Categories
AGENDA NASIONAL

Peruntukan tambahan RM6 juta teruskan Rakan Digital Selangor, PLATS

SHAH ALAM, 26 NOV: Selangor menyediakan peruntukan tambahan bernilai RM6 juta bagi meneruskan inisiatif Rakan Digital Selangor dan Platform Selangor (PLATS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana tersebut hasil sumbangan sepenuhnya Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Jelas beliau, kedua-dua inisiatif berkenaan dipergiat bagi membantu pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mikro bagi mengadaptasi pendigitalan dalam perniagaan.

“PLATS merupakan direktori utama kepada peniaga kecil Selangor atau platform promosi percuma disediakan Kerajaan Negeri khususnya buat peniaga kecil menjamin kelangsungan perniagaan di era digital,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PLATS pasar produk 4,085 peniaga, mudahkan mohon bantuan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Program Platform Selangor (PLATS) yang diperkenalkan tahun lalu memudahkan pemasaran produk 4,085 peniaga secara maya, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif dibangunkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) turut menjadi platform digital untuk memohon bantuan negeri.

“PLATS telah mengumpulkan 4,085 peniaga atas satu platform digital supaya produk mereka mudah dipasarkan di samping bantuan program oleh Kerajaan Negeri.

“Selain itu, permohonan rebat Grab ke pusat pemberian vaksin (PPV), Data Internet Selangor dan Skim Pembiayaan Go Digital juga boleh dimohon menerusi PLATS,” katanya di Facebook hari ini.

Amirudin turut menggalakkan penduduk negeri ini melayari laman sesawang www.platselangor.com untuk menikmati manfaat disediakan selain membantu peniaga kecil meneruskan kelangsungan hidup.

PLATS diperkenal Ramadan tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April, Kerajaan Negeri melancarkan PLATS 2.0 bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Foto Facebook Amirudin Shari
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Negeri Pintar: Selangor sedia kongsi data dengan persekutuan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Selangor sedia berkongsi data bersama Kerajaan Persekutuan bagi memastikan rancangan menjadi Negeri Pintar (Smart Selangor) menjelang 2025 tercapai.

Dato’ Menteri Besar berkata sekiranya bergerak sendiri, Kerajaan Selangor sukar merealisasikan matlamat itu memandangkan negeri ini merupakan nadi penggerak negara.

“Kerap kali saya ingatkan kita tak boleh kerja sendirian untuk laksanakan Smart Selangor. Jadi kita tak ada masalah dan terbuka untuk berkongsi data namun perlu ada syarat tertentu.

“Bila gabungkan data, seperti pandemik Covid-19. Kita mampu tebak pergerakan jangkitan dan sikap manusia, jadi boleh rencanakan program (mengatasi).,” kata Dato’ Seri Amirudn Shari.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Bukit Antarabangsa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung kesediaan Kerajaan Selangor berkongsi data memandangkan negeri ini menggiatkan konsep pendigitalan.

Selangor menjadi negeri pertama memperkenalkan pendigitalan dalam pentadbiran negeri antaranya Citizen E-Payment Platform (CEpat) dan Platform Selangor (PLATS).

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Bangkit perah kemanisan, PLATS bantu luaskan pasaran air tebu

Foto AHMAD ZAKKI JILAN

SHAH ALAM, 22 OGOS: Fikirannya kusut. Perniagaan minyak pelincir dan rawatan enjin motokar milik Wan Muhd Syafis Ishak, 42, tiba-tiba tunggang-langgang.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytihar pada Mac tahun lalu, kerugiannya mencecah RM25,000 dalam tempoh lima bulan.

Sebelum itu, lebih 1,000 tempahan dalam talian diterima saban bulan. Kini merudum kepada 200 sahaja akibat sekatan perjalanan.

Beliau terpaksa mengorek wang simpanan untuk membayar gaji pekerja dan sewa pejabat. Lebih RM5,000 dikeluarkan setiap bulan dalam tempoh itu.

