Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kajian perluas inisiatif Plats kepada bidang perniagaan lain – EXCO

SHAH ALAM, 6 JUN: Kerajaan Negeri meneliti sama ada memperluaskan inisiatif Platform Selangor (Plats) kepada cabang perniagaan lain bagi memberi peluang usahawan menjana pendapatan dalam suasana norma baharu.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata saluran e-dagang khas yang diperkenalkan sepanjang Ramadan lalu mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan peniaga dan penjaja.

“Walaupun masa singkat tetapi Plats ada kelebihan tersendiri yang membolehkan rangkaian restoran memasarkan produk secara dalam talian, jadi inisiatif meneruskan program ini kita sedang teliti memandangkan ramai berminat menyertainya.

Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail diwawancara pada Majlis Anugerah Kampungku Raya yang disiarkan secara langsung di Facebook Kitakan Sekampung pada 5 Jun 2020. Foto REMY ARIFI/SELANGORKINI

“Kita tidak akan menumpukan pada produk makanan sahaja sebaliknya dunia perniagaan lain termasuk kraftangan bagi menonjolkan usahawan yang terlibat dalam sektor ini,” katanya selepas Majlis Anugerah Kampungku Raya di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Beliau juga percaya usahawan di negeri ini mampu mengembangkan perniagaan sekiranya mereka diberikan bimbingan lengkap selain memperkemas teknik pemasaran melalui aplikasi digital.

Pada 18 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Plats bagi membantu peniaga di Selangor menjana pendapatan tambahan ketika Ramadan susulan larangan penganjuran bazar Ramadan bagi mengekang penularan Covid-19 di negara ini.