanan, Kekasih Awal dan Akhir, Mat Som dan Driving School.

Pernah jadi ‘mayat’

Lebih 40 tahun Imuda atau nama sebenar Abdul Rahim Muda, 63, aktif dalam industri seni. Sepanjang tempoh itu jugalah pelbagai asam garam dilaluinya selaku anak seni.

Karier sebagai pelakon anak kelahiran Bukit Mertajam Pulau Pinang ini bermula dengan pementasan teater berjudul Mayat pada awal 1980-an dan watak yang dipegang ketika itu adalah sebagai mayat!

Ketika itu beliau bekerja sebagai pembantu pelukis di Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun hanya memegang watak mayat, pementasan teater itu membawa beliau ke serata tempat hingga ke Sabah dan Sarawak.

Selepas itu barulah Imuda membuat kemunculan pertama di kaca televisyen melalui slot Drama Minggu ini di TV1 RTM yang membawa watak tambahan dengan bayaran RM50.

Sejak itu beliau lebih kerap mendapat tawaran berlakon dengan watak yang semakin besar.

Tawaran berlakon filem hadir pada 1983 dengan memegang watak pembantu mekanik dalam filem Mekanik bersama pelakon Allahyarham Azmil Mustapha, Susan Lankester, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

Terkenal dengan ‘pii raah’

Bagaimanapun namanya memuncak selepas membawakan watak Budin dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Siri televisyen komedi paling lama di negara ini terdiri daripada tiga fasa, bermula dengan pementasan Syy… disiarkan RTM sebelum berpindah ke TV3 dengan tajuk Kampung Seri Wangi dan akhirnya barulah muncul Pi Mai Pi Mai Tang Tu, meletakkan Imuda sebagai ikon komedi tanah air.

Mengimbas kembali keterlibatannya dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu sejak 1985 hingga 2004, Imuda pada mulanya sedikit gementar kerana merasakan dirinya masih mentah dalam bidang lakonan berbanding pelakon lain yang lebih senior.

Ternyata watak Budin pemuda pengutip botol dan tin oleh Imuda begitu menyerlah dengan kemampuannya mencuit hati penonton terutama apabila adegan Budin menggosok paha dan berkata “pii raah!!”

Foto Facebook Imuda A. Rahim Muda

“Itu memang ‘tag line’ orang Pulau Pinang tetapi abang tambah sikit dengan tepuk dan gosok paha. Ilham itu pun sebenarnya dapat dengan tidak sengaja.

“Ada satu episod, Budin balik kampung di Pulau Pinang. Bila balik semula ke Kampung Seri Wangi, budak-budak tidak mahu campur dengan dia. Dia bengang dan itulah yang keluar ‘pii raah’. Tidak sangka penonton suka. Mula episod itulah ‘tag line’ itu lekat,” katanya kepada Selangorkini pada 1 Februari.

Populariti Pi Mai Pi Mai Tang Tu menyebabkan kebanyakan peminat memanggil semua pelakon dengan nama watak masing-masing walaupun di dunia sebenar.

Selain watak Budin, satu lagi watak yang masih diingati ramai adalah Sam dalam sitcom 2+1 yang turut dijayakan Susan, Datuk Ziela Jalil, Louisa Chong dan Allahyarham Ahmad Busu.

“Apabila diberi amanah peranan sebagai Sam, abang sendiri cipta watak Sam jadikan lelaki lembut untuk sesuaikan dengan keadaan dia selalu bertandang ke rumah bujang perempuan supaya tidaklah pelik sangat orang macam Sam keluar masuk rumah jiran perempuan.

“Lainlah arwah Ahmad Busu pegang watak penyelenggara bangunan, memang ada alasan masuk rumah perempuan untuk baiki paip dan macam-macam kerja membaiki,” katanya.

Ternyata Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2+1 banyak membantu menaikkan nama Imuda hingga beliau meraih gelaran Artis Komedi Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular 1997/1998.

Artis kelas kedua

Walaupun bergelar Artis Komedi Lelaki Popular namun seperti pelawak lain seangkatan dengannya, Imuda tidak terlepas dengan stigma ‘artis kelas kedua’. Antara kesannya, pelawak semasa era beliau kerap menerima bayaran tidak setimpal.

“Pernah abang mengacarakan satu persembahan pentas di Kuantan bersama artis yang meningkat popular. Abang mengacara pakej sekali dengan melawak. Artis itu sepatutnya naik pentas pukul 10 malam tetapi lewat hampir dua jam kerana ada persembahan lain di Kuala Lumpur.

Foto Facebook Imuda A. Rahim Muda

“Abang kena ganti dia dekat dua jam dengan persembahan lawak tetapi bayaran sama sahaja, tidak ditambah. Artis itu sampai dekat pukul 12 tengah malam. Nyanyi dua lagu sahaja sebab tidak cukup masa,” katanya.

Undangan persembahan makan malam tahunan di kilang-kilang sekitar Lembah Klang juga terjejas apabila bajet disediakan kebanyakan syarikat yang sebelumnya kerap mengundang beliau digunakan untuk membayar persembahan penyanyi terkenal.

Imuda menyifatkan pelawak sekarang beruntung kerana menerima bayaran lumayan dan mendapat layanan lebih baik.

“Dulu, walaupun kau menang banyak anugerah tetapi tidak boleh letak harga tinggi. Kalau letak harga tinggi, kau duduklah diam-diam, tidak ada tawaran nanti.

“Lain sekarang, tawaran bergantung kepada jumlah pengikut media sosial. Kalau ada berjuta boleh dapat banyak tawaran dan bayaran lumayan tetapi ini boleh bunuh karier pelakon berbakat sebab mahu dapatkan pengikut ramai biasanya kena cantik atau kacak bukan bakat,” katanya.

Akur dengan kehendak pasaran semasa, Imuda sempat menyelitkan nasihat buat artis generasi baharu supaya tidak terlalu mengejar kuantiti hingga menjejaskan kualiti persembahan atau lakonan.

Kartunis 

Menyentuh kariernya sebagai kartunis pula, pertama kali karyanya diterbitkan oleh majalah Gila-Gila bilangan kedua pada Mei 1978 yang dihantar melalui pos.

Sebagai kartunis bebas, selepas itu karyanya turut disiarkan penerbitan lain antaranya majalah Gelihati dan Berita Minggu dengan bayaran kira-kira RM20 setiap satu.

Foto Facebook Imuda A. Rahim Muda

Siri kartun paling terkenal adalah Yushimura dan Birch vs Maharajalela. Jika diamati dua karya terkenal ini, jelas beliau membawa mesej cuba menanam semangat patriotik sekali gus menghargai kemerdekaan dalam kalangan pembaca.

Manakala dalam bidang lukisan, Imuda pernah mengadakan tiga pameran solo dan diundang dalam banyak pameran lukisan lain.

Bercakap tentang perancangan terkini, Imuda tidak menyimpan impian terlalu tinggi berikutan umur yang menjangkau 63 tahun.

“Perancangan sudah tidak banyak sebab umur pun sudah 63 tahun. Kalau mahu merancang banyak-banyak masa muda-muda bolehlah. Cuma sekarang abang mahu teruskan apa yang abang buat, melukis dan buat kelas melukis.

“Dalam lakonan pula mungkin abang mahu buat skrip dan lain-lain kerja belakang tabir. Berlakon pula selagi ada daya. Insya-Allah selagi rezeki masih ada,” katanya mengakhiri perbualan.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Gadis mesin gol lincah gelecek bola, asah bakat di Jepun

Oleh Norhayati Yahaya

Seawal usia lima tahun, Nurul Nadia, 20, meminati dunia bola sepak, apatah lagi hasrat tersebut direstui keluarga.

Nurul Nadia, anak bekas askar Roslan Salleh, 49, manakala ibunya Rosliza Arifin, 50, suri rumah pernah menyertai kelab CIMB YFA di Cheras, Kuala Lumpur pada usia lima hingga 10 tahun.

Anak kedua daripada empat beradik itu kemudian berpindah ke Kedah dan terpilih mewakili negeri Jelapang Padi pada usia 15 tahun bagi merebut Piala Tun Sharifah Rodziah, sebuah pertandingan bola sepak wanita kebangsaan.

Dipanggil Adik dalam kalangan rakan-rakan berikutan ketinggiannya 155 sentimeter, beliau menganggap pengalaman paling berharga apabila terpilih menyertai pertandingan bola sepak di Filipina pada usia 18 tahun dan mengikuti latihan bersama Kelab National di Jepun selama tiga bulan ketika berusia 19 tahun.

“Saya tidak pernah menyesali penglibatan dalam sukan bola sepak yang kebanyakannya didominasi  lelaki sebaliknya gembira apabila dikelilingi kawan-kawan,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Menjadikan pemain JDT Safawi Rasid sebagai idola, Nurul Nadia setakat ini menyertai 11 kejohanan bola sepak dan lima pertandingan futsal. Beliau juga pernah mewakili Selangor dan Melaka United.

“Bagi pertandingan futsal pada tahun lalu, saya dapat anugerah pemain terbaik dan penjaring terbanyak,” katanya bermain untuk pasukan The Footsouls.

Bulan lalu, Nurul Nadia dinobat pemain terbaik perlawanan selain memenangi kasut emas apabila menjaring 10 gol dalam kejohanan Liga Super Wanita anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November tahun lalu dengan disertai 10 pasukan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga itu di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November.

Ditanya sasaran sebagai pemain bola sepak, Nurul Nadia menyimpan impian mahu beraksi di pentas Sukan SEA dan Piala AFC.

“Saya sebenarnya meminati sukan bola sepak padang sebab saya suka berlari. Saya tidak meletakkan selama mana untuk kekal dalam sukan ini tetapi selagi saya minat, ia akan diteruskan,” katanya yang turut mengajak wanita yang meminati bola sepak supaya terus mengasah bakat.

Menceritakan kehidupan peribadinya pula, Nurul Nadia yang bekerja sebagai penghantar barang sebuah syarikat kurier terkenal sememangnya menggemari kegiatan lasak.

“Saya hidup sendirian di Kuala Lumpur dan memilih untuk tinggal jauh daripada keluarga kerana mahu berdikari.

