Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna media sosial tidak perlu lesen siar video, menteri jelas kekeliruan

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pengguna media sosial tidak perlu mendapatkan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menyiarkan video, kata menteri komunikasi dan multimedia.

Dato’ Saifuddin Abdullah berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet hari ini bagi menjelaskan kekeliruan berhubung hak kebebasan individu di medium berkaitan.

“Pengguna media sosial bebas menggunakan platform sedia ada seperti TikTok, YouTube dan sebagainya termasuk menghasilkan dan memuat naik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh Finas,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin berkata kerajaan kekal mendukung prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di media sosial dan akan meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 dengan mengambil kira situasi semasa.

“Seperti diumumkan pada 20 Jun lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sudah memulakan usaha meminda akta-akta di bawah pengawasan kementerian agar bersesuaian dengan situasi semasa,” katanya lagi.

Katanya, proses meminda akta-akta tersebut akan dimulakan dalam masa terdekat.

Dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam, Saifuddin berkata penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) tanpa mengira mereka daripada agensi arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di media sosial atau arus perdana.