SHAH ALAM, 7 MEI: Inisiatif SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang dibangunkan Kerajaan Selangor untuk mengesan Covid-19 selamat dan efektif kepada pengguna.
Anggota Pasukan Petugas Covid-19 Selangor Dr Helmi Zakariah berkata inisiatif tersebut tidak akan mendedahkan data peribadi pengguna, sebaliknya hanya merekodkan masa dan lokasi.
“Kita faham apabila memuat turun sesuatu aplikasi, orang ramai gusar data peribadi (didedahkan) dan menjejaki mereka. Apa yang kita buat ialah menukar premis perniagaan sebagai pusat kawalan.
“Sekiranya ada pengunjung demam, kita boleh kesan pengunjung lain yang ada bersama individu tersebut dan membantu mewujudkan pengesanan kontak,” katanya melalui rakaman video yang dikongsi di portal amirudinshari.com.
Dr Helmi berkata SELangkah diwujudkan selepas Kerajaan Negeri menyedari sistem menjejak kontak virus ketika ini sangat terhad dan kebanyakannnya dibuat secara manual.
Katanya, fasa pertama aplikasi tersebut dimulakan di pasar basah dan kedai runcit yang merupakan pusat kegiatan ekonomi paling berisiko untuk menyebarkan wabak.
Inisiatif dalam talian yang diperkenalkan pada 4 Mei lalu bertujuan mengesan kontak di mana-mana premis bagi mencegah penularan Covid-19.
Pemilik premis perlu mencetak sendiri kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya manakala pengunjung perlu mengimbas kod tersebut.
Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan SELangkah akan digunakan di semua premis kerajaan dan swasta berkuat kuasa serta-merta.