Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam terima mesin pengimbas, bot pengejar sebelum Disember

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Sebanyak 30 mesin pengimbas serta 30 bot pengejar baharu akan diterima pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum Disember tahun ini, menurut Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir.

Beliau berkata kemudahan itu akan digunakan bagi menambah baik penugasan serta keperluan JKDM di pintu-pintu masuk sempadan negara.

“Pihak JKDM kini sedang menunggu 30 mesin baharu untuk dihantar serta dipasang di sini. Di samping itu, mesin pengimbas sedia ada yang telah luput atau rosak akan digantikan.

“JKDM dalam masa sama turut akan menerima penghantaran 30 bot pengejar untuk ditempatkan di seluruh negara yang semestinya akan memantapkan lagi kemampuan JKDM melaksanakan tugas,” katanya kepada Bernama selepas hadir program Ruang Bicara, terbitan Bernama TV malam tadi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai aktiviti penyeludupan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau berkata penyeludup tetap meneruskan aktiviti haram mereka walaupun dalam tempoh PKP.

“Sepanjang tahun ini sahaja lebih 200 kes penyeludupan rokok dan minuman keras berlaku. JKDM pernah merampas 40 kontena rokok tidak sah selain merampas dadah sebanyak 2.5 tan dalam tempoh PKP.

“Kalau mengikut data harian, setiap hari ada sahaja kes, dakwaan serta tangkapan dibuat. Jika nak katakan semasa PKP semakin teruk atau semakin baik tidak dapat dipastikan namun setakat ini bilangan kes tetap meningkat,” katanya.

Abdul Latif berkata JKDM bagaimanapun sentiasa melaksanakan operasi bersifat semasa secara berterusan bagi memastikan pembanterasan aktiviti penyeludupan dapat dilaksana.

“Ia bukti tenaga kerja JKDM sentiasa bersiap siaga dalam memastikan sempadan negara tidak dapat dibolosi dengan mudah walaupun dalam tempoh PKP,” katanya.

– BERNAMA