Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Manfaatkan aplikasi dalam talian untuk beli barang – MB

SHAH ALAM, 15 APRIL: Rakyat perlu bijak memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan beralih kepada pembelian barangan menerusi aplikasi dalam talian bagi mengelak ancaman Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata terdapat banyak aplikasi secara maya yang boleh dipilih pengguna untuk mendapatkan keperluan mereka.

“Dalam usaha kita untuk memerangi Covid-19, kita harus bijak mencegah penularan virus. Ada banyak pilihan platform dalam talian yang menjual keperluan harian,” tulisnya di Twitter.

Beliau turut menyarankan masyarakat supaya membuat pembayaran secara digital sekiranya membeli barangan di kedai.

“Jika anda ke kedai, anda digalakkan mengunakan kad tanpa sentuh dan e-dompet,” tulisnya.