Atas saranan rakannya, beliau beralih kepada perniagaan air tebu. Tanpa disangka-sangka, jualannya melonjak. Lebih-lebih lagi dengan bantuan Platform Selangor (PLATS).

Wan Muhd Syafis memulakan perniagaan minyak enjin kenderaan sejak 2016 dengan dibantu lima pekerja. Produk itu mendapat sambutan baik dalam talian.

Dalam sebulan, purata jualan bulanan dianggar RM30,000. Jumlah meningkat kepada RM40,000 pada musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

Dua orang pekerja mengangkat tebu yang baru sampai di di kedai mereka di Bandar Saujana Putra pada 24 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sebaliknya sejak PKP dikuat kuasa di seluruh negara, hendak dapat RM7,000 sebulan pun payah. Tempahan hanya berlegar 200 tempahan minyak berkenaan.

“Tabiat orang kita, selalunya selenggara kereta cuma bila nak jalan jauh sahaja seperti balik kampung atau bercuti.

“Bila PKP dibuat, tidak boleh bergerak ke mana-mana. Hari raya pun tidak boleh balik kampung. Sebab itu, ramai tidak selenggara kereta dan jualan pun merosot teruk,” katanya kepada Selangorkini.

Semakin lama wang simpanan beliau semakin menyusut bagi menggerakkan perniagaan minyak hitam.

Namun, pilihan Wan Muhd Syafis terbatas. Berniaga satu-satunya sumber rezeki bapa kepada dua anak itu untuk menampung keluarga.

Pinjam mesin

Dalam sibuk untuk menyelamatkan perniagaan sedia ada, rakannya dikenali sebagai Pok Din mencadangkan beliau menjual air tebu dalam botol.

Beliau menyaksikan sendiri jualan air tebu Pok Din yang terletak berdekatan kedainya laris sepanjang Ramadan tahun sebelumnya.

Namun, Pok Din lebih berminat dengan perniagaan restoran sahaja. Justeru beliau meminjam mesin pemerah tebu. Pok Din turut mengajarnya selok belok berniaga air tebu termasuk cara mendapatkan bekalan.

Berbekal bantuan itu, Wan Muhd Syafis tekad untuk bangkit dengan memulakan perniagaan pada Julai 2020 atas jenama Air Tebu Kawwjus. Mulanya, beliau cuma berniaga di tepi jalan dan beberapa kedai sekitar Saujana Putra, Kuala Langat.

“Mula-mula buat dalam 20 hingga 30 botol sehari dan habis. Kemudian tambah 50 botol lagi, juga habis. Tambah lagi 100 botol, juga habis.

“Sekarang saya boleh jual kira-kira 4,500 hingga 5,000 botol seminggu sama ada jualan terus atau menerusi tujuh ejen di Lembah Klang,” katanya.

Air Tebu Kawwjus mendapat sambutan berikutan faktor kesegarannya selain adanya pilihan perisa termasuk lemon.

Wan Muhd Syafis Ishak menggunakan mesin khas untuk membuang kulit tebu di kedainya di Bandar Saujana Putra pada 24 Julai 2021.
Beliau menyertai Platform Selangor (PLATS) selepas Kerajaan Negeri memperluaskan program itu kepada penjaja kecil dan peruncit. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Lantaran mesin yang dipinjam tidak mampu menampung pengeluaran, Wan Muhd Syafis melabur RM45,000 untuk membeli mesin pengisar dan pemerah berkuasa tinggi pada awal tahun ini.

Permintaan Air Tebu Kawwjus mendapat sambutan baik, lebih-lebih lagi penyertaannya dalam PLATS banyak membantu promosi produknya sekali gus pasarannya kian meluas.

“Saya mula daftar PLATS semasa mula-mula diperkenal. Ramai juga pelanggan yang membeli. Bagusnya PLATS mudah daftar, berstruktur dan paling penting percuma,” katanya.

