Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M dan Anwar senada, tidak akan khianati rakyat

SHAH ALAM, 9 MEI: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim senada tidak akan mengkhianati rakyat yang memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PAKATAN), dua tahun lalu.

Pengerusi Bersatu dan Presiden KEADILAN berkata mereka tidak berputus asa membawa suara rakyat, sama seperti hari ini dengan menolak perbezaan, sengketa dan kemelut.

“Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi.

“Masanya tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak sepatutnya,” kata kedua-dua pemimpin menerusi kenyataan bersama sempena ulang tahun kedua kemenangan PAKATAN pada 9 Mei 2018.

Kedua-dua pemimpin itu berkata sebaik menjadi kerajaan, usaha keras membentuk demokrasi yang terkubur digerakkan antaranya Dewan Rakyat diberi nafas baharu, reformasi institusi dan pentadbiran awam pula menjadi nadi utama negara.

“Agenda rakyat akhirnya jelas. Anak muda mula menjadi tunjang dan negeri diberi perhatian saksama merentas fahaman politik. Pokoknya, semua ini menjadi keutamaan bagi kerajaan PAKATAN.

“Apabila PAKATAN memerintah, kami pastikan demokrasi itu subur. Jika rakyat bersuara, wakil rakyat harus sahut dan tiada seorang pun dihalang bersuara dengan alasan ‘tindakan undang-undang’,” katanya lagi.

Dr Mahathir dan Anwar juga menyatakan mereka tidak mengiktiraf kerajaan hari ini dan prinsip itu jelas dari hari pertama ia tertubuh, iaitu berdiri tanpa mandat rakyat.

“Ia tidak diperolehi secara sah menurut kertas undi di dalam pilihan raya. Ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata. Malah, tidak ada satupun pemimpin kerajaan hari ini yang berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika kami untuk menyokong kerajaan hari ini,” katanya.