SHAH ALAM, 6 APRIL: Jumlah tangkapan individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua meningkat 51 peratus apabila 554 orang ditahan menerusi sekatan dan rondaan polis semalam berbanding 368 orang pada hari sebelumnya, kata menteri kanan (Kluster Keselamatan).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peningkatan kali pertama sejak empat hari lalu berlaku kerana orang awam mengambil kesempatan keluar sempena cuti hujung minggu dan tindakan itu dianggap melanggar kesalahan di bawah PKP.
“Saya amat berharap tuan-tuan dan puan-puan, cuti setiap hari dan bukan hari minggu sahaja. Jadi tolong jangan mengambil kesempatan di hari minggu untuk keluar beramai-ramai,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata seramai 489 individu direman, 65 orang dijamin manakala 213 dituduh di mahkamah semalam dengan jumlah kemulatif ingkar PKP sejak dilaksanakan adalah 6,048 orang.
Katanya sebanyak 743 sekatan jalan raya dilakukan dengan 293,051 kenderaan diperiksa polis dan tentera sementara 25,818 pemeriksaan mengejut dan 4,822 premis diperiksa pihak berkuasa di seluruh negara.