PLATS adalah sebuah program anjuran Kerajaan Negeri untuk membantu peniaga membuat jualan dalam talian. Pelanggan mudah menjejaki perniagaan atau produk melalui laman sesawang itu.

Berikutan permintaan tinggi, Wan Muhd Syafis perlu memastikan bekalan bahan mentah yang konsisten. Beliau memerlukan kira-kira lima tan tebu seminggu. Bekalan diperoleh dari Kedah dan Negeri Sembilan.

“Dahulu memang tanaman tebu besar-besaran terdapat di Perlis tetapi sekarang tidak lagi,” katanya.

Namun, ada kala Wan Muhd Syafis berdepan situasi terputus bekalan berikutan pengusaha menanam dalam jumlah kecil, sekitar satu atau dua ekar sahaja.

Justeru, beliau bercadang membuka kilang lagi di Negeri Sembilan bagi memudahkan urusan mendapat bekalan tebu untuk dihantar ke kilangnya di Saujana Putra.

Beliau juga berhasrat mempertingkat kemudahan kilangnya sesuai dengan piawaian untuk mendapatkan pensijilan halal suatu hari kelak.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cadang buka pasar raya di Thailand, khusus jual produk usahawan Selangor

SHAH ALAM, 10 JULAI: Kerajaan Selangor merancang membuka sebuah pasar raya di Pattani, Thailand khusus untuk menjual produk usahawan negeri ini.

EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata langkah itu bertujuan membangunkan usahawan di negeri ini serta memperluas pasaran produk ke luar negara.

“Hasrat ini antara inisiatif kita menyokong program pembangunan usahawan sedia ada seperti PLATS (Platform Selangor), Seldec (Rantaian e-Bekalan Digital Selangor) dan Hijrah Selangor (Hijrah)

“Kerajaan Negeri akan merealisasikan agenda Negeri Pintar bukan hanya untuk pasaran tempatan sahaja  sebaliknya ke luar negara dengan permulaan di Asia,” katanya.

Beliau berkata pada program `Bual Bicara Menyambung Nyawa Usaha IKS Dalam Era Covid-19′ disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV malam tadi.

Pada Oktober 2019, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Seldec bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

PLATS diperkenalkan Ramadan tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Program Hijrah pula membantu mengeluarkan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan peniaga kecil yang sering menghadapi kekangan modal.

Ketika awal penubuhan Hijrah enam tahun lepas, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Mikro Kredit dengan modal pusingan RM100 juta.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PLATS diperluas, bantu PKS mikro jana ekonomi

SHAH ALAM, 9 JUN: Platform Selangor (PLATS) diperluaskan kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) mikro khususnya penjaja dan peruncit bagi menggerakkan ekonomi golongan itu.

Dato’ Menteri Besar berkata mereka digalakkan merebut peluang yang ada dan segera mendaftar menerusi pautan www.platsselangor.com .

“Menerusi PLATS, PKS mikro dapat mempelajari asas berkaitan pendigitalan, menerima bantuan pembiayaan serta latihan keusahawanan.

“Sejak dilancarkan, lebih 2,000 PKS mikro telah menyertai skim percuma ini. Rakan strategik, Grab Express akan membantu melancarkan proses penghantaran produk dijual peserta program,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 hari ini.

PLATS diperkenal Ramadan tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Terdahulu, Amirudin membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PLATS 2.0 bantu peniaga cari rezeki ketika PKP

SHAH ALAM, 3 JUN: Platform Selangor (PLATS) 2.0 diteruskan bagi memberi peluang kepada penjaja dan peruncit menjual bahan makanan serta minuman.

Dianjur Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, platform maya itu dapat menggerakkan ekonomi negeri sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif itu dibuat dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Yayasan Hijrah Selangor, kedua-duanya anak syarikat Kerajaan Negeri, selain Grab Express.

