Categories
AGENDA NASIONAL

933 inidvidu jalani kuarantin wajib di rumah

SHAH ALAM, 19 JULAI: Seramai 934 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Klia2 semalam.

Menteri Kanan (kluster keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu 933 individu diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman manakala seorang dirujuk ke hospital.

“Semua mereka tiba dari Jepun, Indonesia, Qatar, UAE, Singapura, Australia, Turki, Korea Selatan, India, Bangladesh dan Iran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata sejak 10 Jun hingga semalam, 21,014 individu menjalani saringan Covid-19 di pintu masuk KLIA.

“Seramai 20,937 daripada jumlah tersebut didapati negatif wabak dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di rumah sementara 77 lagi positif dihantar ke hospital.

“Pemantauan ke atas individu yang menjalani kuarantin wajib mendapati mereka semua patuh tatacara operasi piawai (SOP) kerajaan,” katanya.