Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor tawar 14,000 tapak bazar Ramadan, PBT pantau ketat

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Selangor menawarkan sebanyak 14,000 tapak bazar Ramadan di seluruh negeri tahun ini.

EXCO pembangunan usahawan berkata jumlah itu menurun berbanding beberapa tahun sebelumnya susulan situasi semasa Covid-19, lapor Utusan.

“Ini kerana bazar Ramadan perlu dikendalikan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) mengikut Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Rodziah Ismail bercakap kepada media selepas meninjau masalah sampah dihadapi penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya pada 3 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Namun, saya telah minta semua majlis daerah untuk meneliti semula sama ada boleh membenarkan lebih ramai peniaga di bazar Ramadan yang ditetapkan,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata anggota pihak berkuasa tempatan ditempatkan di setiap bazar bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi SOP.

Rodziah turut menasihatkan orang ramai membuat urusan jual beli secara dalam talian bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak Covid-19.

“Kita cuba meminimumkan sentuhan semasa jual beli, oleh itu peniaga boleh mendapatkan kod untuk mengakses e-dompet semasa memohon permit bazar,” katanya lagi.

Pada 23 Mac, Rodziah berkata program e-Dapur Selangor juga diteruskan tahun ini dengan kaedah berbeza bagi membantu peniaga menjana pendapatan ketika Ramadan.

Categories
EXCO SELANGOR

Program e-dapur diteruskan lagi, guna cara berbeza

SHAH ALAM, 23 MAC: Program e-Dapur Selangor akan diteruskan tahun ini dengan kaedah berbeza bagi membantu peniaga menjana pendapatan terutama ketika Ramadan.

EXCO pembangunan usahawan berkata pelaksanaan yang ditambah baik selaras situasi semasa Covid-19 turut melibatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jika sebelum ini peniaga dikumpulkan di dapur berpusat tetapi kali ini kita minta PBT senaraikan lima kedai makan terpilih untuk menyertai program tersebut.

“Peniaga juga akan dibantu Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) bagi menambah baik perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Pada 6 Mac, Dato’ Menteri Besar berkata program e-Dapur Selangor yang memberi manfaat kepada peniaga diteruskan sepanjang masa, tidak terhad ketika Ramadan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pembukaan bazar Ramadan tahun ini juga bergantung kepada keadaan semasa dengan tatacara operasi piawai ketat.

Program berkenaan antara inisiatif pendigitalan sejak April tahun lalu bagi membantu usahawan meneruskan perniagaan dalam talian bagi memperluaskan akses pasaran.

Melalui kerjasama Grab dan Platform Selangor (Plats), ia berjaya membantu 133 usahawan dengan jumlah jualan mencecah RM1.5 juta.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI sasar lebih ramai peniaga sertai e-dapur

SHAH ALAM, 14 JULAI: Keputusan Kerajaan Selangor meneruskan program e-dapur dapat membantu lebih ramai peniaga menjalankan perniagaan.

Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor berkata e-dapur yang diperkenalkan April lalu tetap memberi keuntungan berganda walaupun beroperasi secara dalam talian.

“MBI menyambut baik pengumuman Dato’ Menteri Besar semalam yang mahu program e-dapur diteruskan.

“Program e-dapur banyak membantu peniaga dan kita yakin ruang seperti ini mampu mengembangkan perniagaan mereka. Segala perancangan mengenai e-dapur akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

MBI berkata beberapa peniaga yang menyertai e-dapur turut menyarankan ia diteruskan memandangkan banyak manfaat diterima peniaga serta pembeli.

Semalam, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Pelan Pemulihan Ekonomi di Sidang Dewan Negeri Selangor mengumumkan persetujuan meneruskan e-dapur dan Platform Selangor (Plats) yang menyasarkan 1,000 usahawan dengan nilai jualan RM12 juta.

Inisiatif itu diperluaskan kepada perkhidmatan barangan runcit, restoran, farmasi dan produk usahawan negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga raih pendapatan lumayan, harap e-dapur diteruskan

SHAH ALAM, 27 JUN: Peniaga e-Dapur Selangor berjaya meraih keuntungan lumayan sepanjang Ramadan lalu dan mahu platform itu diteruskan.

Menurut pemilik Sambalchips Mohd Izzudin Maarof, beliau berjaya meraih keuntungan RM1,000 pada hari pertama berniaga.

“Keuntungan saya cecah hingga RM1,500 sehari dan jumlah itu konsisten. Saya harap e-dapur diteruskan kerana membantu malah memberi kemudahan kepada peniaga.

“Terima kasih kepada PLATS (Platform Selangor) dan Dato’ Menteri Besar kerana beri peluang peniaga tonjolkan diri,” katanya melalui rakaman video yang dikongsikan Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Sementara itu, pemilik Restoran Adam Boy, Mohd Saiful Abdullah berkata sekiranya e-dapur tidak dilaksanakan, perniagaannya mungkin ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya bukan dari keluarga senang. Perniagaan jadi teruk akibat Covid-19. Bantuan yang dipohon juga tak lulus.

“Muncul PLATS e-dapur. Saya cuba..(e-dapur) bantu saya banyak. Pendapatan mula-mula RM300 naik ke RM500 dan kemudian cecah antara RM700 ke RM800 sehari,” katanya.

Pada 18 April lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan e-Dapur Selangor susulan pembatalan bazar Ramadan pada tahun ini ekoran penularan Covid-19.

Sebanyak 77 pusat pengumpulan dipilih meliputi 10 dewan seliaan pihak berkuasa tempatan dan 67 restoran menyediakan juadah Ramadan di seluruh negeri ini.