Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM sekat 1.6 bilion panggilan meragukan sejak 2018 hingga tahun lalu

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pelbagai pihak menyekat sejumlah 1.6 bilion panggilan meragukan daripada sampai kepada pengguna sejak 2018 hingga tahun lepas.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan sejumlah 2,232 aduan awam berkaitan aktiviti berunsur penipuan diterima SKMM dan dirujuk kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi tempoh Januari hingga 31 Disember 2021.

“Polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia adalah antara agensi penguatkuasaan yang dirujuk untuk perhatian dan tindakan lanjut di bawah bidang kuasa masing-masing,” menurut jawapan itu.

KKMM memaklumkan perkara itu bagi menjawab soalan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) mengenai statistik laporan palsu atau ‘scam’ setakat 2021 dan perancangan kementerian untuk memastikan panggilan telefon seumpama itu dapat dipantau selain dikesan dengan usaha sama syarikat-syarikat telekomunikasi.

KKMM memberitahu pihak penyedia perkhidmatan komunikasi turut terlibat dalam satu pasukan petugas khas bagi penipuan telekomunikasi untuk mengekang aktiviti penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab melalui panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Selain itu, SKMM juga mewujudkan dokumen Rujukan Industri yang menggariskan tujuh peraturan sekatan pada 2018 bagi mengurangkan jumlah panggilan yang meragukan serta penambahan lima peraturan sekatan pada 2020 bagi mengekang panggilan sampai kepada pengguna.

“SKMM juga sedang melihat keperluan untuk mewujudkan satu garis panduan baharu bagi mengekang penipuan melalui SMS,” menurut KKMM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Berita kanak-kanak tidak dibenar masuk pusat beli-belah palsu

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Berita yang tular mengenai kanak-kanak berumur bawah 12 tahun tidak dibenarkan memasuki pusat beli-belah atau kedai makan di pusat beli-belah seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar.

Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam kenyataan hari ini berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan atau Hotline DCC Covod-19 IPD Kuantan, Pahang menafikan ada mengeluarkan kenyataan atau poster berkaitan Penguatkuasaan Undang-Undang SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti itu.

“Polis IPD Kuantan menjelaskan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah sebaliknya hanya tidak digalakkan namun masih dibenarkan mengunjungi pusat beli-belah atau kedai makan dengan mematuhi SOP PKPB yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkuat kuasa pada 19 Feb lalu,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM, MMU kaji keperluan undang-undang khusus buli siber

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) sedang bekerjasama, menjalankan penyelidikan berhubung keperluan undang-undang khusus berkaitan antibuli siber.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sesi libat urus dan perbincangan berhubung perkara itu sedang dijalankan, dalam mencari jalan serta membangunkan rangka kerja sesuai berkaitan mekanisme terbaik, bagi menangani isu buli siber.

“Sekiranya undang-undang sedia ada didapati tidak memadai untuk menangani permasalahan buli siber, undang-undang tersebut boleh dipinda sewajarnya.

“Dalam membuat pindaan atau membuat perundangan baharu sekiranya perlu, konsultasi awam dan konsultasi dengan pihak berkepentingan akan diadakan, bagi memastikan pindaan atau perundangan baharu yang dibuat adalah wajar dan berkesan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk A. Kesavadas yang mahu tahu, sekiranya kerajaan berhasrat mengkaji atau menggubal undang-undang bagi mengawal kes buli menggunakan media sosial.

Menurut Saifuddin, terdapat beberapa undang-undang sedia ada yang boleh diguna pakai untuk menangani kes buli siber di media sosial, contohnya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997, dan Kanun Keseksaan.

“Undang-undang ini boleh digunakan oleh pihak penguatkuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan bersama undang-undang sedia ada yang lain, termasuk di bawah perundangan sivil, tertakluk kepada fakta kes.

