Categories
AGENSI SELANGOR

Kilang proses barang elektronik di Klang terbakar

SHAH ALAM, 7 MEI: Sebuah kilang memproses barang elektronik di Taman Industri Meru, Klang musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.10 petang dan tiba di lokasi kejadian 11 minit kemudian.

“Kebakaran membabitkan kilang memproses barang elektronik, bahan yang digunakan adalah daripada plastik dengan anggaran keluasan 300 x 100 kaki.

“Bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 8.01 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada 5.25 pagi tadi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Seramai 46 anggota terbabit dalam operasi pemadaman iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar, Sungai Pinang, Kota Anggerik dan Pelabuhan Klang, selain dibantu Pasukan Bomba Bantuan serta Pasukan Bomba Sukarela dari Gombak, Seri Serdang, Kepong serta Batu.