Categories
AGENDA NASIONAL

KKM rancang tambah taska di hospital kerajaan

PUTRAJAYA, 1 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) merancang untuk menambah taman asuhan kanak-kanak (taska) di hospital kerajaan kepada 146 berbanding 112 ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Selari dengan penambahan jumlah taska di hospital berkenaan, beliau berkata KKM juga bercadang memperkenalkan waktu jagaan dua syif berbanding hanya satu ketika ini bagi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan yang bekerja dalam waktu syif.

“Kita juga sudah memperbaiki penggunaan perkataan isolasi kepada keutamaan untuk anak-anak petugas barisan hadapan terutama di KKM.

“Kita akan khaskan taska di hospital dan kalau taska di hospital tidak cukup ruang, maka kita nasihatkan pengusaha taska (di luar) beri keutamaan kepada warga kerja KKM untuk mereka menempatkan anak mereka di taska,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pembukaan taska perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) termasuk pergaulan yang terhad dalam kalangan kanak-kanak di taska.

“SOP pergaulan antara kanak-kanak tidak terbuka dan guru seorang mesti kekal pada satu kumpulan dan setiap kumpulan tidak bergaul secara bebas dengan kumpulan yang lain.

“Esok KKM akan bentang SOP yang diperhalusi kepada Majlis Keselamatan Negara. Ada SOP yang telah kita lihat bersama jabatan tertentu,” katanya.

– BERNAMA