Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ahli politik harus galas mandat rakyat, patuh titah Sultan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Semua ahli politik harus bertanggungjawab dan melaksanakan tugas mengikut mandat rakyat, kata timbalan speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Hasnul Baharuddin berkata perebutan kuasa tidak seharusnya berlaku dan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor semalam harus menjadi ingatan.

“Sudah tentu titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkait dengan suasana DNS meskipun kemungkinan untuk berlaku perebutan kuasa itu amat rendah tetapi ingatan Tuanku perlu dipatuhi.

“Setiap ahli politik harus bertanggungjawab dan melaksana tugas mengikut mandat rakyat…sebagai wakil rakyat kita perlu menumpukan usaha menangani penularan wabak Covid-19,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib berkata demikian menerusi rancangan Bual Bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor, malam ini.

Semalam, Sultan Selangor ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DNS ke-14 mengingatkan ahli politik supaya tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggungjawab membela rakyat.

Baginda bertitah rakyat terpaksa menanggung kesusahan apabila keadaan politik tidak stabil akibat perebutan kuasa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M dan Anwar senada, tidak akan khianati rakyat

SHAH ALAM, 9 MEI: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim senada tidak akan mengkhianati rakyat yang memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PAKATAN), dua tahun lalu.

Pengerusi Bersatu dan Presiden KEADILAN berkata mereka tidak berputus asa membawa suara rakyat, sama seperti hari ini dengan menolak perbezaan, sengketa dan kemelut.

“Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi.

“Masanya tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak sepatutnya,” kata kedua-dua pemimpin menerusi kenyataan bersama sempena ulang tahun kedua kemenangan PAKATAN pada 9 Mei 2018.

Kedua-dua pemimpin itu berkata sebaik menjadi kerajaan, usaha keras membentuk demokrasi yang terkubur digerakkan antaranya Dewan Rakyat diberi nafas baharu, reformasi institusi dan pentadbiran awam pula menjadi nadi utama negara.

“Agenda rakyat akhirnya jelas. Anak muda mula menjadi tunjang dan negeri diberi perhatian saksama merentas fahaman politik. Pokoknya, semua ini menjadi keutamaan bagi kerajaan PAKATAN.

“Apabila PAKATAN memerintah, kami pastikan demokrasi itu subur. Jika rakyat bersuara, wakil rakyat harus sahut dan tiada seorang pun dihalang bersuara dengan alasan ‘tindakan undang-undang’,” katanya lagi.

Dr Mahathir dan Anwar juga menyatakan mereka tidak mengiktiraf kerajaan hari ini dan prinsip itu jelas dari hari pertama ia tertubuh, iaitu berdiri tanpa mandat rakyat.

“Ia tidak diperolehi secara sah menurut kertas undi di dalam pilihan raya. Ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata. Malah, tidak ada satupun pemimpin kerajaan hari ini yang berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika kami untuk menyokong kerajaan hari ini,” katanya.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Rakyat bangkit 9 Mei, kami tidak mungkin khianat

Hari ini adalah ulang tahun kedua hari yang paling bermakna dalam sejarah demokrasi negara. Pada 9 Mei 2018, kita saksikan perjalanan hampir 15 juta rakyat Malaysia dari setiap pelusuk negeri hingga ke seberang lautan, tanpa mengira kekangan hari bekerja telah menzahirkan suara mereka dalam undi untuk bangkit mempertahankan maruah negara. Mandat dari rakyat akhirnya telah diberi kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negara.

Dua tahun lepas, dunia menyaksikan sejarah terpahat di mana Malaysia telah membentuk sebuah kerajaan baharu yang menjunjung undang-undang, nilai moral dan tanggungjawab. Usaha keras mengejar demokrasi yang telah lama menjadi korban kerajaan terdahulu mula digerakkan. Dewan Rakyat mula diberi nafas baru. Reformasi institusi dan pentadbiran awam telah menjadi nadi utama negara. Agenda rakyat akhirnya jelas kelihatan. Anak muda mula menjadi tunjang. Negeri-negeri mula diberi perhatian saksama merentas fahaman politik. Pokoknya, semua ini menjadi keutamaan bagi kerajaan Pakatan Harapan.