“Saya seorang yang ringkas dan selesa mengenakan seluar jeans dan berkemeja-T setiap hari. Syukur pekerjaan tidak memerlukan saya mengenakan pakaian ‘formal’ dan saya selesa begini,” tambahnya lag

Categories
RENCANA WAWANCARA

Tingkat produktiviti secara holistik jamin sekuriti makanan negara

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Inisiatif yang mampu meningkatkan produktiviti secara holistik merangkumi dasar yang kondusif, penggunaan teknologi moden dan keusahawanan perlu diutamakan bagi mendepani risiko sekuriti makanan negara.

Dasar yang kondusif merujuk kepada pelaburan dalam pengeluaran makanan yang tidak hanya dinilai daripada sudut faedah persendirian, tetapi pulangan sosial dan keselamatan negara.

Dalam menjelaskan perkara ini, Profesor di Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia dan Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara, Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin berkata, untuk merangsang pelaburan dalam pengeluaran makanan, sektor swasta wajar diberikan insentif dengan pulangan pelaburan dalam pengeluaran makanan, mestilah sekurang-kurangnya sama dengan pulangan dalam tanaman industri.

“Sektor pertanian negara terbahagi kepada tanaman industri (seperti kelapa sawit) dan makanan (tanaman makanan, ternakan dan perikanan). Tanaman industri seperti kelapa sawit berkeluasan lebih daripada lima juta hektar.

“Ini menunjukkan bahawa pulangan pelaburan daripada kelapa sawit secara relatifnya lebih daripada pulangan pelaburan dalam pengeluaran makanan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam aspek teknologi pula, beliau berkata, lebih banyak dana diperlukan untuk tujuan penyelidikan dan menerima pakai teknologi sistem pertanian, antaranya, termasuk mekanisasi, sensor, dron, penjejakan cuaca, automasi, pertanian menegak, kecerdasan buatan, teknologi nano, teknologi GPS pertanian, robotik, dan pertanian tepat.

“Untuk keusahawanan pula, bagi melengkapkan ekosistem dasar dan penggunaan teknologi, pengeluaran makanan perlu diusahakan oleh pengeluar yang dapat mempraktikkan pengeluaran secara komersial dan penggunaan teknologi canggih,” katanya.

Empat dimensi sekuriti makanan

Sesebuah negara dikatakan mempunyai sekuriti makanan apabila individu, isi rumah atau semua rakyat boleh mendapat makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat untuk hidup sihat dan aktif.

Dalam hal ini, ia merangkumi empat dimensi iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan bekalan makanan.

Menurut Mad Nasir, ketersediaan makanan adalah gabungan pengeluaran makanan dalam negeri, import dan eksport makanan serta stok makanan domestik.

Untuk menangani perkara ini, sektor pengeluaran makanan perlu dibangunkan menjadi sektor yang moden, berdaya saing dan komersil dan ini boleh dicapai dengan meniru model pengeluaran tanaman industri.

Pelaksanaan dasar guna tanah juga boleh dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran makanan melalui penyisihan kawasan tanah pertanian untuk penghasilan makanan dan sumber makanan lain.

“Pada asasnya, fungsi bidang pertanian adalah sebagai pembekal makanan, pekerjaan dan pendapatan. Bagaimanapun, fungsi itu berubah dalam konteks perubahan iklim, kemusnahan alam sekitar, kekurangan sumber dan keprihatinan sejagat terhadap sekuriti makanan.

“Tema baharu pertanian melampaui fungsi dasarnya untuk meningkatkan pemuliharaan sumber, persekitaran dan mengurangkan kadar kemiskinan. Justeru sektor pertanian perlu dinilai bukan sahaja daripada segi pembekal makanan, tetapi pelbagai fungsi terutama perkhidmatan alam sekitar,” jelasnya.

Beliau menambah, ketersediaan makanan juga berkait rapat dengan mempromosi pertanian bandar bagi membantu mengurangkan perbelanjaan makanan isi rumah memandangkan proses perbandaran yang pesat menarik kemiskinan dan isu sekuriti makanan ke bandar.

Di samping itu, memperkasa penyelidikan dalam pengeluaran dan pengendalian makanan, kepelbagaian tanaman dan genetik serta pemprosesan dan pemasaran dapat memastikan ketersediaan makanan yang mencukupi, melindungi nilai pemakanan dan mencegah pembaziran makanan.

Untuk aspek kebolehcapaian makanan pula, ia merujuk kepada sumber pendapatan isi rumah untuk mendapatkan makanan dalam kuantiti, kualiti dan kepelbagaian yang mencukupi untuk diet berkhasiat.

Dalam hal ini, memetik data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), beliau berkata, rakyat Malaysia secara amnya menghasilkan sebanyak 38,000 tan sisa setiap hari dan daripada timbunan itu, kira-kira 15,000 tan adalah sisa makanan.

Sekitar 8,000 tan, atau 60 peratus makanan yang terbuang setiap hari adalah sisa makanan yang boleh dielakkan (merujuk kepada pelupusan makanan yang boleh dimakan seperti kerak roti, tepung dan sebagainya).

“Daripada 8,000 tan, kira-kira 3,000 tan sebenarnya masih boleh dimakan. Jumlah ini boleh memberi makan kira-kira kepada dua juta orang. Justeru promosi untuk menggalakkan penggunaan makanan secara lestari akan mengurangkan pembaziran makanan,” katanya menambah, program jaringan keselamatan sekuriti makanan seperti Food Bank perlu diperbanyak.

Aspek penggunaan makanan secara keseluruhannya merujuk kepada pendidikan mengenai keselamatan makanan dari segi pengendalian di semua peringkat di sepanjang rantaian bekalan, manakala aspek kestabilan bekalan makanan merujuk kepada kemampuan untuk ia bertahan di semua peringkat isi rumah dalam jangka masa panjang.

Covid-19 dan perubahan iklim

Dua faktor utama sumber makanan tidak mencukupi ialah kekurangan pengeluaran makanan akibat perubahan cuaca, kos pengeluaran meningkat dan kekurangan tenaga kerja serta ketidakcekapan rantaian bekalan makanan atau kegagalan pasaran.

Isu sekuriti makanan turut dibayangi krisis pandemik Covid-19 yang berlanjutan serta perubahan iklim.

“Secara amnya, bekalan makanan yang tidak mencukupi akan menjadi punca kenaikan harga dan seterusnya memberi impak kepada kebolehcapaian makanan oleh isi rumah terutama dalam kalangan B40.

“Kajian Unicef pada 2018 terhadap 2,142 kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur mendapati, 23 peratus kanak-kanak berumur empat tahun terbantut, 22 peratus kurang berat badan dan 32 peratus lebih kurus daripada purata rakan sebaya mereka.

“Hasil kajian penyelidik tempatan pada 2015 juga menunjukkan 13.4 peratus daripada orang dewasa Malaysia mengurangkan saiz makanan dan melangkau makanan utama kerana kekangan kewangan,” katanya.

Beliau juga mengesyorkan beberapa langkah untuk memperkasa sistem rantaian bekalan makanan dengan memastikan petani mempunyai akses berterusan ke pasaran serta keperluan input pertanian seperti benih, baja dan makanan ternakan.

Selain itu, kerugian lepas tuai yang mungkin meningkat kerana isu pengangkutan perlu dikurangkan di samping memastikan penyimpanan stok makanan yang mencukupi sekiranya berlakunya darurat.

Kerajaan juga perlu memastikan sokongan untuk mereka yang hilang mata pencarian terutama dalam kalangan miskin bandar B40 yang tiada perkerjaan tetap.

Menyifatkan pengeluaran makanan terdedah kepada pelbagai risiko dan ketidaktentuan, Mad Nasir berkata, untuk jangka masa panjang, pengurusan risiko pasaran perlu dibangunkan seperti pemantauan dan ramalan harga di samping perancangan kesediaan kecemasan melalui amaran awal serta memperkenalkan langkah-langkah pencegahan bencana alam seperti skim pengairan dan skim kawalan banjir.

Pada masa sama, bagi meningkatkan pertumbuhan sektor pengeluaran makanan dan seterusnya meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) dan sekuriti makanan negara, bidang komoditi makanan yang berpotensi seperti penternakan, perikanan akuakultur dan sayur-sayuran, perlu dikembangkan.

Malaysia mempunyai SSL ternakan ayam (104.1 peratus) dan telur (119.1 peratus) pada 2019 selain merupakan pengeksport bersih produk ini. SSL padi (63 peratus), sayur-sayuran (44.4 peratus), buah-buahan (78.2 peratus), daging lembu (22.3 peratus), kambing (11.8 peratus), daging babi (92.3 peratus) dan susu cecair (63 peratus).

Tingkat SSL beras negara

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), memberi tumpuan untuk meningkatkan SSL beras negara sehingga 75 peratus menjelang 2025.

Menurut Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, MAFI, Azman Mahmood, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan antaranya akan melaksanakan penanaman padi menggunakan konsep SMART Sawah Berskala Besar (SBB), mengaplikasikan formulasi baja secara spesifik mengikut tanah, menggunakan kaedah penanaman secara moden seperti penggunaan dron bagi tujuan meracun, menggunakan jentera penanaman serta penuaian terkini dan sebagainya.

“Bagaimanapun pencapaian sasaran ini turut dipengaruhi pelbagai faktor yang berada di luar kawalan MAFI seperti perubahan iklim atau cuaca. Ini memandangkan penanaman padi secara tradisional masih lagi bergantung sepenuhnya kepada taburan hujan tahunan dan cara pengurusan air yang berkesan,” katanya.

Berhubung kesan perubahan iklim dan cuaca semasa terhadap industri padi dan beras negara, beliau berkata MAFI melaksanakan inisiatif jangka pendek antaranya dengan menambah baik sistem pengairan sawah dan membangunkan telaga tiub.

Manakala untuk jangka masa panjang, MAFI akan melaksanakan program takungan air bawah tanah dan takungan pantai bagi memastikan lebihan air mampu ditakung dan digunakan semula bagi tujuan pengairan sawah.

Menurut beliau, menyedari teknologi merupakan elemen penting dalam usaha meningkat pengeluaran padi dan beras negara, beberapa langkah pemodenan industri padi dan beras juga sedang dan akan dilaksanakan termasuk Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan bagi penggunaan aplikasi berasaskan jentera.

