Categories
AGENDA BERITA UTAMA

MB: Fahami prinsip Rukun Negara, kukuhkan perpaduan

SHAH ALAM, 28 JULAI: Rakyat Malaysia perlu memahami matlamat dan prinsip Rukun Negara kerana ia mengikat kesepaduan antara kaum sejak diperkenalkan 50 tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata kegagalan memahaminya boleh mencetuskan isu perkauman dan pergaduhan terutama dalam kalangan belia selain menimbulkan fahaman ekstrem yang mendorong kepada perpecahan.

“Kita lihat dalam tempoh dua tiga tahun ini jika ada ledakan atau percikan kecil isu perkauman ia mudah meleret dan terbawa-bawa yang akhirnya merenggangkan antara kita, menimbulkan kecurigaan antara kita.

“Perkara ini perlu dilihat dengan jernih supaya tidak terbawa-bawa dan akhirnya menghasilkan masyarakat dan generasi muda yang hilang pertimbangan apabila timbul perbezaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis pelancaran dan kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengibarkan jalur gemilang bersama penjawat awam pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Auditorium Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam pada 28 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata kejadian laku musnah terhadap mural wajah pemimpin negara baru-baru ini antara contoh kegagalan memahami prinsip Rukun Negara dan masalah itu perlu ditangani segera.

Amirudin menjelaskan masyarakat juga perlu mengambil iktibar terhadap beberapa krisis yang pernah melanda negara antaranya pergaduhan antara kaum 1969, kemelesetan ekonomi pada pertengahan 90-an dan terbaharu penularan Covid-19 untuk terus bersama-sama membangunkan negara.

Terdahulu, Amirudin melepaskan konvoi ‘Info On Wheels Merdeka’ di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK selain mendengar amanat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena pelancaran Bulan Kemerdekaan dan kempen kibar Jalur Gemilang.