Categories
AGENDA NASIONAL

KKM diberi ‘cuti’, tiada sidang media harian Covid-19

SHAH ALAM, 9 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berehat seketika daripada mengadakan sidang media harian berhubung perkembangan terkini Covid-19 dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya diberi cuti oleh Pejabat Perdana Menteri, namun akan mengeluarkan kenyataan media berhubung pandemik itu.

“Pada petang ini saya dan sebahagian pasukan diberi peluang untuk berehat seketika setelah bekerja tanpa henti sejak Disember 2019 dalam respon dan kesiapsagaan KKM menghadapi penularan Covid-19.

“Walaupun tiada sidang media hari ini, satu kenyataan akhbar tetap akan menyusul bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat terkini berkaitan status Covid-19 dalam negara,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, KKM melalui Twitter memaklumkan sidang media harian Covid-19 akan diteruskan esok seperti biasa.