Categories
PBT SELANGOR

MDSB wajibkan penjaja, penyewa premis guna SELangkah

SHAH ALAM, 7 MEI: Semua penjaja, penyewa gerai dan kedai Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) perlu menggunakan sistem SELangkah bagi memudahkan pengesanan kontak Covid-19.

Sistem imbasan kod QR di pautan www.selangkah.my diwajibkan di semua premis kerajaan dan perniagaan, pejabat serta pusat membeli-belah di Selangor.

“Norma baharu ini perlu dipatuhi demi mengesan punca kontak jika didapati ada dalam kalangan pelanggan atau pekerja dijangkiti Covid-19,” kata MDSB dalam kenyataan di Facebook.

Katanya, pihak berkaitan perlu memuat turun ‘Google Lens’ melalui ‘Play Store’ pada telefon bagi membolehkan pendaftaran imbasan kod QR untuk merekod kehadiran pelanggan termasuk kakitangan.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan mereka yang kurang mahir boleh berurusan di kaunter Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MDSB dari 8 pagi hingga 2.30 petang esok.

SELangkah menggunakan konsep asas kawalan automatik bagi pendaftaran individu yang memasuki sesuatu premis dengan mudah dan pantas.

Menerusinya, pengunjung dan pelawat hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan telefon bimbit dan mendaftar maklumat seperti nama dan nombor telefon.