Categories
EXCO SELANGOR

ADN digesa guna peruntukan tahunan baiki jeti

SHAH ALAM, 17 JULAI: Ahli Dewan Negeri diminta menggunakan peruntukan tahunan untuk menaik taraf jeti nelayan di kawasan masing-masing, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat EXCO pada 14 Jun lalu sementara menunggu bantuan selanjutnya daripada Kerajaan Negeri.

“ADN perlu membantu pemilik jeti dengan menyalurkan peruntukan atau sumbangan kewangan bagi peringkat awal pembinaan atau kerja pembaikan dan ia menjadi tanggungjawab mereka memastikan jeti dalam keadaan selamat serta selesa digunakan terutamanya kepada nelayan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Izham berkata Kerajaan Negeri bercadang menyelaraskan reka bentuk jeti nelayan pada masa depan.

“Namun cadangan ini memakan sedikit masa kerana kita perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak terutama nelayan yang mungkin ada pandangan sendiri bentuk jeti yang sesuai dibina,” katanya.