Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ismail Sabri: 227 individu ingkar PKP ditahan, 62 direman

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seramai 227 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 62 individu direman, satu individu dijamin manakala 164 individu dikompaun.

“Mereka didapati menyertai aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dilakukan.

“Operasi pematuhan PKP diketuai polis mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata sebanyak 3,245 pasukan menjalankan 65,434 operasi pemeriksaan diseluruh negara bagi memastikan rakyat patuh tatacara operasi piawai (SOP).

“Pasukan ini melakukan pemantauan di 3,903 pasar raya, 6,080 restoran serta 1,475 penjaja, 1,303 kilang, 3,848 bank dan 865 pejabat kerajaan.

“Turut dipantau 1,123 terminal pengangkutan darat, 222 terminal pengangkutan air serta 134 terminal pengangkutan udara,” katanya.