Categories
ADN SELANGOR

PKP: Bantuan Covid-19 utamakan golongan susah

SHAH ALAM, 11 APRIL: Orang ramai yang berkemampuan diseru memberi keutamaan kepada golongan susah ketika mengambil bantuan keperluan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara.

Ng Sze Han berkata perkara itu mesti dilakukan kerana kekangan bekalan yang terhad dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini.

“Saya ingin menyeru orang awam yang masih berkemampuan supaya tidak mengambil bantuan barangan keperluan tersebut dan mengutamakan keluarga yang memerlukan,” tulisnya di Facebook.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sepanjang PKP banyak sumbangan sudah diberikan antaranya seperti 2,500 lebih set barangan keperluan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara.

Sze Han menyatakan beliau turut mengambil inisiatif membantu pekebun Cameron Highland bagi menyelesaikan masalah lebihan pengeluaran.

“Kami juga menghantar 37,500 unit topeng hidung dan mulut buatan sendiri kepada para petugas hospital dan barisan hadapan,” katanya.