Langkah lain ialah mekanisasi bagi memudahkan semua proses kerja di sepanjang rantaian nilai, sistem atau teknologi dalam sektor pertanian seperti kilang tanaman, Individual Quick Freezing (IQF) dan telaga tiub di samping Internet of Things (IoT) bagi tujuan pertanian pintar termasuk pembangunan agro-robotik dan penggunaan dron untuk aktiviti pembajaan dan pembenihan.

Kerjasama strategik juga dijalin dengan agensi lain seperti di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memperkenalkan teknologi terkini dalam industri di lapangan.

MAFI turut bekerjasama dengan syarikat teknologi swasta bagi menghasilkan teknologi bersesuaian untuk kegunaan di kawasan pertanian dan petani juga digalakkan menghasilkan inovasi pertanian yang bersesuaian dengan tanaman yang diusahakan.

“Aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan turut dipergiat bagi menjamin kemampanan pengeluaran beras negara dengan menghasilkan pelbagai benih berhasil tinggi dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta mesra alam,” katanya, menambah usaha menambah baik infrastruktur dan kemudahan di kawasan jelapang padi juga akan dilaksanakan terutama pembangunan pusat aktiviti lepas tuai.

Bela nasib pesawah

Menurut Azman, menjadi matlamat MAFI untuk mencapai SSL dalam dua dokumen dasar utama iaitu RMKe-12 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), masing-masing pada kadar 75 peratus dan 80 peratus.

MAFI secara khusus mahu meningkatkan hasil padi domestik bagi memperkukuhkan sekuriti bekalan makanan dan tahap sara diri negara terhadap beras.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan negara berhadapan dengan pengecutan (pengurangan) kawasan bertanam padi saban tahun, pertambahan populasi dan pandemik Covid-19 yang meningkatkan permintaan terhadap beras,” katanya.

Mengenai program SMART SBB yang bertujuan meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi dan beras negara menerusi pengurusan sawah dan input pertanian yang lebih teratur dan cekap, antara lain ia bertujuan meningkatkan pendapatan pesawah melalui kerjasama pintar dengan pemain industri secara langsung menggunakan pendekatan pertanian kontrak.

“Secara khususnya, program SMART SBB menyasarkan peningkatan purata hasil padi nasional kepada 7.0 tan metrik sehektar dalam tempoh RMKe-12 berbanding purata hasil semasa sekitar 3.5 hingga 4.3 tan metrik sehektar. Dalam tempoh jangka panjang, program ini menyasarkan kawasan sawah seluas 150,000 hektar semusim atau 300,000 kawasan bertanam setahun untuk dibangunkan dalam program berkenaan,” jelasnya dengan menekankan, program berkenaan juga mahu menyekat ‘orang tengah’ daripada mengambil peluang serta meraih keuntungan peribadi.

“Selama ini secara konvensionalnya, penanam padi dan pembeli padi (pemain industri) ini diasingkan dan urusan jual beli diuruskan oleh orang tengah yang mengambil keuntungan lebih kurang RM110 hingga RM150 per metrik tan.

“Mengambil kira purata pengeluaran padi nasional sebanyak 2.9 juta metrik tan, industri ini kehilangan lebih kurang RM500 juta di tangan orang tengah sahaja di sepanjang rantaian nilai. Perkara ini sewajarnya ditangani segera kerana jumlah itu selayaknya adalah milik pesawah,” katanya, menambah program itu juga mampu menyelesaikan isu yang membelenggu pesawah seperti kenaikan harga baja dan racun, isu pemutuan padi yang tinggi, penggunaan teknologi yang rendah dan sebagainya melalui pelaburan oleh syarikat peneraju yang dilantik oleh MAFI.

Menurut laporan Bernama pada 20 November lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan produktiviti industri padi dan beras secara proaktif, termasuk memperkenalkan teknologi terkini bagi mendepani cabaran serta memperkasakan lagi keupayaan.

Bagaimanapun, tanggungjawab itu tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan, pesawah dan petani semata-mata tetapi memerlukan usaha bersama sebagaimana sering ditekankan iaitu keterangkuman dan kebersamaan yang merupakan antara teras utama konsep Keluarga Malaysia.

Konsep Keluarga Malaysia ini turut ditekankan dalam Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, yang berikutnya akan berlangsung 3 hingga 5 Mac 2022 di Dataran Angsana Johor Bahru Mall. Selain perkhidmatan pelbagai kementerian dan agensi terus kepada rakyat, program Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Jualan Keluarga Malaysia dan pelbagai gerai usahawan turut diadakan.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

‘Keladi kayangan’ ubah nasib ibu tunggal, pandangan pengusaha

Oleh Shanika Abdullatib

ALOR GAJAH, 2 MAC: Siapa sangka komen seorang peminat yang juga ibu tunggal di laman sosial Facebook (FB) milik pembiak dan penjual pokok keladi hiasan di sini, mengubah cara hidup kedua-dua mereka.

Tersentuh dengan komen Amira Jusoh, 40, yang diterimanya pada penghujung 2020, pengusaha tanaman keladi hiasan, Rozita Haron bertindak menghadiahkan sepokok anak keladi kepada ibu tiga anak berkenaan yang kemudian dijadikan ‘modal’ perniagaan oleh Amira.

“Saya kenal Rozita melalui FB sejak setahun lepas. Saya sering ikuti ‘Live FB’ beliau sebab saya memang minat pokok keladi dan sentiasa lihat pengikutnya (follower) beli pokok itu daripada Rozita,” cerita Amira yang dihubungi Bernama di kediamannya di Maran, Pahang.

Kongsi wanita itu, dia juga kagum dengan kesungguhan Rozita menjalankan perniagaan tersebut, khususnya selepas dia kehilangan pekerjaan pada penghujung 2020.

Menurut Amira, dia kemudian beranikan diri bertanyakan harga sepokok keladi hiasan yang memang diketahui mahal hinggakan digelar ‘keladi kayangan’.

“Bila tahu harganya, saya cakap memang minat tapi tak mampu. Langsung tak sangka Rozita tawarkan secara percuma satu pokok iaitu daripada jenis Lime Gecko untuk saya mula tanam. Alhamdulillah, berkat tunjuk ajarnya, saya dapat biak dan jadikan anak pokok itu sebagai modal untuk terlibat dalam penjualan pokok keladi hiasan,” katanya.

Dia yang kini bekerja sebagai pembantu kedai runcit, mula aktif menjual pokok keladi hiasan sejak pertengahan tahun lepas, dan hingga kini berjaya menjual antara 20 dan 30 batang pokok keladi daripada jenis caladium dan colocasia.

“Saya hanya tanam di sekitar rumah namun cukup untuk memberi pendapatan tambahan kepada saya, membantu saya membesarkan anak-anak. Hingga sekarang pun saya masih belajar mengenai pokok-pokok ini, terutama dalam memastikan tanaman mencapai standard yang diperlukan untuk pasaran,” katanya.

Ubah persepsi terhadap keladi ‘kayangan’

Sementara itu, Rozita, 52, yang menetap di sini, berkata dia juga tidak menyangka komen Amira tersebut membuka hatinya untuk menjadikan tanaman hiasan berkenaan sebagai ‘jambatan’ membantu golongan susah, khususnya ibu tunggal.

“Saya sendiri pernah hidup susah. Jadi, apabila Amira komen di FB saya, terus terdetik hendak beri dia sebatang pokok keladi.

“Saya cakap, cuba bela pokok itu dulu. Kalau menjadi, juallah anak pokok itu ikut harga sendiri. Jika hidup elok, kita ‘upgrade’ kepada jenis lebih mahal,” katanya kepada Bernama.

Sejak itu, katanya dia meneruskan usaha ‘menghadiahkan’ pokok keladi hiasan kepada golongan susah terutama ibu tunggal dan seterusnya membantu mereka menjadi pengusaha ‘keladi kayangan’ yang berjaya.

Menurutnya, selain Amira, hingga kini dia berjaya membantu kira-kira 10 individu dari sekitar Melaka dan Selangor menjadi usahawan keladi hiasan.

“Memang saya akan beri pokok keladi daripada jenis yang biasa dahulu tapi tetap ada kualiti dan permintaan dalam pasaran.

“Dari situ, saya akan tengok kesungguhan mereka, dan dalam masa yang sama bantu dari segi nasihat dan tunjuk ajar bagaimana menjaga dan membiakkan pokok keladi itu agar mencapai kualiti terbaik, yang boleh dijual dengan harga mencecah ratusan malahan ribuan ringgit,” jelasnya.

Mungkin ada yang menganggap nilai sebatang anak pokok keladi yang diberinya itu tidak seberapa, namun menurut Rozita, tidak seperti perniagaan lain, menanam pokok keladi ibarat satu pelaburan yang boleh berkembang dengan cepat jika kena caranya termasuk menjaga kualiti.

“Biarpun keladi ini boleh membiak menghasilkan anak pokok yang banyak, tidak semua pokok terutama daunnya, mampu mencapai piawaian bagi mendapatkan harga kayangan,” ujarnya, menambah proses membiakkan keladi juga mengambil masa selain perlu menunggu pokok membesar mencapai saiz bersesuaian sebelum boleh dijual.

Katanya, bergantung pada jenis keladi, harga anak pokok yang dijualnya bermula serendah RM50 dan boleh mencecah ribuan ringgit, mengikut saiz anak pokok dari setinggi sejengkal.

Media sosial medium berkongsi ilmu

Rozita kini turut aktif berkongsi ilmu dan teknik penjagaan keladi istimewa menerusi FB Live.

Katanya, melalui perkongsian di laman sosial itu, wanita yang dibantunya akan lebih mudah faham mengenai penjagaan pokok tersebut selain turut mendapat tip penjagaan daripada peminat keladi yang lain.

“Macam mana nak alihkan anak pokok, teknik memotong ubi keladi atau penggunaan jenis tanah atau baja, kebanyakan saya belajar sendiri secara ‘trial and error’. Dari situ kita akan belajar, sebab setiap jenis keladi caranya tak sama,” jelasnya, menambah kenalan FBnya juga kini melangkaui sempadan negara.

Menurut Rozita lagi, ada laman tertentu yang membolehkan peminat tanaman hiasan tersebut membida pokok yang mereka inginkan.

