Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam gagal cubaan seludup 456 juta batang rokok Januari-Jun tahun ini

PUTRAJAYA, 21 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 456.03 juta batang rokok bernilai RM37.33 juta dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sekali gus berjaya menutup ketirisan hasil membabitkan jumlah duti dan cukai sebanyak RM337.5 juta.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata sebanyak 804 kes, melibatkan rampasan rokok kretek dan rokok putih, ditumpaskan JKDM dalam tempoh enam bulan pertama itu, termasuk kira-kira 40 kes ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Modus operandi penyeludupan menggunakan kontena melalui pelabuhan utama dengan memalsukan dokumen dan pengikraran untuk mengelirukan pegawai penguat kuasa,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kenderaan Orang Kena Tuduh (OKT) jenis Maxus V80 2.5 liter Window Van di sini hari ini.

Menurut Abdul Latif, bekalan rokok tidak sah semasa PKP berkurangan di pasaran menyebabkan harga naik mencecah RM10 sekotak.

Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lepas, katanya JKDM mematahkan cubaan menyeludup 236.2 juta batang rokok bernilai RM19.52 juta, membabitkan jumlah duti dan cukai sebanyak RM174.78 juta.

Mengenai penyeludupan dadah pula, Abdul Latif berkata JKDM menumpaskan 115 kes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Abdul Latif berkata JKDM akan memohon penambahan alatan pengimbas daripada Kementerian Kewangan untuk diletakkan di semua pintu masuk pelabuhan dan lapangan terbang strategik bagi memperkukuhkan penguatkuasaan.

Menurutnya, JKDM akan menerima sebanyak 20 mesin pengimbas kargo bernilai RM235 juta yang telah diluluskan kerajaan pada akhir tahun ini untuk ditempatkan di pintu masuk pelabuhan dan lapangan terbang strategik.

“Mesin pengimbas canggih serta kaedah andaian yang tinggi harus diguna pakai pegawai kerana ada pelbagai modus operandi penyeludupan termasuk menggunakan badan, alatan elektronik, serta memasukkan serbuk dadah dalam peket minuman ‘3 dalam 1’ untuk mengelirukan penguat kuasa,” katanya.

Khidmat anjing pengesan juga penting dalam menumpaskan aktiviti penyeludupan dan kira-kira 40 ekor anjing pengesan milik JKDM kini ditempatkan di stesen sempadan seperti di Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, pintu sempadan Johor Bahru dan KLIA, katanya.

Mengenai kenderaan OKT itu, Abdul Latif berkata 12 unit kenderaan berkenaan akan digunakan bahagian penguatkuasaan JKDM di peringkat ibu pejabat, zon dan negeri yang boleh memuatkan sehingga 13 orang, melibatkan maksimum 10 OKT dan tiga pegawai termasuk pemandu.

Beliau berkata penyediaan kenderaan itu, yang dilengkapi antaranya dengan jeriji besi dan kamera pegawasan, adalah bagi memastikan keselamatan kepada OKT, anggota pengiring serta pengendali kenderaan semasa pergerakan OKT.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam terima mesin pengimbas, bot pengejar sebelum Disember

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Sebanyak 30 mesin pengimbas serta 30 bot pengejar baharu akan diterima pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum Disember tahun ini, menurut Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir.

Beliau berkata kemudahan itu akan digunakan bagi menambah baik penugasan serta keperluan JKDM di pintu-pintu masuk sempadan negara.

“Pihak JKDM kini sedang menunggu 30 mesin baharu untuk dihantar serta dipasang di sini. Di samping itu, mesin pengimbas sedia ada yang telah luput atau rosak akan digantikan.

“JKDM dalam masa sama turut akan menerima penghantaran 30 bot pengejar untuk ditempatkan di seluruh negara yang semestinya akan memantapkan lagi kemampuan JKDM melaksanakan tugas,” katanya kepada Bernama selepas hadir program Ruang Bicara, terbitan Bernama TV malam tadi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai aktiviti penyeludupan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau berkata penyeludup tetap meneruskan aktiviti haram mereka walaupun dalam tempoh PKP.

“Sepanjang tahun ini sahaja lebih 200 kes penyeludupan rokok dan minuman keras berlaku. JKDM pernah merampas 40 kontena rokok tidak sah selain merampas dadah sebanyak 2.5 tan dalam tempoh PKP.

“Kalau mengikut data harian, setiap hari ada sahaja kes, dakwaan serta tangkapan dibuat. Jika nak katakan semasa PKP semakin teruk atau semakin baik tidak dapat dipastikan namun setakat ini bilangan kes tetap meningkat,” katanya.

Abdul Latif berkata JKDM bagaimanapun sentiasa melaksanakan operasi bersifat semasa secara berterusan bagi memastikan pembanterasan aktiviti penyeludupan dapat dilaksana.

“Ia bukti tenaga kerja JKDM sentiasa bersiap siaga dalam memastikan sempadan negara tidak dapat dibolosi dengan mudah walaupun dalam tempoh PKP,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam tumpas sindiket edar dadah antarabangsa, rampas RM100 juta

NILAI, 9 JUN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, 4 Jun lepas.

Ketua Pengarah Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata hasil penahanan kontena pada 1 tengah hari itu, pihaknya menemukan sejumlah paket produk susu unta dan susu kambing pracampuran keluaran tempatan yang turut mengandungi dadah ketamin dengan berat kasar 2,500 kilogram atau 2.5 tan, yang dianggarkan berjumlah RM100 juta.

“Kontena 20 kaki (6.096 meter) itu tiba dari sebuah pelabuhan di Asia Selatan. Turut ditahan seorang lelaki warga asing berumur 55 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun yang disyaki terlibat dalam rangkaian sindiket antarabangsa ini.

“Hasil siasatan awal mendapati kontena berkenaan yang diikrar sebagai serbuk susu unta dieksport keluar dari negara pada akhir 2019. Kandungan di dalam kontena tersebut dipercayai telah ditukar kepada dagangan yang hampir serupa tetapi diisi dengan campuran serbuk disyaki mengandungi dadah ketamin sebelum diimport semula,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di JKDM Cawangan Narkotik di sini yang turut dihadiri Penolong Ketua Pengarah Kastam Datuk Johari Alifiah dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Koh Joo Kai.

Mengulas lanjut, beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman 10 hari bermula 4 Jun lepas bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menyifatkan rampasan itu sebagai kejayaan terbesar JKDM dalam konteks dadah tahun ini, Abdul Latif berkata ia merupakan kes pertama kali modus operandi menggunakan produk pracampuran berbanding sebelum ini yang melibatkan produk teh.

“Bahkan ini juga kali pertama produk ditolak oleh negara penerima dan dihantar semula ke negara ini dan kami percaya produk ini telah dicampur dengan dadah di negara penerima,” katanya.

– BERNAMA