Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Tangkapan individu ingkar naik 51 peratus

SHAH ALAM, 6 APRIL: Jumlah tangkapan individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua meningkat 51 peratus apabila 554 orang ditahan menerusi sekatan dan rondaan polis semalam berbanding 368 orang pada hari sebelumnya, kata menteri kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peningkatan kali pertama sejak empat hari lalu berlaku kerana orang awam mengambil kesempatan keluar sempena cuti hujung minggu dan tindakan itu dianggap melanggar kesalahan di bawah PKP.

“Saya amat berharap tuan-tuan dan puan-puan, cuti setiap hari dan bukan hari minggu sahaja. Jadi tolong jangan mengambil kesempatan di hari minggu untuk keluar beramai-ramai,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata seramai 489 individu direman, 65 orang dijamin manakala 213 dituduh di mahkamah semalam dengan jumlah kemulatif ingkar PKP sejak dilaksanakan adalah 6,048 orang.

Katanya sebanyak 743 sekatan jalan raya dilakukan dengan 293,051 kenderaan diperiksa polis dan tentera sementara 25,818 pemeriksaan mengejut dan 4,822 premis diperiksa pihak berkuasa di seluruh negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

10 peratus rakyat masih ingkar arahan duduk rumah – Saifuddin

PUTRAJAYA, 21 MAC: Sekitar 10 peratus penduduk negara ini masih mengingkari atau ‘sengaja’ tidak memahami arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam usaha menangani penularan Covid-19 di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, sejak arahan PKP dilaksanakan mulai 18 hingga 31 Mac ini, majoriti rakyat akur dengan perintah itu tetapi ada sebilangan 10 peratus atau tiga juta penduduk gagal mematuhi arahan tersebut.

“Kita boleh lihat paparan video kanak-kanak bermain di luar, ada yang bersenam dan sebagainya tular di media sosial ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini dilaksanakan,” katanya pada sidang media bersama Bernama dan RTM, di sini, hari ini.

Beliau berkata mungkin angka itu kecil tetapi dalam konteks penularan Covid-19, jumlah itu cukup besar untuk memburukkan lagi keadaan semasa dengan peningkatan kes setakat tengah hari tadi berjumlah 1,183 kes di negara ini.

Beliau berkata negara kini berada dalam suatu suasana luar biasa yang belum pernah dilalui sebelum ini dan kerajaan perlu menguruskan situasi Covid-19 dengan penuh ketelitian dan disiplin.

Saifuddin berkata pakar perubatan telah menyatakan bahawa negara perlu bersiap sedia dengan persiapan yang luar biasa kerana berdepan dengan virus yang mengancam nyawa manusia.

Oleh itu, katanya, setiap individu memainkan peranan dalam membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dengan mendengar arahan kerajaan supaya duduk di rumah sepanjang PKP dilaksanakan.

“Perkara paling mustahak adalah kita membantu pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan dengan duduk di rumah, amalkan basuh tangan bukan hanya untuk solat dan makan tetapi untuk memegang anggota lain terutamanya muka dan amalkan jarak sosial dengan orang lain lebih kurang satu meter,” katanya

“Ini adalah perkara asas dan saya yakin rakyat Malaysia boleh melakukannya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ramai tidak peduli arahan Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Masih ramai orang awam yang ingkar dan mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa semalam sehingga 31 Mac, termasuk keluar bersiar-siar di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata hasil sekatan jalan raya yang dijalankan pihaknya mendapati rata-rata mereka memberi alasan tidak munasabah.

“Arahan kerajaan ini ialah untuk membendung penularan Covid-19, namun mereka tidak ambil berat, bersikap sambil lewa dengan menyatakan hanya keluar bersiar-siar, mahu membeli makanan seolah-olah ia tidak boleh didapati di kawasan mereka, mahu menghantar barang dan pelbagai alasan lain yang tidak munasabah.

“Kami bukan hendak menghukum tapi lebih kepada memberi peringatan kepada orang ramai bahawa perintah berkenaan sudah dikuatkuasakan dan tolong prihatin mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Tinjauan mendapati pertambahan jumlah kenderaan keluar masuk ke ibu kota kira-kira jam 11 malam.

Dalam pada itu, sekatan jalan raya turut dilakukan di kawasan Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata sekatan jalan raya itu akan diadakan berterusan sepanjang tempoh perintah kawalan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata pihaknya menyampaikan hebahan kepada penduduk dengan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid sekitar Cheras supaya berada di rumah dan tidak keluar tanpa sebarang urusan penting.

“Rondaan anggota Unit Kereta Peronda juga dilakukan untuk memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak berada di luar kawasan kediaman mereka,” katanya.

– BERNAMA