Menerusi PLATS 2.0, penjaja dan peruncit juga boleh mempelajari asas berkaitan pendigitalan, menerima bantuan pembiayaan serta latihan keusahawanan.

Untuk penyertaan, mereka boleh mendaftar melalui laman sesawang www.platselangor.com dengan melengkapkan butiran perniagaan.

Seterusnya, peniaga dan peruncit diminta memuat naik foto kedai dan menu jualan sebelum pendaftaran PLATS 2.0 diproses.

Antara gerai di Bazar Ramadan Bandar Kinrara yang mendaftar perniagaan melalui saluran e-dagang, Platform Selangor (PLATS) ketika tinjauan pada 19 April 2021. /Foto MUSTAKIM RAMLI SELANGORKINI

Orang ramai yang mahu membuat tempahan hanya perlu mengakses laman sesawang itu, memilih kedai seterusnya memesan juadah dan membuat bayaran melalui kaedah e-dompet atau terus ke akaun bank.

Juadah kemudian boleh diambil sendiri atau menggunakan perkhidmatan penghantaran Grab Express.

Pada bulan lalu, Ketua Pegawai Operasi MBI Soffan Affendi Aminudin berkata PLATS adalah usaha mengubah nasib 75 peratus daripada 22,000 penjaja melalui saluran e-dagang supaya mereka boleh memiliki kedai sendiri.

Katanya, mereka terbahagi kepada dua kategori iaitu berpendapatan bawah RM100 sehari dan lebih RM100 sehari manakala kategori tiga pula memiliki satu premis kedai serta keempat memiliki rangkaian kedai.

“Kami menyasarkan golongan satu dan dua dapat mengubah perniagaan mereka menjadi golongan tiga serta empat. Kesan ekonomi menjadi luas jika kita latih mereka berada di dalam platform yang betul (PLATS).

“Mereka adalah golongan berpendapatan rendah (B40) dan mengubah mereka kepada pendapatan sederhana (M40) adalah kejayaan yang besar untuk negeri ini,” katanya.

PLATS 2.0 diperkenal bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April, Dato’ Menteri Besar berkata program yang diperkenal pada Ramadan tahun lalu diteruskan lagi bagi membantu peniaga menjana pendapatan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program PLATS 2.0 tidak hanya berlangsung ketika Ramadan sebaliknya dijalankan sepanjang masa

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

PLATS bantu promosi produk peniaga kecil

SHAH ALAM, 5 MEI: Platform Selangor (PLATS) diwujudkan bagi membantu usaha mempromosi produk peniaga kecil, kata ketua pegawai operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

Soffan Affendi Aminudin berkata kaedah itu penting bagi memastikan kejayaan perniagaan dapat dilihat apabila sesebuah produk tular.

“Viral (tular) natijahnya ‘sale’ (jualan) meningkat dan semuanya jadi secara kebetulan. Jadi, kenapa kita tidak rancang perkara itu jadikan berstruktur dan dapat memberi manfaat kepada yang lain.

“Promosi ini adalah perbelanjaan yang orang tidak sanggup keluar tetapi ia penting. Hal seperti ini yang kita dahulukan dan promosi itu dimasukkan dalam PLATS,” katanya pada 28 April.

Soffan Affendi Aminudin

Soffan Affendi menjelaskan saluran e-dagang ini memudahkan urusan peniaga yang hanya perlu memberi nombor telefon, gambar dan lokasi untuk promosi.

Pada 11 April, Dato’ Menteri Besar berkata program e-dapur yang diperkenal pada Ramadan tahun lalu diteruskan lagi bagi membantu peniaga menjana pendapatan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program PLATS 2.0 kali ini tidak hanya berlangsung
ketika Ramadan sebaliknya dijalankan sepanjang masa.

Inisiatif itu diusahakan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri, dengan kerjasama Yayasan Hijrah Selangor dan Grab Express.