“Sudah tentu harga yang ditawarkan kadangkala tidak masuk akal. Tapi bagi mereka yang gemarkannya, semua itu tidak menjadi masalah,” ujarnya.

Terapi melepas rindu

Rozita tidak mempunyai tapak nurseri, sebaliknya membiakkan tanaman itu di laman rumah yang berkeluasan 6×10 kaki persegi, sekali gus menjadikan perkarangan kediamannya sebuah taman pokok keladi hiasan yang mengasyikkan bagi peminat tanaman berkenaan.

Bercerita tentang pembabitannya dalam bidang itu, Rozita berkata dia mula serius mengumpul dan membiakkan pelbagai jenis pokok keladi pada 2020 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19.

Kegiatan itu katanya bukan sahaja sebagai terapi akibat ‘terkurung’ di rumah, tetapi juga cara dia melepaskan rindu kepada arwah ibunya yang meninggal dunia pada tahun sebelumnya.

“Emak saya memang berbakat tanam pokok, dan semasa hayatnya pokok orkid merupakan kegemarannya. Tak sangka bakat dan minat emak itu turun juga kepada saya walaupun pada awalnya tak begitu minat terhadap pokok-pokok.

“Tapi bila emak dah tak ada, saya ambil alih menjaga pokok orkidnya, dan dari situ minat mula bercambah dan secara tak langsung menjadi tempat melepaskan rindu kepada emak,” jelasnya.

Diburu pengumpul dari luar negara

Menurutnya, pada masa ini dia menanam lebih 20 jenis pokok keladi hiasan termasuk yang diimport dari Thailand, Indonesia dan Colombia dengan ada yang berharga mencecah RM30,000 sepokok.

Katanya antara yang sering menjadi perhatian dan mendapat permintaan yang tinggi pada waktu ini adalah daripada jenis Black Lava, Thunderstorm, Pharaoh Mask, Milkyway, Midnight, 916 Guena Gold dan Colocasia esculenta ‘Mojito’ (Taro).

“Paling tak sangka sekarang ada pengumpul dari Thailand berminat mendapatkan anak-anak pokok keladi ini daripada saya.

“Ini dikira satu peluang terbaik untuk kami bertukar-tukar jenis pokok keladi walaupun harga anak pokok saja mampu mencecah puluhan ribu ringgit dan terpaksa melalui pelbagai proses melibatkan imigresen termasuk mendapatkan permit,” katanya.

Ditanya rahsia mampu membiakkan pokok keladi yang boleh mencapai harga puluhan ribu ringgit, Rozita berkata, perkara yang paling penting ialah minat dan ikhlas.

“Kalau ikutkan, pokok ini tidak cerewet untuk dijaga. Cuma perlu tanah dan baja yang sesuai. Tapi untuk menjadikannya subur, berdaun besar dan corak yang cantik, kita kena selalu ‘bercakap’ dengan pokok-pokok ini.

“Mungkin nampak pelik tapi itulah yang saya lakukan. Malah semasa hendak alihkan anak pokok atau buang daun yang rosak atau mati pun saya minta izin. Buat dengan lemah lembut,” ceritanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Bergelut cari rezeki halal, suami isteri gigih usaha niaga rojak buah

Nasihat ulama mengenai hukum riba yang sering terngiang-ngiang membuatkan Nor Azmi Daud tekad meninggalkan bidang insurans yang diceburinya selama 14 tahun.

Tindakan bapa kepada 11 anak itu berhenti sebagai jurujual pada 1985 mengubah hidup keluarganya seratus peratus. Sebelum itu, pendapatannya menjual insurans mencecah RM6,000 sebulan.

Namun Nor Azmi tidak menyesal. Padanya meski sedikit, rezeki mesti halal dan berkat untuk isteri, Roslina Kassim dan anak-anak.

Nor Azmi Daud menunjukkan rojak buah yang dibuat di Taman Tasik Metropolitan, Kuala Lumpur pada 28 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Masa itu cuma ada insurans konvensional sahaja, belum ada takaful macam sekarang. Dahulu memang jahil tetapi apabila sudah tahu hukum riba, saya fikir panjang.

“Dalam hati, sampai bila mahu beri anak bini makan duit riba. Akhirnya saya berhenti,” kata Nor Azmi, 59 ketika ditemui di Kepong pada 27 Disember 2021.

Bagi meneruskan hidup, beliau bekerja sebagai pemandu van sekolah selama lima tahun. Pada 1990, bermodalkan tidak sampai RM50, Nor Azmi dan isteri berniaga rojak buah di hadapan rumah mentua di Rawang.

Dalam sebulan dapat untung RM700 hingga RM800. Pada masa sama Nor Azmi mengambil upah membaiki kereta dan membaik pulih perabot lama. Apabila keluar rumah pula, beliau mencari tin aluminium, kotak dan besi buruk.

Dicampur hasil berniaga rojak buah, upah membaiki kereta, membaiki perabot lama dan menjual barang lusuh, beliau meraih RM900 hingga RM1,000 sebulan.

Untung hingga RM2,000

Bagaimanapun permintaan membaiki kereta dan perabot bukan selalu ada.

Kadang-kadang dalam sebulan tiada langsung. Mujur Nor Azmi tinggal di rumah ibu mentua. Sekurang-kurangnya tidak perlu membayar duit sewa rumah.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memang menghulur bantuan bulanan, makanan, persekolahan dan hari raya kepada keluarganya sejak 2009. Pada mereka, ia sangat membantu.

Nor Azmi Daud menyediakan rojak buah di Taman Tasik Metropolitan, Kuala Lumpur pada 28 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada tahun pertama perniagaan, perlahan-lahan rojak buah jualan Nor Azmi dan isteri dikenali ramai.

Nor Azmi membeli kereta terpakai untuk tujuan berniaga pada tahun berikutnya. Kereta berusia lebih 15 tahun itu dibeli daripada rakan dengan ansuran RM200 sebulan.

“Itu pun selalu terlajak membayar ansuran beli kereta, tetapi nasib baik kawan faham,” kata Nor Azmi.

Sejak itu, mereka mula berniaga di beberapa lokasi di Rawang selain di Taman Tasik Metropolitan, Kepong.

Perniagaan mereka di Taman Tasik Metropolitan mendatangkan untung RM1,500 hingga RM2,000 seminggu terutama pada Sabtu dan Ahad. Gerai rojak buahnya menjadi tumpuan sehingga pada 2013, mereka dikunjungi pegawai LZS.

Dua kali terjatuh

“Setiap kali berniaga kami tidak tinggalkan anak di rumah, semua ikut terutama bila ke Taman Tasik Metropolitan, dapatlah mereka bermain.

Boleh dikatakan pada masa itu anak membesar dalam kereta.

“Sampailah suatu hari ada orang zakat perasan kami selalu berpindah tempat berniaga dan dia tawarkan bantuan dapatkan bantuan lori niaga LZS,” kata Roslina, 53.

Nor Azmi Daud bersama isteri Roslina Kassim ketika ditemui SelangorKini di Taman Tasik Metropolitan, Kuala Lumpur pada 28 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sejak itu, mereka menggunakan lori sumbangan LZS dan berniaga secara tetap di Taman Tasik Metropolitan. Menu jualan juga bertambah seperti mi rebus, cucur udang sekali gus menambah jualan.

Pada 2016, Nor Azmi sekeluarga tidak lagi bergantung kepada bantuan LZS berikutan pendapatan semakin stabil dan tidak lagi dikategorikan sebagai asnaf.

Namun langit tidak selalu cerah. Kemunculan Covid-19 pada 2020 memberi cabaran. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara Mac hingga Mei 2020 menyebabkan pasangan itu hilang pendapatan.

“Selepas PKP dilonggarkan baru dapat berniaga semula tetapi tidak macam dahulu. Biasanya Taman Tasik Metropolitan ramai orang datang terutama hari minggu berbanding sekarang lengang.

“Apa pun kami tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya boleh mencari rezeki, cuma sekarang seminggu dapat antara RM500 hingga RM700 sahaja,” kata Nor Azmi.

Sekali lagi mereka mendapat perhatian LZS apabila badan itu memberi bantuan bakul makanan setiap bulan.

Walau dua kali terjatuh namun pengalaman menjadikan Nor Azmi dan Roslina kuat. Kali ini, mereka lebih berkeyakinan tinggi untuk mampu bangkit seperti sebelumnya.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Bandar Perubatan UKM bantu perkasa industri kesihatan, ekonomi negara

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Malaysia dijangka mempunyai sebuah bandar perubatan bertaraf antarabangsa dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi projek ‘Health Technopolis’ yang diterajui oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Projek itu membabitkan dua tapak, iaitu Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Bandar Tun Razak, Cheras dan di Jalan Temerloh di sini, dengan masing-masing berkeluasan 60 ekar (24 hektar).

HCTM kini menempatkan dua pusat perubatan dan satu institusi penyelidikan iaitu UKM Specialist Centre, Hospital Pakar Kanak-kanak dan Institut Perubatan Molekul (UMBI), selain kampus perubatan dan kesihatannya serta Hospital Rehabilitasi Cheras yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari situ.

Tapak UKM di Jalan Temerloh pula menempatkan Klinik Audiologi dan Sains Pertuturan UKM, namun kedudukannya strategik kerana berhampiran Hospital Kuala Lumpur, Pusat Darah Negara, Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Pakar KPJ Tawakkal dan Institut Perubatan Respiratori, selain Klinik Kesihatan Kuala Lumpur.

Diinspirasi oleh hab terkemuka dunia

Mengulas mengenai projek itu, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali yang mencetuskan idea tersebut pada 2014, berkata pembangunan UKM Health Technopolis dirancang berdasarkan prinsip utama untuk meningkatkan keupayaan sistem perubatan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Noor Azlan yang pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor UKM dari 2014 hingga 2018, berkata beliau mendapat inspirasi daripada lawatan ke beberapa pusat sedemikian di seluruh dunia, antaranya teknopolis di Ankara, Turki (Turkiye).

“Ketika itu saya baru sahaja dilantik sebagai Naib Canselor (UKM). Selepas lawatan itu, idea mula dicetuskan bagi mengembangkan peranan universiti bukan sahaja sebagai pusat akademik untuk melahirkan graduan tetapi juga ejen utama pertumbuhan dalam perkembangan ekonomi, melibatkan semua warga universiti.

