Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga raih pendapatan lumayan, harap e-dapur diteruskan

SHAH ALAM, 27 JUN: Peniaga e-Dapur Selangor berjaya meraih keuntungan lumayan sepanjang Ramadan lalu dan mahu platform itu diteruskan.

Menurut pemilik Sambalchips Mohd Izzudin Maarof, beliau berjaya meraih keuntungan RM1,000 pada hari pertama berniaga.

“Keuntungan saya cecah hingga RM1,500 sehari dan jumlah itu konsisten. Saya harap e-dapur diteruskan kerana membantu malah memberi kemudahan kepada peniaga.

“Terima kasih kepada PLATS (Platform Selangor) dan Dato’ Menteri Besar kerana beri peluang peniaga tonjolkan diri,” katanya melalui rakaman video yang dikongsikan Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Sementara itu, pemilik Restoran Adam Boy, Mohd Saiful Abdullah berkata sekiranya e-dapur tidak dilaksanakan, perniagaannya mungkin ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya bukan dari keluarga senang. Perniagaan jadi teruk akibat Covid-19. Bantuan yang dipohon juga tak lulus.

“Muncul PLATS e-dapur. Saya cuba..(e-dapur) bantu saya banyak. Pendapatan mula-mula RM300 naik ke RM500 dan kemudian cecah antara RM700 ke RM800 sehari,” katanya.

Pada 18 April lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan e-Dapur Selangor susulan pembatalan bazar Ramadan pada tahun ini ekoran penularan Covid-19.

Sebanyak 77 pusat pengumpulan dipilih meliputi 10 dewan seliaan pihak berkuasa tempatan dan 67 restoran menyediakan juadah Ramadan di seluruh negeri ini.