PLATS 2.0 diperkenal bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Ubah nasib penjaja, bantu miliki kedai sendiri

SHAH ALAM, 3 MEI: Kerajaan Negeri berusaha mengubah nasib 75 peratus daripada 22,000 penjaja melalui saluran e-dagang Platform Selangor (PLATS) supaya mereka boleh memiliki kedai sendiri .

Ketua pegawai operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) berkata golongan ini dibahagi kepada dua kategori, pendapatan bawah RM100 sehari dan lebih RM100 sehari.

Soffan Affendi Aminudin juga menjelaskan kategori tiga pula memiliki satu premis kedai dan keempat memiliki rangkaian kedai.

“Kami mensasarkan golongan satu dan dua ini dapat mengubah perniagaan mereka menjadi golongan tiga serta empat. Kesan ekonomi menjadi luas jika kita latih mereka berada di dalam platform yang betul (PLATS).

“Mereka ini adalah golongan berpendapatan rendah (B40) dan mengubah mereka kepada pendapatan sederhana (M40) adalah kejayaan yang besar untuk negeri ini,” katanya kepada Selangorkini.

Selain PLATS, katanya, Inisiatif Rakan Digital Selangor (Rakan Digital) diperkenal bagi membimbing peniaga kecil menjana pendapatan termasuk kaedah pemasaran di media sosial.

Beliau memaklumkan langkah-langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan kelestarian ekonomi sebagai reaksi Laporan Tahunan 2020 Bank Negara Malaysia yang meramalkan ekonomi berkembang pada kadar 6 hingga 7.5 peratus tahun ini.

Selangor memperkenal PLATS setahun lalu ketika negara berdepan dengan kemelut Covid-19 yang mengakibatkan kawalan pergerakan orang ramai mulai Mac.

Sewaktu melancarkan Inisiatif Rakan Digital pertengahan bulan ini, Dato’ Menteri Besar berkata ia dibentuk berdasarkan pengalaman tahun lalu.

“Kita dapati peniaga tidak bersedia (berniaga dalam talian) kerana duit tidak nampak depan mata, mereka tidak yakin.

“Jadi, kita lihat ekosistem berniaga dalam talian perlu dilengkapkan, maka ditubuhkan Rakan Digital untuk memberi nasihat kepada peniaga,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mahu tarik lebih ramai pelanggan dorong peniaga daftar PLATS

SUBANG JAYA, 20 APRIL: Mahu mempelbagaikan kaedah jualan mendorong peniaga kepak ayam madu mendaftar perniagaannya di saluran e-dagang, Platform Selangor (PLATS).

Nashima Anwar ketika ditemui di Bazar Ramadan Bandar Kinrara pada 19 April 2021/ Foto MUSTAKIM RAMLI SELANGORKINI

Nashima Anwar berkata penerangan oleh sukarelawan Rakan Digital Selangor mengenai peluang mendapatkan lebih ramai pelanggan menarik minat beliau untuk mendaftar.

“Sebelum ini saya bergantung hasil jualan daripada pembeli yang datang ke kedai dan menerusi PLATS saya dimaklumkan ia membantu saya mendapat pelanggan secara dalam talian.

“Ini memudahkan urusan perniagaan terutama ketika hujan, bolehlah kami membuat penghantaran kepada mereka yang membuat pesanan melalui PLATS,” katanya ditemui di Bazar Ramadan Bandar Kinrara di sini, semalam.

Syed Hamid Al Jufri ketika ditemui di Bazar Ramadan Bandar Kinrara pada 19 April 2021/ Foto MUSTAKIM RAMLI SELANGORKINI

Perkara sama turut disokong peniaga nasi arab Syed Hamid Al Jufri yang memaklumkan PLATS dapat membantu menarik lebih ramai lagi pelanggan yang gemar membuat pesanan melalui telefon pintar.