9 Mei 2018 bukanlah satu peristiwa untuk memperingati penyatuan Mahathir atau Anwar. Ia adalah peristiwa yang jelas mengangkat nasib dan masa hadapan rakyat serta melawan ketidakadilan dalam negara. Suara dan harapan rakyat tidak boleh ditutup dengan cerita-cerita dongeng yang dibuat oleh Kerajaan Barisan Nasional yang dahulu.

Apabila Pakatan Harapan memerintah, kami pastikan demokrasi itu subur. Jika rakyat bersuara, wakil rakyat harus sahut dan tiada seorang pun dihalang bersuara dengan alasan ‘tindakan undang-undang’. Kebebasan bersuara: itu antara hadiah paling besar buat negara 2 tahun yang lalu. Rakyat sedar, bahawa tanggungjawab mentadbir negara ini adalah tanggungjawab bersama dan Ahli Parlimen hanyalah sekadar wadah yang membawa suara rakyat.

Begitulah kuasa rakyat. Kami taat dan hormat.

Walau bagaimanapun, rakyat kini tahu bahawa sebilangan usaha reformasi institusi, undang-undang dan ekonomi ini terbantut akibat usaha pihak tertentu yang mempunyai matlamat mereka tersendiri. Akhirnya, mandat rakyat telah dikhianati dan Kerajaan Pakatan Harapan dijatuhkan pada Februari lalu tatkala wabak COVID-19 mula melanda negara. Kerajaan hari ini sanggup berbuat apa sahaja untuk mengumpul kuasa. Jawatan besar mula diagih, kuasa dan pangkat terus ditagih.

Memahami situasi ini, kami tidak mengiktiraf kerajaan hari ini. Prinsip kami jelas dari hari pertama kerajaan ini tertubuh, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat. Ia tidak diperolehi secara sah menurut kertas undi di dalam pilihanraya. Ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata. Malah, tidak ada satupun pemimpin kerajaan hari ini yang berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat.

Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika kami untuk menyokong kerajaan hari ini.

Kami tidak ingin mengkhianati rakyat yang menghabiskan berjam-jam untuk beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara.

Dua tahun lepas, rakyat dari berbagai agama dan bangsa telah membantu usaha kami dengan memberi derma dan sumbangan, suara dan cadangan, harapan dan semangat hanya demi melihat perubahan yang lebih baik buat negara tercinta.

Dua tahun lepas, kami tidak berputus asa membawa suara rakyat. Hari ini juga sama. Kami telah lama menolak perbezaan, sengketa dan kemelut demi rakyat. Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi. Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat Rakyat ke pihak yang sepatutnya.

Jangan sesekali kita lupakan tarikh keramat 9 Mei 2018. Tarikh jatuhnya institusi kleptokrat. Tarikh kemenangan rakyat. Tarikh lahirnya Malaysia Baharu.

*Kenyataan bersama oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad

Categories
NASIONAL

Anwar: Hormati mandat diberi rakyat kepada Dr Mahathir

GEORGE TOWN, 29 APR: Hormati mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin negara, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Perdana Menteri bertindak betul dalam membawa mesej jelas, bahawa perlembagaan persekutuan perlu dihormati.

“Beliau (Tun Mahathir) mewakili kerajaan baru selepas diberi mandat oleh rakyat dan kita perlu menghormatinya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Power Talk yang bertema “The Future Direction of Malaysian Economy” anjuran Kumpulan Penang Premium Business Enterprise Group di sini, hari ini.

Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson berkata, tidak timbul sebarang keraguan mengenai kedudukan Perdana Menteri, memandangkan mandat itu jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kenyataannya kita berikan kedudukan itu, bahawa Perdana Menteri itu dipimpin oleh Perlembagaan… beliau adalah ketua yang diberi tugas itu, dan tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa beliau efektif dalam melaksanakan tugasnya,” katanya.

Bagaimanapun beliau juga berkata, tidak ada salahnya jika pihak istana membuat teguran terhadap kerajaan.

SUMBER: BERNAMA