“Undang-undang secara umumnya tertakluk kepada semakan secara berterusan, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Terdahulu, beliau turut memaklumkan sejumlah 3,224 akaun yang menyamar atau akaun palsu, telah diambil tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) antara tahun 2019 hingga Ogos 2020.

Katanya daripada jumlah tersebut, 80 peratus telah dipadam dengan kerjasama pihak penyedia platform media sosial, selaras dengan terma-terma dan syarat platform masing-masing.

“Kandungan-kandungan lain adalah berkenaan kandungan yang berunsur buli siber, kandungan berunsur kebencian dan sebagainya, di mana sejumlah 3,638 pautan atau ‘url’ bagi akaun dan kandungan, telah dirujuk untuk perhatian tindakan lanjut penyedia platform media sosial, seperti Facebook, Twitter, Google, Instagram, Youtube dan sebagainya.

“60 peratus daripadanya telah dipadamkan berdasarkan pelanggaran terma dan syarat perkhidmatan, serta piawaian komuniti penyedia platform yang berkenaan,” katanya.

Jelas Saifuddin lagi, selain maklumat daripada pengguna media sosial, penyedia platform media sosial seperti Facebook, turut memantau kandungan serta akaun terdapat di platform mereka dan akan mengambil tindakan sewajarnya, jika bertentangan dengan terma dan syarat serta piawaian komuniti yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab satu lagi soalan Kesavadas, berkaitan tindakan SKMM terhadap profil media sosial yang menggunakan akaun palsu dan jumlah laporan yang dibuat berhubung perkara itu bagi tahun 2019 hingga kini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM: Belum ada perbincangan kenakan bayaran perkhidmatan kepada pengguna e-dagang

PUTRAJAYA, 9 SEPT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini menjelaskan bahawa belum ada perbincangan untuk mengenakan bayaran perkhidmatan kepada pengguna untuk pembelian dalam talian dalam platform e-dagang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KKMM membuat penjelasan tersebut dengan merujuk kepada kenyataan yang dibuat Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin di Kelantan semalam.

Zahidi dilaporkan berkata KKMM bercadang mengenakan caj perkhidmatan 20 sen bagi pembelian di bawah RM1,000 melalui platform dalam talian.

Beliau juga dilaporkan berkata caj perkhidmatan yang dikutip itu akan digunakan untuk penambahbaikan sistem keselamatan komunikasi bagi mengelak pencerobohan siber.

“KKMM ingin menjelaskan bahawa belum ada perbincangan untuk mengenakan bayaran perkhidmatan kepada pengguna dalam platform e-dagang (pembelian dalam talian) sebanyak 20 sen bagi pembelian di bawah RM1,000 serta tambahan 20 sen bagi gandaan RM1,000 berikutnya,” kata kementerian itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pinda Akta Finas sesuai kehendak semasa – Saifuddin

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kabinet memutuskan untuk meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta Finas) [Akta 244] supaya bersesuaian dengan kehendak semasa, kata menteri komunikasi dan multimedia.

Dato’ Saifuddin Abdullah berkata proses meminda akta tersebut dimulakan dalam masa terdekat.

“Seperti dimaklumkan pada 20 Jun 2020, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sudah memulakan usaha meminda akta-akta di bawah pengawasan kementerian agar bersesuaian dengan situasi semasa,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan malam tadi, Saifuddin berkata teknologi yang digunakan ketika Akta Finas 1981 diluluskan di parlimen berbeza jika dibandingkan dengan masa kini.

“Pada 1981, teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan sebagainya. KKMM ambil maklum bahawa akta ini perlu penambahbaikan.

“Ini telah pun saya nyatakan dalam sidang media Kad Laporan 100 hari saya sebagai Menteri KKMM iaitu KKMM sedang menilai semula semua undang-undang di bawah pengawasannya,” katanya.

Saifuddin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah berniat menggunakan akta berkenaan untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika akta berkenaan digubal.

