Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Siti Nurhaliza jatuh cinta tart nanas bekas asnaf

Setiap hari, Normah Baba berjalan kaki sejauh dua kilometer di bawah terik matahari untuk menjual kek cawan di Taman Kosas dan Taman Bukit Indah, Ampang.

Alah bisa tegal biasa. Walau lelah, tubuh berkeringat menghantar kek ke restoran dan kedai, ibu tunggal empat anak tidak pernah putus asa mencari wang demi sesuap nasi.

Biarpun keuntungan tidak banyak, tidak sampai RM200 sebulan, jadilah. Selepas dicampur pendapatan sebagai guru tuisyen, dapatlah antara RM800 hingga RM1,000. Tetap bersyukur walau sebenarnya ‘sesak’ untuk bayar itu ini. Makan-minum pun takat cukup-cukup, asal saja tidak kelaparan.

Tapi itu lima tahun dulu. Kini produknya ‘laku keras’. Malah Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pun menyukainya.

Malah Normah, kini berusia 60 tahun, giat melebar rangkaian perniagaan. Dari pasaran sekitar Lembah Klang, kini beliau giat meneroka pasaran China, Jepun dan Taiwan.

Menjadi asnaf

Semuanya bermula dari tekanan hidup. Duit jualan kek cawan tidak mampu menampung kehidupannya. Lebih-lebih lagi anak ketiga dan keempat ditawar ke Maktab Rendah Sains Mara dan kolej.

Normah tiada pilihan. Beliau memutuskan untuk meminta bantuan pendidikan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Usahanya tidak sia-sia, bahkan turut ditawarkan bantuan lain.

Namun, beliau menolak bantuan kewangan bulanan dan makanan. Beliau mahu berdikari. Asal perniagaan berkembang, Normah yakin mampu meneruskan pancaroba hidup.

“Saya cakap dengan LZS kalau boleh saya mahu bantuan perniagaan,” katanya kepada SelangorKini.

Sejak itu, Normah mengikuti kursus anjuran LZS melalui Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) mulai 2016. Sememangnya Teras ditubuhkan bagi melengkapkan keperluan asasi asnaf termasuk membangunkan usahawan.

“Ini menguatkan lagi azam saya supaya satu hari nanti mampu bayar zakat membantu orang susah,” katanya lagi.

Penyediaan sebahagian aset bagi pembuatan biskut hasil bantuan Teras

Normah mula mengusahakan biskut jenama Carleed, tart nanas dan coklat cip. Beliau kemudian menyewa premis milik Mara di Bandar Baru Salak Tinggi untuk dijadikan kilang.

Teras membantu penyediaan aset seperti mesin pengadun tepung dan ketuhar dianggar bernilai RM21,000 manakala bahan mentah bernilai RM5,000. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) pula membantu dalam aspek pembungkusan.

Hasil kegigihan Normah, dibantu pula anak-anaknya, biskut jenama Carleed berjaya dipasarkan ke stesen minyak, beberapa kiosk di Lembah Klang termasuk pusat beli-belah Suria KLCC dan ourshop.com, laman sesawang beli-belah Air Asia.

Sedikit demi sedikit, permintaan biskut tart nanas dan Carleed melambung, bahkan dikenali ramai termasuk Siti Nurhaliza yang pernah mempromosi biskutnya ke media sosial.

“Dalam instagram Datuk Siti, dia puji dan ucap tahniah sebab hasilkan tart nanas yang kena dengan cita rasa dan nak ulang tempah,” kata Normah.

Sejak itu, bukan Siti Nurhaliza sahaja tapi ramai peminat penyanyi tersohor membuat tempahan dari seluruh negara.

Eksport produk

Normah juga memberanikan diri membawa produknya ke Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi meluaskan pasaran.

Tanpa disangka, Matrade pada 2019 menawarkan pertemuan dengan enam ahli perniagaan dari Jepun, Taiwan dan China yang berminat memasarkan produknya di negara mereka.

Awal tahun berikutnya, Normah menerima satu lagi tawaran daripada Fama untuk menyertai ekspo sempena pembukaan Sukan Olimpik di Tokyo.

Kini, Normah tidak menoleh kebelakang. Apatah lagi, beliau juga menyimpan impian untuk memiliki kilang yang dijadikan tumpuan pelancongan.

“Saya berharap suatu hari nanti perniagaan saya memiliki kilang pelancongan supaya mereka boleh lawat kilang dalam bentuk kaca, mereka boleh lihat proses pengeluaran,” katanya.

Namun, beliau tidak lupa akan asal-usul dirinya, pernah susah. Justeru, Normah berazam untuk turut sama membantu asnaf lain. Biar kejayaan dinikmati bersama.

“Di luar juga ada kiosk yang jual produk saya dan produk asnaf lain kerana saya nak beri peluang asnaf lain jual produk mereka. Ini cita-cita saya,” katanya.

Normah turut menasihati golongan asnaf tidak berasa rendah diri, sebaliknya yakin dengan keupayaan diri, bermuhasabah dan tidak berputus asa untuk memperbaiki taraf hidup.