Categories
AGENSI SELANGOR

Tabung Prihatin Covid-19 Mais kumpul dana hampir RM250,000

SHAH ALAM, 24 JUN: Sebanyak RM248,800.60 dikumpulkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sepanjang tiga bulan untuk Tabung Prihatin Covid-19, kata setiausahanya.

Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata wang sumbangan pelbagai pihak dan individu itu diagihkan kepada sembilan hospital, pusat kesihatan daerah (10), sekolah tahfiz (7) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Sumbangan berupa makanan kering, peralatan perubatan dan barangan keperluan am itu turut disalurkan kepada 100 keluarga, peniaga kecil bukan asnaf, pusat pengajian tinggi dan rumah anak yatim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Ahmad Shahir berkata usaha pengumpulan dana itu dilaksanakan bersama Lembaga Zakat Selangor, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd dan Yayasan Islam Darul Ehsan.

“Terima kasih kepada Perbadanan Wakaf Selangor dan Wakaf Selangor Muamalat (WSM) yang turut menyumbang selain sokongan dari agensi dan jabatan-jabatan hal ehwal Islam di Selangor,” katanya.

Tabung dilancarkan pada 20 Mac dan ditutup pada 16 Jun lalu itu bertujuan mengumpul dana serta meringankan beban petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik itu.