“Oleh yang demikian, kami di KKMM terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam memperbaiki bukan sahaja akta dibahaskan pagi tadi (semalam) malah semua undang-undang di bawah pengawasan KKMM supaya bersesuaian dengan kehendak semasa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna media sosial tidak perlu lesen siar video, menteri jelas kekeliruan

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pengguna media sosial tidak perlu mendapatkan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menyiarkan video, kata menteri komunikasi dan multimedia.

Dato’ Saifuddin Abdullah berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet hari ini bagi menjelaskan kekeliruan berhubung hak kebebasan individu di medium berkaitan.

“Pengguna media sosial bebas menggunakan platform sedia ada seperti TikTok, YouTube dan sebagainya termasuk menghasilkan dan memuat naik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh Finas,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin berkata kerajaan kekal mendukung prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di media sosial dan akan meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 dengan mengambil kira situasi semasa.

“Seperti diumumkan pada 20 Jun lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sudah memulakan usaha meminda akta-akta di bawah pengawasan kementerian agar bersesuaian dengan situasi semasa,” katanya lagi.

Katanya, proses meminda akta-akta tersebut akan dimulakan dalam masa terdekat.

Dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam, Saifuddin berkata penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) tanpa mengira mereka daripada agensi arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di media sosial atau arus perdana.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM: Pertandingan cipta logo kempen budaya norma baharu dapat sambutan

PUTRAJAYA, 16 JULAI: Pertandingan mencipta logo dan ‘tagline’ (slogan) Kempen Pembudayaan Norma Baharu untuk mengekang penularan pandemik Covid-19, anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Jabatan Penerangan, mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima 2,150 penyertaan, melibatkan 1,137 peserta dalam tempoh 10 hari pertandingan.

Antara yang menarik dalam pertandingan yang dibuka antara 1 Julai dan 10 Julai itu ialah, terdapat seorang peserta dari Kedah yang menghantar sebanyak 127 penyertaan, serta terdapat penyertaan daripada peserta yang berusia 13 tahun dari Melaka, walaupun pertandingan dibuka bagi mereka yang berusia 15 tahun ke atas.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan semalam berhubung pertandingan itu, penyertaan yang disenarai pendek semalam akan diadili untuk kali kedua, bagi memilih lima penyertaan terbaik untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencari juara.

Antara kriteria utama pemilihan lima logo yang disenarai pendek adalah berdasarkan kreativiti, keaslian ciptaan, dan rasional logo berdasarkan slogan, menurut kenyataan itu lagi.

Ketua Juri Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaakob ketika ditemui pada sesi penjurian pertandingan itu hari ini, memuji langkah penganjuran pertandingan itu, kerana mencipta logo bagi kempen berkenaan bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ia bukan logo bersifat komersial.

“Pertandingan seumpama ini patut dianjurkan setiap tahun, kerana reka bentuk sentiasa berubah,” katanya.

Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka Jabatan Penerangan Mohd Roffee Mohamad, yang juga salah seorang dari tiga juri pertandingan itu berkata, barisan juri mencari logo dan slogan yang mudah difahami dengan sekali pandang, selain menggambarkan misi dan visi kerajaan dalam mengawal Covid-19.

Juara bakal menerima hadiah wang tunai RM5,000 tempat kedua RM3,000 dan tempat ketiga RM1,000.

Categories
AGENDA NASIONAL

Premis perniagaan perlu patuh tatacara kendali data peribadi pengunjung

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Semua premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu mematuhi sepenuhnya tatacara mengendalikan aktiviti pengumpulan, pemprosesan dan penyimpanan data peribadi yang ditetapkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

KKMM dalam kenyataan hari ini berkata ketetapan tatacara itu telah diluluskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 21 Mei lepas.

Menurut kenyataan itu, tatacara yang perlu diikuti ialah hanya nama, nombor telefon yang boleh dihubungi dan tarikh serta masa kehadiran pengunjung atau pelanggan perlu direkodkan dan kaedah pengumpulan tertakluk kepada premis perniagaan itu sama ada secara manual atau digital.

