Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Op Sumber Air berjaya kawal pencemaran, henti tugas LPA

SHAH ALAM, 30 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berjaya menangani lima kes pencemaran utama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Op Sumber Air bermula 18 Mac sehingga 30 Jun.

Agensi itu memaklumkan lima kod kuning dan lima kod merah diaktifkan ekoran insiden pencemaran loji pembersihan air (LPA) selain pemantauan setiap hari selama sebulan bermula 1 Jun di kawasan sensitif seperti di Sungai Selangor, Sungai Langat serta empangan.

“Luas mengeluarkan 84 notis pemberitahuan kesalahan dan lima kompaun pemberitahuan kesalahan bagi premis yang gagal mematuhi Enakmen Luas 1999.

“Manakala Jabatan Alam Sekitar Selangor melalui maklumat diterima mengeluarkan tujuh kompaun dan tujuh notis arahan terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sepanjang Op Sumber Air ini,” katanya dalam kenyataan.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berjaya menangani lima kes pencemaran utama menerusi Op Sumber Air bermula 18 Mac sehingga 30 Jun. Foto: Luas

Luas memaklumkan lima insiden tumpahan minyak berjaya ditangani segera sekaligus mengelakkan henti tugas LPA utama di Sungai Selangor, Labohan Dagang, Bukit Tampoi, Sungai Labu dan Salak Tinggi.

Katanya, tindakan bersepadu bersama agensi lain mengurangkan tempoh masa henti tugas LPA terlibat dengan insiden pencemaran kod merah.

“Op Sumber Air dilaksanakan tidak terhad hanya ketika musim perayaan atau waktu tertentu.

“Pemantauan 24 jam tanpa henti dilaksanakan Luas bersama Air Selangor bagi memastikan kelangsungan sumber dan bekalan air terawat,” katanya.