“Jualan nasi arab saya dianggarkan 100 bungkus sehari dengan 70 bungkus sahaja dibeli secara dalam talian. Jadi melalui PLATS akan bertambah berkembang perniagaan saya menerusi dalam talian,” katanya.

Antara gerai di Bazar Ramadan Bandar Kinrara yang mendaftar perniagaan di saluran e-dagang, Platform Selangor (PLATS) pada 19 April 2021. /Foto MUSTAKIM RAMLI SELANGORKINI

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 800 peniaga sertai saluran e-dagang

SUBANG JAYA, 19 APRIL: Seramai 780 usahawan mendaftar perniagaan mereka di saluran e-dagang, Platform Selangor (PLATS) sejak ia diperkenal awal bulan ini.

Pengurus Operasi Rakan Digital Selangor Najwa Ashiqen Abdul Rahman berkata mereka terdiri daripada peniaga berasaskan makanan termasuk 200 peniaga bazar Ramadan.

Pengurus Operasi Rakan Digital Selangor Najwa Ashiqen Abdul Rahman ketika ditemui di Bazar Ramadan Bandar Kinrara pada 19 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

“Jumlah ini merangkumi perniagaan di enam pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sambutan amat menggalakkan apabila 400 telah mendaftar pada minggu kedua ia diperkenal,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi pendedahan mengenai PLATS kepada peniaga Bazar Ramadan Bandar Kinrara di sini hari ini.

Najwa Ashiqen berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus peniaga dari 80 gerai di bazar itu mendaftar saluran e-dagang berkenaan.

Tambahnya, setakat ini seramai 100 sukarelawan Rakan Digital Selangor yang terdiri dalam kalangan belia turun padang bagi memberi pendedahan kepada peniaga.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 1,000 sukarelawan bagi membantu memberi kesedaran berhubung agenda pendigitalan negeri ini.

Saluran e-dagang tersebut dimulakan tahun lalu dengan pelancaran PLATS e-bazar iaitu bazar Ramadan digital pertama di negara ini berikutan ketiadaannya akibat penularan Covid-19.

Program itu ditambah baik menerusi PLATS 2.0 pada 11 April lalu dan Kerajaan Negeri menyasarkan lebih ramai peniaga menyertai program e-Dapur seiring perkembangan era pendigitalan serta berjalan sepanjang masa.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kajian perluas inisiatif Plats kepada bidang perniagaan lain – EXCO

SHAH ALAM, 6 JUN: Kerajaan Negeri meneliti sama ada memperluaskan inisiatif Platform Selangor (Plats) kepada cabang perniagaan lain bagi memberi peluang usahawan menjana pendapatan dalam suasana norma baharu.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata saluran e-dagang khas yang diperkenalkan sepanjang Ramadan lalu mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan peniaga dan penjaja.

“Walaupun masa singkat tetapi Plats ada kelebihan tersendiri yang membolehkan rangkaian restoran memasarkan produk secara dalam talian, jadi inisiatif meneruskan program ini kita sedang teliti memandangkan ramai berminat menyertainya.

Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail diwawancara pada Majlis Anugerah Kampungku Raya yang disiarkan secara langsung di Facebook Kitakan Sekampung pada 5 Jun 2020. Foto REMY ARIFI/SELANGORKINI

“Kita tidak akan menumpukan pada produk makanan sahaja sebaliknya dunia perniagaan lain termasuk kraftangan bagi menonjolkan usahawan yang terlibat dalam sektor ini,” katanya selepas Majlis Anugerah Kampungku Raya di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Beliau juga percaya usahawan di negeri ini mampu mengembangkan perniagaan sekiranya mereka diberikan bimbingan lengkap selain memperkemas teknik pemasaran melalui aplikasi digital.

Pada 18 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Plats bagi membantu peniaga di Selangor menjana pendapatan tambahan ketika Ramadan susulan larangan penganjuran bazar Ramadan bagi mengekang penularan Covid-19 di negara ini.