Selain itu, paparan notis di tempat yang mudah dilihat sebagai makluman kepada pengunjung atau pelanggan mengenai tujuan pengumpulan data peribadi, penggunaan dokumen khusus bagi kaedah secara manual mengikut format dan direkodkan sendiri oleh kakitangan premis perniagaan dan data peribadi yang dikumpul hanya digunakan bagi tujuan pengesanan kontak selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tatacara lain yang perlu diikuti ialah premis perniagaan perlu memastikan data peribadi yang diambil tepat dan tidak mengelirukan manakala had masa penyimpanan data peribadi yang dikumpulkan adalah sehingga selepas enam bulan PKPB ditamatkan dan perlu dimusnahkan dan dipadamkan secara kekal.

Sekiranya premis perniagaan gagal mematuhi perkara tersebut dan disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM300,000 atau dipenjara dua tahun atau kedua-duanya menurut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Bagaimanapun, pelaksanaan ini juga tertakluk kepada sebarang penetapan baharu oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

“Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang untuk memberi data peribadi kepada mana-mana premis perniagaan bagi tujuan pengesanan kontak Covid-19 dan KKMM akan menjalankan pemantauan secara berterusan,” demikian menurut kenyataan itu.

Sebarang aduan berkaitan pelaksanaan tatacara itu boleh dimajukan melalui Sistem Perlindungan Data Peribadi (SPDP) pada pautan https://daftar.pdp.gov.my.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Membaca, isi masa terluang ketika PKP – Saifuddin

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mengajak netizen untuk mengisi masa terluang di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April dengan membaca buku.

Beliau menerusi laman Twitternya, @saifuddinabd turut berkongsi empat buku yang sedang dibacanya iaitu “Mecca The Sacred City” oleh Ziauddin Sardar, “Factfulness” oleh Hans Rosling, “The Fourth Industrial Revolution” oleh Kluas Schwab dan “Mudahnya Maqasid Syariah” hasil karya Dr Jasser Auda dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Marwan Bukhari A Hamid.

Beliau turut mengajak pengikut di laman Twitternya berkongsi buku yang mereka sedang baca dengan membalas hantaran beliau berserta hashtag #KomunikasiKita.

Ramai yang turut berkongsi buku yang mereka baca seperti pengguna Twitter, @Same_Sarikei yang memuat naik buku “Wealth, Poverty and Politics” oleh Thomas Sowell manakala @zackiskandary yang mengetengahkan buku “Aku Nabi Isa! Refleksi Wad Sakit Jiwa” oleh Dr Rozanizam Zakaria menyatakan beliau mengambil masa tiga bulan membaca buku itu dan berjaya menghabiskannya ketika PKP.

@fendymojo berkongsi keseronokannya membaca buku “Bahasa Isyarat Malaysia” dengan menyatakan “Korang wajib cuba. Baru tau seronok dia macam mana”. Begitu juga dengan @LvFEZA yang turut membaca topik yang sama iaitu “American Sign Language: A L P H A B E T“.

Ramai juga yang membaca buku berkaitan politik, ekonomi dan juga bidang kepakaran masing-masing.

@KamellMel turut memuji tindakan Saifuddin itu dan berkata ianya satu contoh yang baik dan moga rakyat dapat turut mengikutinya.

Beliau juga mencadangkan menteri lain supaya turut mengunakan masa terluang semasa PKP untuk membaca bagi mencari idea-idea baharu untuk merancang dan mengatur tugasan masing-masing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM sangkal tiga berita palsu

SHAH ALAM, 31 MAC: Ketua Polis Daerah Tawau, Sabah menafikan dakwaan satu notis mengenai arahan Ketua Polis Negara (KPN) berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Penafian itu dimaklumkan Pasukan Respon Pantas kendalian Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui satu kenyataan pemakluman berita palsu hari ini.

“(Notis arahan) jelas mengandungi mesej tidak benar dan tidak selari sepenuhnya dengan arahan semasa oleh KPN,” kata kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menafikan dakwaan rakaman video insiden kekecohan di sebuah pasaraya berlaku di Johor.