“Jika dilihat pada konsep teknopolis itu, secara fizikalnya semua kemudahan perlu berdekatan walaupun penyelidikan dan pembangunan perubatan digital boleh dilakukan secara maya menerusi kerjasama dengan sektor korporat,” jelas pakar ekonomi dan kewangan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum ‘Bandar Perubatan diterajui oleh Universiti: Mimpi atau Realiti’ anjuran UKM di UMBI baru-baru ini.

Seorang lagi ahli panel, Felow Penyelidik Utama UMBI Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal berkata pembangunan bandar perubatan itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama membabitkan pemindahan tiga fakulti, iaitu Sains Kesihatan, Farmasi dan Pergigian dari kampus di Jalan Raja Muda, Kampung Baru di sini ke HTCM.

“Sekarang kami sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada kerajaan untuk mengendalikan sepenuhnya aspek kewangan dan pembiayaan projek ‘UKM Health Technopolis’,” katanya, menambah mereka tidak akan meminta peruntukan daripada kerajaan untuk membiayai projek tersebut.

Konsep Mayo Clinic

Menurut beliau, UKM mahu menjadikan bandar perubatan itu bukan sahaja sebagai pusat kecemerlangan perubatan tetapi juga untuk menarik pelaburan tempatan dan asing bagi membangunkan inovasi teknologi perubatan.

“Kami perlu pamerkan kelebihan kami di Malaysia kepada para pelabur dalam bidang teknologi dan kesihatan supaya ‘health technopolis’ dapat menjadi ikon dalam rujukan, sekali gus menarik lebih ramai pakar-pakar terkemuka untuk datang mendapatkan latihan di sini.

“Mengambil model Mayo Clinic, jika ada penyakit yang orang lain tidak boleh rawat, ‘go to Mayo Clinic’, itulah slogan yang mahu kami capai untuk ‘health technopolis’ ini yang akan mempunyai pelbagai kepakaran,” jelasnya.

(Mayo Clinic ialah pusat perubatan akademik bukan keuntungan berpusat di Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat yang memberi tumpuan kepada amalan klinikal, pendidikan dan penyelidikan bersepadu yang mengkhususkan dalam merawat kes-kes sukar melalui rawatan tertiari dan ubat-ubatan)

Dr A Rahman mengambil contoh penubuhan biopolis di Singapura yang menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi sains bioperubatan dan berjaya menarik perhatian pelabur asing serta menjana ekonomi republik tersebut.

“Mereka merancang lebih lewat daripada kami, namun terlebih dahulu berjaya melaksanakan biopolis dan berjaya menarik lebih 50 syarikat yang menjalankan R&D mereka di situ, termasuk syarikat terkenal dalam farmaseutikal, 60 syarikat pengeluar dan lebih 80 syarikat pemula niaga.

“Namun, kelebihan yang ada pada Malaysia yang tiada di negara jiran kita ialah kepelbagaian etnik dalam percubaan klinikal untuk diabetes dan onkologi yang diwakili oleh tiga kumpulan etnik, sekali gus meletakkan kami sebagai tiga terbaik dalam percubaan klinikal di Asia Pasifik,” jelasnya.

Dr A Rahman yang juga Ketua Projek ‘The Malaysian Cohort’, berkata bagi menjayakan bandar perubatan itu, UKM perlu mengenal pasti bakat-bakat sedia ada dan berusaha membawa mereka ke universiti terkemuka dunia untuk menjalani latihan sementara menunggu projek berkenaan siap.

“Jadi, apabila mereka kembali ke tanah air, mereka sudah menjadi pakar dan sumber rujukan untuk melatih bakat-bakat tempatan dan penyelidik muda sebagai sebahagian daripada ekosistem pusat kecemerlangan di UKM Health Technopolis,” katanya.

Tingkat pelaburan

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Prof Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata kerajaan dan swasta perlu mengadakan lebih banyak kerjasama untuk mewujudkan pusat kecemerlangan seperti UKM Health Technopolis tersebut.

Ini keran,a katanya buat masa ini belum ada hab perubatan ikonik di Malaysia yang boleh dijadikan rujukan integrasi pelbagai rawatan dan penyelidikan dalam pelbagai bidang.

“Pada pandangan peribadi saya, pelaburan Malaysia dalam kemudahan perubatan masih belum memadai dan ini sangat ketara apabila pandemik berlaku… kapasiti katil dan unit rawatan rapi tidak mencukupi.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk kita melihat semula perkara ini sebagai sebuah negara, yang mana pelaburan untuk sistem penjagaan kesihatan harus dijadikan keutamaan, bukan setakat tanggungjawab sosial, tetapi sebagai antara enjin pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata penubuhan pusat kecemerlangan itu bukan sahaja memanfaatkan sektor kesihatan tetapi juga boleh menjadi ikon dalam pelancongan kesihatan negara.

“Kita ada Petronas Twin Towers di Malaysia, namun hingga kini tidak ada dalam bidang hab perubatan, sepertimana Bumrungrad sebagai hab pelancongan kesihatan yang dikenali di Thailand dan Bali International Hospital, Indonesia.

“Mengambil contoh hab pelancongan perubatan di Bali, kerajaan Indonesia sedaya upaya cuba mengehadkan pergerakan rakyat mereka ke luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan, yang membolehkan mereka berjimat kira-kira US$7 bilion (RM29.3 bilion) setahun,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL RENCANA WAWANCARA

‘Abang Viva’ gemar bergerak solo bantu orang susah

Ketika banjir besar melanda Selangor hujung tahun lalu, pelbagai pihak termasuk orang ramai tampil menghulur bantuan terhadap puluhan ribu mangsa. Seorang daripadanya Azwan Omar, 30, yang kemudian lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva’.

Kisah beliau memandu dari Melaka dengan bot di bumbung Perodua Viva menggamit perhatian ramai. Wartawan SelangorTV DEWI ABD RAHMAN dan jurukamera RAZIF MAT ARBAK serta HARUN TAJUDIN menyelami isi hati beliau pada 20 Januari lepas.

Boleh ceritakan sedikit latar belakang?

Saya anak Selangor tetapi membesar di Melaka. Usia 30. Mesti orang tertanya-tanya kenapa duduk Melaka tapi asal Selangor? Ibu bapa saya dahulu berniaga dan duduk di Selangor, saya lahir di sana dan dalam usia lima tahun berpindah ke Melaka sampailah sekarang. Saya anak terakhir daripada empat adik beradik dan seorang sahaja lelaki.

Memang ada perancangan untuk bantu mangsa banjir atau bagaimana?

Tiada perancangan, terfikir terus jalan masa itu. Sebenarnya hati saya cuma pegang satu kata sahaja, apabila mahu bagi bantuan, terus buat, tidak usah atau janganlah fikir banyak kali. Buat sahaja. Sebelum ini ada juga misi menyelamat tapi guna bot memang tidak pernah.

Apakah perasaan apabila berjaya selamatkan mangsa banjir?

Memang rasa sangat puas. Tapi perasaan yang sebetulnya tidak dapat digambarkan apabila dapat tolong orang. Bila tengok orang cakap terima kasih dekat kita, bahagianya sukar diungkapkan. Orang Malaysia tidak kira kaum dan saling tolong menolong. Masa dekat tempat banjir, orang Cina dan India datang. Saya lihat ada Cina dari Pulau Pinang. Saya sangat kagum.

Dalam fikiran saya cuma satu sahaja, mahu tolong orang dan mahu selamatkan orang. Memang kalau saya tidak pergi pun orang tidak cakap apa, sebab saya bukan siapa-siapa. Tapi Allah SWT gerakkan hati untuk ke Selangor bantu orang dekat sana. Mungkin Allah SWT sudah jentik hati daripada awal lagi.

Apakah Azwan gemar apabila menjadi tumpuan ramai?

Hendak kata suka sangat, tidak. Sebenarnya antara suka dan takut. Segan pun ada. Kalau dulu waktu jalan dekat lorong-lorong santai sahaja. Sekarang ada orang tegur walaupun pakai topeng, rasa segan. Benda paling terkejut apabila memandu, apalagi bawa Viva saya dengan bot tu, tiba-tiba ada block (halang) kereta saya. Rupanya mahu ambil gambar.

Kebanyakan masa bawa kereta, tengah santai bawa kereta, kena hon. Viva itu kadang-kadang macam lebih terkenal. Tapi kalau ikutkan saya tak mahu ubah apa-pun. Selepas misi banjir sekarang, hidup macam biasa sahaja. Orang yang tegur-tegur saya anggap kawan-kawan. Tapi saya tetap mahu hidup macam dahulu. Tidak mahu popular sangatlah. Kalau boleh janganlah pandang saya terlalu tinggi. Rasa tidak selesa.

Bagaimana keluarga membentuk Azwan menjadi individu yang tidak berkira dalam membantu orang?

Cerita tentang emak ayah, mereka bukan jenis lembut. Masa kecil ayah garang daripada emak. Kalau ikut adik beradik, saya paling nakal. Masa hidup, doa mak ayah paling utama. Tanpa doa mak ayah tidak lengkap hidup sebab mereka lahir dan besarkan kita. Benda itulah paling penting.

Ikhlas dalam membantu orang kesusahan. Pandangan?

Keikhlasan penting, secara peribadi ikhlas tu patut ada masa kita kecil lagi, kalau tidak ada keikhlasan tidak guna pun. Ibarat mengharapkan balasan yang kita tidak akan dapat. Benda sebegitu tidak masuk akal. Emak ayah saya ajar daripada kecil sampai hari ini bahawa apa yang mahu buat jangan mengharapkan balasan. Hanya harap balasan daripada Allah. Saya bukan baik sangat. Tapi tidak semestinya jadi baik barulah kita boleh buat benda baik. Kalau benda itu betul, teruskan dan buat terus. Saya tidak harap pun nama daripada siapa-siapa.

Ada sebarang perancangan hidup selepas ini?

Saya memang ada sertai Angkatan Pertahanan Awam (APM). Tapi hanya minta sukarelawan sahaja sebab mahu dapatkan kursus. Dengan tunjuk ajar APM, saya akan teruskan usaha untuk bantu mangsa bencana banjir, tanah runtuh. Sebab sudah ada latihan mungkin usaha menyelamat lagi baik. Lebih suka bergerak solo, tetapi untuk lebih lancar mungkin akan panggil lima hingga enam orang sebab mahu mudahkan kerja. Tapi kalau boleh jangan ada bencana lagilah.

