Categories
AGENDA EKONOMI

Harga minyak global pacu ringgit kukuh minggu depan

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Aliran peningkatan harga minyak mentah ketika ini dijangka terus memacu pengukuhan ringgit berbanding dolar AS pada minggu depan, kata seorang penganalisis.

Menurut laporan, aliran kenaikan itu adalah yang pertama sejak April lepas yang menyaksikan permintaan terus mempengaruhi usaha untuk mengurangkan bekalan minyak sedia ada.

Penganalisis berkata laporan kelonggaran sekatan perjalanan di Eropah dan beberapa bahagian Asia serta Afrika susulan penularan Covid-19 juga telah mendorong permintaan apabila perniagaan terus beroperasi semula.

Pada masa sama, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) telah menyuarakan keyakinan bahawa semua anggotanya akan akur dengan persetujuan untuk mengurangkan pengeluaran berikutan kebimbangan mengenai kemunculan penularan baharu virus maut itu di China dan negara-negara lain.

Bagi Malaysia yang juga pengeksport bersih minyak mentah dan produk petroleum, sebarang pergerakan harga minyak mentah akan mempengaruhi prestasi ringgit.

Namun, Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata pergerakan ringgit-dolar AS boleh dihadkan pada julat kecil pada minggu depan tanpa sebarang perubahan ketara sentimen risiko global.

“Jika dolar AS terus mengalami penyusutan sepertimana pada separuh pertama bulan ini, keadaan itu mungkin mendorong ringgit-dolar AS ke arah tahap psikologi 4.30.

“Bagaimana pun, sebarang perkembangan ketara yang menyebabkan minat terhadap risiko di pasaran global akan menyaksikan ringgit di paras 4.25,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit diniagakan dalam lingkungan paras sokongan 4.2504 dan 4.2622 berbanding dolar AS manakala paras rintangan pada 4.2902 dan 4.3030.

Malah, sepanjang minggu ini ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding dolar berkenaan dengan kadar purata pada 4.2753.

Antara faktor yang mempengaruhi perkembangan itu adalah kebimbangan mengenai penularan baharu Covid-19, kadar pengangguran, kenaikan harga minyak serta keputusan kerajaan membenarkan pegawai dagang asing memasuki semula negara ini.

Malaysia kini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berlanjutan sehingga 31 Ogos, 2020.

Bagi asas mingguan, ringgit ditutup rendah sedikit pada paras 4.2670/2700 berbanding dolar AS daripada 4.2650/2700 pada Jumaat lepas.

Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0614/0662 daripada 3.0706/0753 namun susut berbanding yen Jepun pada 3.9897/9964 daripada 3.9663/9717.

Berbanding euro, ringgit meningkat pada 4.7854/7926 daripada 4.8280/8353 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.2983/3075 daripada 5.3944/3024 sebelum ini.

-BERNAMA