Categories
AGENSI SELANGOR

Khutbah: Hargai ‘pahlawan’ perangi Covid-19, jangan perlekeh tugas

SHAH ALAM, 24 JULAI: Umat Islam diminta menjauhi sikap mencaci, memperlekeh tugas dan tidak mempeduli arahan pihak berkuasa yang merosakkan negara.

Khutbah Jumaat bertajuk ‘Pahlawan Sebenar’ diterbitkan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor turut meminta rakyat menghargai pahlawan negara yang berusaha memutuskan rantaian Covid-19 demi kesejahteraan semua.

“Semangat perjuangan yang tidak putus-putus hendaklah disemai dan ditiup ke dalam setiap jiwa generasi hari ini, didiklah mereka dengan semangat berkorban dan disiplin tinggi seperti ditunjukkan pahlawan negara.

“Kasihi pahlawan negara yang bertugas tanpa mengira masa, tempat, cuaca dan keadaan apa sekalipun asalkan negara dalam keadaan aman, harmoni dan selamat,” katanya.

Kandungan khutbah menjelaskan pahlawan bukan sekadar berjuang mengangkat senjata tetapi sanggup berkorban menjaga ketenteraman ketika negara diancam wabak.

“Begitu besar peranan mereka untuk kesejahteraan dan kesihatan kita semua, justeru bersyukurlah kepada Allah yang mengurniakan pahlawan berjasa kepada negara kita malah sanggup berkorban, menggadai nyawa demi kita semua,” katanya.

Mengakhiri khutbah, pahlawan negara disifatkan golongan yang ikhlas dalam perjuangan dan berharap diberi ganjaran berterusan oleh Allah.

“Berjuang di jalan Allah satu hari, lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di dalamnya (Riwayat Al-Bukhari), begitulah tingginya martabat seorang pahlawan diberikan oleh Allah kerana pengorbanan dan perjuangan mereka,” katanya.