Jika ada perkara yang hendak diubah, apa yang mahu diubah?

Kalau ada benda boleh diubah, saya mahu tidak dikenali. Tidak mahu pun orang kenal sebab bagi saya benda ini akan jadi amanah, tanggungjawab jadi lebih besar. Saya takut tidak terpikul dengan amanah orang. Apabila sudah dapat kereta, dapat motor, mungkin masa itu saya ada masalah keluarga, tidak dapat tolong orang kena banjir. Saya bimbang akan ada cakap-cakap ‘oh, sudah dapat kereta sudah tidak datang.’ Takut cakap-cakap orang macam itu.
(NOTA: Azwan sebelum ini menerima hadiah sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis dan sebuah kereta pacuan empat roda, kedua-duanya pemberian individu berasingan yang tidak mahu dikenali pada Januari lalu).

Adakan hobi Azwan jika tidak terlibat membantu mangsa bencana?

Kalau cuti, saya akan memancing. Kalau tidak pun, mungkin pergi jalan-jalan. Habiskan banyak masa di laut dan sungai.

Sebarang pesanan untuk dikongsi dengan orang ramai?

Untuk emak dan ayah yang berkorban dari masa kecil sampai sekarang, terima kasih sebab sudah besarkan adik sampai ke hari ini. Beri pelajaran cukup, degil pada diri sendiri dan bukan salah mereka. Sampai mati pun tidak dapat balas. Untuk rakyat Malaysia terima kasih sebab sokong walaupun tiada apa. Walaupun sumbangan saya kecil saya tetapi orang tetap pandang.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Jenayah buang bayi masih berterusan, hubungan luar nikah jadi punca

Oleh Balkish Awang

Trend buang bayi dilihat masih berterusan walaupun pelbagai cara dilakukan untuk menangani jenayah tersebut termasuk yang melibatkan golongan remaja.

Siri pertama daripada dua rencana isu buang bayi ini antaranya mengupas jenayah kejam yang dilihat masih tidak berkesudahan dengan statistik PDRM menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 10 kes buang bayi berlaku dalam tempoh sebulan dan kelompok umur paling tinggi melakukan jenayah berkenaan.

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Berita seorang remaja berusia 15 tahun disyaki bertindak membunuh dengan menikam bayinya sendiri selepas melahirkan bayi berkenaan sudah tentunya bukan sahaja menggemparkan tetapi amat mendukacitakan.

Menurut laporan media pada Selasa lepas (8 Februari 2022), remaja dan bayi lelaki yang dilahirkan cukup sifat itu mempunyai kesan tikaman di bahagian dada kiri itu, ditemui di sebuah rumah di daerah Kemaman, Terengganu.

Ramai juga mungkin masih ingat kes tindakan seorang pelajar kolej yang mencampak bayi yang baharu dilahirkannya dari tingkat 13 rumahnya di apartmen di Bandar Baru Farlim, Air Itam, Georgetown pada 10 Julai 2020. Bayi itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan susulan kejadian tersebut, remaja itu dan teman lelakinya ditahan reman bagi siasatan lanjut.

Apa yang berlaku ini menunjukkan trend buang bayi masih berleluasa walaupun pelbagai cara dilakukan untuk menangani jenayah itu dan si pelaku terutamanya dalam kalangan remaja, seperti tidak takut dengan perbuatan kejam mereka.

Bernama membuat tinjauan khas isu buang bayi dan dalam siri satu daripada dua bahagian ini, wartawan Bernama, Balkish Awang, mendapatkan penjelasan daripada Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berhubung isu buang bayi yang masih tidak berkesudahan.

443 KES BAYI DIBUANG

Berdasarkan statistik daripada PDRM, sekurang-kurangnya purata 10 kes buang bayi berlaku dalam tempoh sebulan sejak empat tahun lepas bermula 2018 hingga 2021.

Menurut Siti Kamsiah, pada tahun 2018, kes buang bayi di seluruh negara mencatatkan 128 kes diikuti 125 kes pada 2019, 104 kes pada 2020 dan 86 kes pada 2021. Jumlah keseluruhan kes buang bayi bagi tempoh empat tahun itu adalah sebanyak 443 kes.

“Jika kita lihat statistik ini, hanya sedikit sahaja penurunannya, tidaklah ketara. Pada saya, ia masih pada purata yang sama. Beza tahun 2018 dan 2019 hanya tiga kes sahaja. Pada tahun 2020 dan tahun 2021 pula, biarpun ada penurunan tetapi ia disebabkan faktor seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac 2020 dengan banyak sektor ditutup.

“Perjumpaan fizikal yang tidak ada pada masa itu (PKP) dengan sekatan pergerakan mendorong kepada sedikit penurunan kes buang bayi ini yang menyebabkan tidak ada yang mengandung luar nikah selain tempat kerja yang banyak ditutup turut mempengaruhi perbuatan itu. Tetapi pada saya angka perbuatan buang bayi dari 2018 hingga 2021 tetap tinggi dengan kira-kira purata 10 kes dalam sebulan,” katanya.

Ditanya sama ada kes jenayah berkenaan akan meningkat pada tahun 2022 berikutan pembukaan semula semua industri serta tiada lagi sekatan pergerakan, Siti Kamsiah berkata dengan kembalinya aktiviti sosial seperti biasa serta industri beroperasi seperti sediakala, tidak mustahil kes buang bayi akan berlaku semula.

Mengulas lanjut, beliau berkata, daripada 443 kes bayi yang dibuang, 149 orang ditemukan masih hidup manakala 294 bayi lagi sudah meninggal dunia.

“Dalam tempoh itu juga (2018 hingga 2021), sebanyak 141 kes melibatkan janin manakala 302 lagi adalah bayi baharu lahir. Manakala jantina bayi yang dibuang seramai 141 adalah bayi lelaki, 114 perempuan dan 188 lagi tidak diketahui,” katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan ketika temu ramah khas di Pusat Temuduga Kanak-Kanak Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto BERNAMA

PANIK MAHU LUPUS BUKTI

Menurut Siti Kamsiah yang sudah 31 tahun berkhidmat dengan PDRM, dorongan utama kepada perbuatan tanpa belas ihsan itu, kebanyakan suspek sudah merancang mahu melupuskan bayi mereka selepas melahirkan.

“Berdasarkan rekod siasatan PDRM, kes buang bayi ini terjadi kerana faktor pertama kehamilan luar nikah bermakna mangsa atau suspek yang mengandung dan membuang bayi ini, kebanyakan mereka terjebak dengan seks di luar perkahwinan yang menyebabkan mengandung, tidak bersedia serta tanpa pengetahuan keluarga.

“Jadi untuk mengelak daripada keluarga tahu serta panik semasa sudah hampir bersalin, itu yang dia mahu lupuskan buktinya. Mereka mahu lupus bukti kerana takut diketahui orang ramai terutama ahli keluarga sehingga tergamak membuang bayi itu. Mengambil tindakan secara tanpa berfikir panjang pada masa itu ditambah dengan situasi panik, beranak dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah, jika dilihat pada lokasi pembuangan bayi, kebiasaannya si pelaku akan mencari tempat yang betul-betul orang tidak nampak seperti tempat pembuangan sampah, kumbahan, tepi longkang serta tempat yang tiada rakaman visual kamera litar tertutup (CCTV) agar bukti dapat dilupuskan terus.

Selain daripada kawasan berkenaan, lokasi yang sering ditemukan bayi adalah di kawasan kediaman, pinggir kediaman, masjid supaya bayi itu boleh diselamatkan.

Menurut statistik PDRM, dari tahun 2018 hingga tahun 2021, tempat pembuangan bayi paling tinggi direkodkan adalah di kawasan rumah iaitu sebanyak 178 kes diikuti tempat pembuangan sampah 31 kes, loji, longkang dan kumbahan (31), dalam tandas (30), masjid dan surau (29), tepi kedai, bangunan dan pejabat (26) serta tepi jalan (21).

PALING TINGGI UMUR 18 HINGGA 25 TAHUN

Menyentuh kategori umur suspek yang melakukan perbuatan jenayah kejam ini, Siti Kamsiah berkata, untuk tempoh 2018 hingga 2021, kes paling tinggi iaitu 149 kes melibatkan umur 18 hingga 25 tahun, manakala 73 kes lagi melibatkan kalangan umur 25 tahun ke atas dan 40 kes dalam kalangan bawah 18 tahun.

“Kita boleh tengok golongan 18 tahun ke atas ini adalah kalangan mereka yang baharu memulakan kehidupan bekerja, tinggal sendiri dan kebanyakan mereka ini jauh daripada ibu bapa serta bebas daripada kongkongan keluarga. Mereka ini yang dilihat lebih terdedah kepada perbuatan ini ditambah pula dengan lemahnya pegangan nilai diri, didikan agama yang mendorong kepada perbuatan tersebut,” katanya.

Berbanding kelompok bawah 18 tahun, Siti Kamsiah berkata ia adalah sedikit berkurangan berikutan bayi dapat diselamatkan daripada terus dibuang daripada peringkat awal.

“Umur 14 hingga 16 tahun ini kita lihat tahap kematangan mereka amat terbatas. Mereka sendiri tidak memahami tentang perubahan tubuh badan mereka atau tidak menyedari yang mereka mengandung sehinggalah saat hendak bersalin dan dikesan oleh ibu bapa atau doktor semasa rawatan. Jadi di sini risiko untuk kes pembuangan bayi berlaku adalah kurang kerana sempat diketahui ibu bapa.

“Kelompok umur 14 hingga 16 tahun ini dia sedar mengandung bila perut sudah sakit atau ada masalah sepanjang mengandung. Bila pergi ke klinik atau hospital, baru tahu mengandung. Jadi keluarga sudah tahu sebelum peringkat buang bayi tersebut maka ia dapat diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata, ia berbeza dengan kumpulan umur 18 hingga 25 tahun ini yang sudah matang serta tidak tinggal bersama keluarga.

