Categories
PBT SELANGOR

MDHS periksa lima premis, sita dan kompaun peniaga ingkar

SHAH ALAM, 6 JUN: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memeriksa lima premis membabitkan kedai runcit dan pasar mini di sekitar Taman Bunga Raya dan Jalan Kasturi di Bukit Beruntung pada 4 Jun lalu.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya memaklumkan dalam pemeriksaan itu didapati tiga premis tidak mempunyai lesen perniagaan manakala dua lagi lesen tidak diluluskan pihak berkuasa tempatan tersebut.

“Bagi premis yang tidak mempunyai lesen perniagaan, MDHS bertindak menyita mengikut Undang-undang kecil 3 dan 38 (1), Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007.

“Manakala, dua premis lagi dikenakan kompaun kerana didapati mengalirkan cecair kotor ke tempat awam dan peniaga diarah merobohkan binaan haram di kaki lima yang dibuat untuk mencuci ikan,” kata kenyataan itu hari ini.

Pada masa sama, salah satu premis berlesen turut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 46 (1) (d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana meletakkan barang di kaki lima tetapi tidak mempunyai permit berniaga di kawasan terbabit.

“Operasi dan pemantauan ini terus dilaksanakan berkala pada setiap bulan bagi memastikan premis di Hulu Selangor mematuhi peraturan perniagaan,” katanya.