“Kelompok umur sebegini, dia sudah merancang apa akan dilakukan sebaik bayi dilahirkan. Mereka ini apabila mengandung, dia sorokkan sampai satu peringkat dia sudah ada langkah lain iaitu nekad membuangnya,” katanya dan menambah punca kepada masalah pembuangan bayi adalah kurangnya pegangan nilai individu serta tahap kepatuhan seseorang itu terhadap perkara betul dan salah.

Beliau berkata, majoriti yang membuang bayi itu adalah si ibu kandung bayi itu sendiri dan keduanya adalah teman lelaki suspek berkenaan.

JENAYAH ANCAM NYAWA, LIBATKAN MORAL

Biarpun jenayah buang bayi ini adalah yang terendah dalam kalangan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), namun jenayah ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia satu perbuatan yang mengancam nyawa insan kecil yang tidak berdosa.

“Dalam jenayah D11, kes paling tinggi dicatatkan adalah kes rogol diikuti liwat serta amang seksual. Buang bayi ini jika ikut statistik tidaklah banyak tetapi ia melibatkan nyawa dan moral. Buang bayi adalah satu jenayah yang kejam kerana bayi adalah satu golongan yang patut dilindungi.

“Jenayah buang bayi juga turut membawa kepada perkara atau aspek lain iaitu berlakunya aktiviti tidak bermoral lain seperti melakukan gejala sosial antaranya hubungan seks luar nikah. Ini yang kita takuti, nampak sedikit tetapi impaknya besar sebab ia libatkan nyawa,” katanya.

Dalam pada itu Siti Kamsiah berkata PDRM tidak akan berkompromi dengan kes-kes melibatkan jenayah pembuangan bayi.

“Apabila ada laporan dibuat dan terdapat penemuan bayi, PDRM akan menjalankan siasatan. Ini adalah komitmen kita supaya mereka yang didapati melakukan kesalahan dapat dihadapkan ke muka pengadilan agar ia jadi pengajaran selain daripada mencegah orang lain untuk mencontohi perbuatan sama,” katanya.

Bagi membanteras kes sedemikian, beliau berkata PDRM turut menjalankan kempen kesedaran kepada masyarakat berkaitan isu pembuangan bayi yang merupakan satu kesalahan selain mengingatkan masyarakat untuk tidak terjebak dengan kegiatan yang boleh mendorong kepada hamil luar nikah seterusnya mengundang kepada perbuatan membuang bayi.

“Kempen kesedaran jenayah dilaksanakan terhadap kumpulan sasar seperti kanak-kanak, wanita dan masyarakat. Kempen itu berterusan sepanjang tahun dengan kerjasama pelbagai agensi dan dianjurkan sejak penubuhan Bahagian D11 (Siasatan Seksual/Kanak-Kanak) pada tahun 2007,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Covid-19: Trauma kesan sampingan, jangkitan berulang jejas psikologi

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 9 FEB: “Sewaktu dijangkiti Covid-19 kali kedua pada awal tahun ini saya berasa ‘down’, tertekan dan stres kerana takut untuk melalui pengalaman yang sama sewaktu terkena jangkitan kali pertama pada Mac 2020.

“Ketika jangkitan kali pertama, saya terpaksa duduk di Hospital Sungai Buloh selama 14 hari dan bergantung sepenuhnya pada mesin oksigen. Untuk jangkitan kali kedua, saya dimasukkan ke hospital yang sama untuk 11 hari tetapi hanya perlu menggunakan mesin bantuan oksigen selama tiga hari, ” demikian perkongsian Muhamaad Faizal Awang Kechil, 26, kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang bekerja sebagai eksekutif jualan disahkan positif Covid-19 kali kedua selepas tiga hari mendapat suntikan dos penggalak.

“Jangkit dari mana saya tak pasti, tapi lepas dos penggalak saya batuk, demam dan sesak nafas yang teruk. Saya pergi ke klinik, buat saringan dan negatif. Mungkin masa tu saya duduk dengan orang positif Covid-19 semasa menunggu di klinik.

“Kesan sampingan selepas jangkitan kedua ini bagi saya paling teruk kerana sehingga sekarang saya masih rasa sesak nafas (semput), cepat rasa penat apabila banyak bergerak, sakit dada malahan batuk pun masih ada dan belum sembuh,” kata Muhamaad Faizal.

Trauma kesan sampingan

Mempunyai sejarah penyakit asma, Muhamaad Faizal berkata, sebelum dijangkiti Covid-19, beliau sudah lama tidak diserang penyakit itu kerana sering beringat dengan menjaga pemakanan dan kesihatan.

Beliau yang menetap di Damansara berkata, kesan sampingan akibat jangkitan Covid-19 kali kedua sedikit sebanyak menjejaskan urusan hariannya terutama untuk bekerja.

“Selepas keadaan semakin baik (penurunan kes Covid-19) dan tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya bersemangat nak kembali bekerja, namun tak sangka pula diduga dengan jangkitan kali kedua yang memberi kesan sampingan yang lebih teruk.

Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA

“Saya jadi trauma, takut jika dijangkiti Covid-19 lagi. Apa yang saya lakukan sekarang ialah cuba mengelak kawasan yang sesak dan ramai orang, mengurangkan keluar berjalan ke pusat beli belah di samping lebih berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti memakai pelitup muka pada kebanyakan masa dan menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya.

Mengulas apa yang dilalui Muhamaad Faizal, pakar psikologi yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Noor Aishah Rosli berkata, ia merupakan fenomena yang dilalui kebanyakan bekas pesakit Covid-19.

Bahkan katanya, impak psikologi yang merangkumi kognitif, emosi dan tingkah laku manusia itu juga boleh mempengaruhi serta memberi kesan kepada orang sekeliling terutama ahli keluarga dan rakan terdekat mereka.

“Sedangkan mereka yang dijangkiti Covid-19 buat kali pertama boleh mengalami stres, tertekan dan takut lebih-lebih lagi jika mengalami kesan yang teruk sehingga mengganggu rutin harian, apatah lagi mereka yang dijangkiti buat kali kedua dan sudah berpengalaman, perasaan risau dan takut semestinya berganda.

“Sebagai contoh ada pesakit saya yang mengalami trauma dan panik apabila berada dalam ruang yang kecil dan sempit. Ini disebabkan pengalaman beliau dijangkiti Covid-19 sebanyak dua kali dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi berikutan keadaan tahap kesihatannya yang teruk.

“Sehingga sekarang, dia masih ada rasa cemas, berdebar, resah dan gelisah. Sebagai contoh, apabila menaiki tangga dań berada di ruang yang sempit dan gelap. Dia takut sekiranya jatuh sakit, bukan lagi semata-mata sebab Covid-19. Daripada seorang yang sihat, akibat Covid-19, dia kini mengalami serangan panik disebabkan pengalaman yang dilaluinya,” jelas beliau.

Vaksin kurangkan risiko

Menurut Dr Noor Aishah, tanggapan segelintir pihak bahawa vaksin dan suntikan dos penggalak sebagai jaminan untuk seseorang menjadi ‘kebal’ daripada dijangkiti Covid-199, turut menyumbang kepada gangguan psikologi dan rasa panik apabila mereka dijangkiti wabak itu.

Terdapat juga dalam kalangan pesakit Covid-19 yang berasa tertekan dan malu apabila dijangkiti wabak berkenaan kerana terdapat pihak yang mempersoalkan sama ada mereka telah mendapatkan suntikan vaksin atau tidak (antivaksin).

Beliau yang turut mengulas peningkatan kes baharu Covid-19 dalam negara yang melebihi 10,000 berkata, ianya sudah tentu mencetuskan kebimbangan dan rasa cemas dalam kalangan rakyat.

Malaysia pada 6 Februari 2022 merekodkan kes harian baharu Covid-19 sebanyak 10,089 dan menjadikan kumulatif kes sebanyak 2,914,220. Kali terakhir Malaysia merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi paras 10,000 adalah pada 2 Oktober 2021, iaitu 10,915 kes.

Malah rakyat di negara ini sudah diingatkan bahawa kes harian baharu Covid-19 dijangka melonjak kepada 15,000.

Penerima vaksin mendapatkan suntikan dos penggalak di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Kuala Terengganu pada 13 Januari 2022. Foto BERNAMA

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, menerusi satu hantaran di Twitter rasminya pada 6 Februari bahawa Malaysia kini berada di tengah-tengah gelombang jangkitan varian Omicron dan kes harian Covid-19 dijangka mencecah 15,000 tidak lama lagi.

Menyifatkan trend peningkatan kes jangkitan Covid-19 turut berlaku di kebanyakan negara, Dr Noor Aishah berkata, masyarakat perlu ada rasa serik dan sentiasa beringat antara satu sama lain.

“Kini banyak sambutan, majlis dan perjumpaan beramai-ramai diadakan… jadi patuhilah SOP untuk melindungi diri kita bagi mencegah penularan Covid-19.

“Bagi mereka yang tidak sihat, dijangkiti Covid-19 atau pun kontak rapat, tolonglah bersifat bertanggungjawab dan tidak pentingkan diri dengan keluar bergaul seperti biasa bagi mengelak anda menjangkiti orang lain,” katanya.

Terima hakikat, lebih bersedia

Sementara itu, Doktor Kesihatan Pekerjaan yang juga Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, persediaan mental dalam berhadapan risiko jangkitan Covid-19 berbeza bagi setiap individu.

Ia merangkumi aspek latar belakang (sebagai contoh usia, menghidap penyakit kronik), pengalaman (pernah dijangkiti), faktor demografik kepadatan penduduk dan kemudahan di sesebuah kawasan (bandar atau kampung) dan juga kesediaan masyarakat untuk menerima dan mengakui bahawa kita sememangnya hidup bersama Covid-19.

“Bagi yang menganggap vaksin sebagai pencegah kepada jangkitan Covid-19, tanggapan itu perlu diperbetulkan kerana ia sebenarnya bertindak mengurangkan keterukan sakit yang mungkin dialami pesakit. Dan bagi mereka yang mempersoalkan mengapa masih terkena jangkitan Covid-19 walaupun sudah lengkap vaksinasi, itulah hakikat yang perlu diterima selagi mana kita terpaksa hidup bersama wabak ini.

“Tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan keberkesanan vaksin, ia mungkin ada kesan sampingan tetapi tidaklah sehingga mengatasi manfaatnya bagi membantu mengurangkan keterukan sakit akibat jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, setiap individu perlu menjalani kehidupan seperti biasa dałam norma baharu di samping menjalankan penilaian risiko sendiri, sebagai contoh mematuhi SOP, membuat saringan kendiri apabila mahu ke mana-mana sebagai persediaan peribadi dan kepentingan awam.

Majikan dan pekerja khususnya perlu sama-sama mendepani pandemik yang masih belum berakhir ini dengan toleransi dan harmoni untuk mengimbangi kepentingan nyawa dan ekonomi.

“Kita dah ada pengalaman bersama Covid-19 dan kita seharusnya lebih bersedia daripada segala aspek agar dapat mengawal impak stres dan tekanan yang mungkin akan timbul sekiranya gelombang seterusnya berlaku,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

‘Kopi Teduh’ inspirasi TikTok, rasa setanding jenama terkenal

KOTA BHARU, 8 FEB: Walaupun hanya berbumbungkan langit dan di bawah teduhan sebatang pokok, gerai Kopi Teduh di sini menyajikan kopi yang mempunyai aroma dan rasa yang setanding dengan jenama terkenal.

Pemilik gerai Siti Nurashakila Zakari, 24, berkata ilham untuk mengusahakan ‘kopi tepi jalan’ itu timbul apabila beliau sering menonton video mengenai perniagaan seumpama itu di media sosial, khususnya aplikasi TikTok.

Katanya, kebanyakan video tersebut dimuat naik netizen dari Indonesia dan Thailand yang menunjukkan masyarakat di sana berniaga kopi yang hanya dibru di atas motosikal.

Menyifatkan perniagaan itu ringkas dan mudah, beliau bersama rakan karibnya Intan Zulsyawani Zulkifli, 24, tekad mengaplikasikan perniagaan berkonsep sama di sini, sejak akhir tahun lepas.

“Ia juga tidak memerlukan modal yang besar dan kafe (premis), iaitu kami memulakan dengan modal sekitar RM5,000 sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di gerai mereka di Taman Maju di sini.

Beliau berkata trend perniagaan kopi jalanan itu juga masih kurang popular di Kelantan, sekali gus dapat memberi inspirasi kepada anak muda di negeri ini, bahawa mereka juga dapat berniaga walaupun tidak mempunyai modal besar.

Bercerita lanjut, mahasiswa tahun akhir Kejuruteraan Elektronik Universiti Multimedia itu berkata YouTube menjadi ‘guru’ yang mengajar pelbagai resipi sehingga beliau dan Intan Zulsyawani berjaya menghasilkan lebih 17 jenis minuman berasaskan kopi dan bukan kopi.

Pengusaha kopi yang juga rakan karib sejak di bangku sekolah Siti Nurashakila Zakaria, 24, (kiri) dan Intan Zulsyawani Zulkifli, 24, sedang menyiapkan minuman yang dipesan pelanggan ketika ditemui di gerai Kopi Teduh di Taman Maju, Kota Bharu pada 8 Februari 2022. Foto BERNAMA

Katanya, bagi mencipta kelainan, mereka memilih kaedah tradisional untuk mengekalkan aroma wangi kopi iaitu dengan menggunakan alat pembru biji kopi Moka Pot.

Malah, katanya, tidak ramai yang mampu menggunakan alat itu kerana cara penggunaannya yang agak rumit, namun berbaloi kerana dapat mengekalkan rasa ‘not’ kopi yang memikat hati penggemar minuman itu.

Menurut Siti Nurashakila, mereka menggunakan biji kopi berkualiti tinggi iaitu jenis Arabica dari Brazil yang diperoleh daripada pembekal tempatan.

Katanya, antara yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah minuman Mesir Kuno Latte yang mengetengahkan rasa kayu manis, selain Nissey Kerek Latte yang menggunakan manisan nira kelapa.

Siti Nurashakila berkata antara cabaran yang dihadapi bersama Intan Zulsyawani, yang juga pelajar tahun kedua Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, adalah pada hari hujan iaitu mereka terpaksa memakai baju hujan, selain kurang jualan.

“Walaupun berdepan cabaran terutama ketika musim hujan mahupun ketika ribut, sehingga ada membuatkan khemah kami tercabut, namun ia tidak mematahkan semangat saya dan Intan Zulsyawani untuk meneruskan perniagaan dengan berkonsepkan teduhan secara semula jadi ini,” katanya yang meraih hasil jualan hampir RM1,000 sehari.

Beliau juga bersyukur kerana dengan adanya pelbagai medium media sosial, mereka dapat mempromosikan Kopi Teduh secara lebih meluas, antaranya menerusi laman Instagram yang kini mempunyai hampir 6,000 pengikut.

Sementara itu, seorang pelanggan tetap, Ahmad Faris Ruslan, 26, dari Pasir Mas berkata, kopi dari gerai itu menjadi pilihannya sejak dua bulan lalu kerana harganya yang murah, iaitu RM4 hingga RM8 secawan, tetapi mempunyai keenakan yang setanding dengan kopi dari jenama terkenal, selain suasana gerai yang sesuai untuk bersantai bersama rakan-rakan.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Jeritan malam banjir, cetus sukarelawan bantu mangsa terperangkap

Oleh Norrasyidah Arshad

MULANYA, kumpulan sukarelawan Yayasan Tzu Chi sekadar mahu menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Nasi dan mi goreng selain roti dan biskut serta keperluan asas. Itu yang mereka lakukan di Klang sehari sebelumnya. Menghulur 500 bungkus makanan kepada penduduk, baik yang terperangkap di rumah mahupun pusat pemindahan sementara.

Sebaliknya, jeritan yang sayup-sayup pada malam 18 Disember benar-benar meruntun hati. Sukarelawan yayasan itu (foto kemeja T biru gelap) tekad berbuat sesuatu. Bukan sekadar memberi makanan.

Namun, jangankan kepakaran menyelamat, mengendali bot pun belum tentu. Justeru, mereka yang datang dengan pacuan empat roda meminta bantuan sekumpulan nelayan dari Klang.

“Kami bukan pasukan penyelamat. Selalunya kami hanya bantu sediakan makanan tetapi kali ini kami perlu bantu kerana ramai mangsa banjir terkandas,” kata timbalan ketua pegawai eksekutif yayasan berkenaan Sio Kee Hong.

Menaiki 11 bot berenjin, mereka meredah banjir. Kawasan perumahan bagaikan lautan. Suasana pula gelap lantaran bekalan elektrik terputus. Hanya ada pancaran lampu suluh, mungkin juga cahaya telefon bimbit.

“Mereka melambai-lambai minta tolong. Mahu kami tahu mereka perlukan bantuan. Jerit minta nasi, minta makanan, minta diselamat. Ada orang tua, kanak-kanak juga,” cerita Kee Hong.

Sukarelawan Yayasan Tzu Chi bersama orang ramai membersih dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 24 Disember 2021. Foto Yayasan Tzu Chi Malaysia

Kereta hanyut

Pergerakan bot dibuat berhati-hati. Kereta hanyut atau tenggelam menyukarkan laluan. Mereka cuba menyelamatkan warga emas, orang kelainan upaya dan kanak-kanak dahulu.

Kebanyakan mereka terperangkap di tingkat dua kediaman. Ada juga di bumbung. Kebanyakan mangsa kelihatan takut dan lemah.

Usaha membantu mangsa banjir tidak mengenal kaum. Baik Melayu, Cina, India waima warga asing sekalipun. Perbezaan agama, kaum, malah faktor kewarganegaraan ditolak tepi. Yang penting nyawa manusia perlu diselamatkan.

Pelbagai ragam dan keletah mangsa. Ada yang mahu kekal di rumah, ada yang mahu makanan sahaja, ada juga merayu mohon dikeluarkan dari rumah. Bagi yang enggan meninggalkan rumah, mereka hanya hulurkan makanan.

Beberapa orang dapat mereka selamatkan pada malam tersebut. Namun, bantuan mereka tidak berakhir di situ. Mereka kembali lagi ke kawasan perumahan itu beberapa hari kemudian. Kali ini, mereka bergotong-royong membantu membersihkan sisa banjir apabila air surut.

Kee Hong sendiri tidak menyangka operasi pembersihan pada 24 hingga 26 Disember disertai lebih 8,000 ahli yayasan termasuk Melayu dan India. Kehadiran sukarelawan sememangnya genting. Betapa tidak, kebanyakan rumah dipenuhi lumpur. Banyak perabot dan kelengkapan lain rosak teruk, tidak kurang juga terpaksa dibuang.

Sukarelawan Yayasan Tzu Chi juga membersih premis perniagaan terjejas banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 24 Disember 2021. Foto Yayasan Tzu Chi Malaysia

Luah perasaan

Walau pertama kali bersua wajah, kebanyakan mangsa banjir tidak segan-silu meluahkan perasaan mereka. Dalam kesedihan, mereka menyambut baik kehadiran sukarelawan.

“Mereka menangis bila kami hulur bantuan. Walaupun tiada hubungan darah tapi kami seperti satu keluarga. Daripada situ menunjukkan muafakat terbentuk kalau kita ada rasa kasih sayang.

“Usaha ini mendapat sambutan orang awam juga. Ada seorang warga emas keturunan India sanggup memandu dari Gombak ke Taman Sri Muda untuk menghantar sejumlah wang. Dia kata tak mampu beri tenaga jadi dia bantu daripada segi kewangan,” katanya.

Sukarelawan juga memberi kata-kata perangsang kepada mangsa banjir supaya mereka kembali bersemangat meneruskan kehidupan selepas berdepan tragedi tidak terduga itu.

Yayasan berkenaan turut menghulur bantuan kewangan berjumlah RM1,000 kepada mangsa banjir Taman Sri Muda. Ini sekali gus menambah nilai bantuan kewangan penduduk yang turut menerima bantuan dalam jumlah sama, masing-masing daripada Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Lebih 3,000 penduduk Taman Sri Muda menerima bantuan tersebut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khe Beng, Seksyen 32, Shah Alam setakat ini. Yayasan itu turut menyasarkan lebih 16,000 mangsa banjir menerima bantuan itu termasuk luar Selangor.

Selepas penyerahan bantuan kepada mangsa di Taman Sri Muda, agihan akan dibuat kepada kepada penduduk Hulu Langat selain Pahang.