“Sebenarnya ia merupakan rakaman video tentang ‘looting’ yang berlaku di pasaraya beberapa bandar di Amerika Syarikat,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan sama menyertakan MKN menafikan selain Foodpanda, GrabFood dan restoran yang sudah mendapat kebenaran, sesiapa yang keluar rumah walaupun dengan alasan menghantar makanan akan didenda RM1,000.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tular gelombang ketiga Covid-19 pada 31 Mac berita tidak benar

SHAH ALAM, 30 MAC: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menafikan dakwaan berlaku gelombang ketiga Covid-19 pada 31 Mac ini seperti yang tular di media sosial.

Pasukan Respon Pantas KKKM juga meminta orang ramai tidak mempercayai gesaan supaya jangan keluar rumah pada musim hujan dan senja kerana pandemik terbabit mudah tersebar pada waktu itu.

“KKMM juga menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan pihak yang memohon bantuan peralatan perubatan dan makanan untuk kumpulan berisiko tinggi di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang membuat saringan sampel Covid-19.

“Jabatan Kesihatan Perlis (JKNPs) menafikan Hospital Tuanku Fauziah dan klinik kesihatan di negeri itu mempunyai kaitan dengan hebahan risalah oleh Kelab Staf Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik (PPKSE), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang meminta sumbangan pakaian untuk barisan hadapan, peralatan, makanan serta keperluan lain,” katanya dalam kenyataan semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM rekod pelbagai kejayaan sepanjang 2019

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menempuh pelbagai kejayaan dan pencapaian membanggakan sepanjang 2019 dalam menjamin kebebasan media, membawa badan penyiar rasmi kerajaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke era digital dan mempertingkatkan kelajuan komunikasi negara melalui 5G.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menunjukkan kedudukan media Malaysia melonjak sehingga 22 anak tangga menduduki tempat ke-123 dalam ranking Indeks Kebebasan Media Dunia 2019, bukti terdapat ruang untuk media bebas wujud di negara ini.

“Malaysia menduduki tangga ke-145 pada 2018. Di bawah kerajaan baharu, pengamal dan organisasi media lebih bebas menjalankan tugas,” menurut Gobind menerusi muatnaik Pencapaian Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) 2019 dalam akaun Facebooknya hari ini.

Selain itu, pemansuhan Akta Berita Tidak Benar pada 19 Disember lepas turut dilakukan seiring dengan semangat media bebas di negara ini.

Gobind berkata, satu kaji selidik Institut Reuters menunjukkan bahawa RTM adalah jenama media paling dipercayai pada 2019, mendahului agensi penyiaran lain antaranya Astro Awani, NTV7 dan TV3 News.

“Sebanyak tiga program bual bicara yang baharu dilaksanakan termasuk rancangan ‘Pastikan Sahih’ yang bertujuan berkongsi maklumat benar dan membetulkan berita palsu yang tular dalam media sosial,” kata Gobind.

Beliau juga berkata pada Oktober 2019 RTM juga telah beralih daripada siaran analog kepada digital sepenuhnya, menandakan era baharu industri penyiaran negara.

Platform televisyen (TV) digital myFreeview kini menawarkan 14 saluran TV antaranya TV1, TV2, TV3, NTV7, TV Al-Hijrah dan Bernama TV serta enam saluran radio percuma.

Lebih menarik, Gobind berkata buat kali pertama RTM menjadi stesen terrestrial tunggal menyiarkan kejohanan Piala Dunia Ragbi 2019, Kejohanan COPA America 2019, siaran langsung bola sepak Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan liputan Sukan SEA Filipina 2019.

Mengenai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), beliau berkata agensi berita nasional yang ditubuhkan pada 1968 itu turut melalui beberapa transformasi iaitu Bernama Radio kini dikenali sebagai ‘Stesen Berita Bisnes Anda’ yang membawakan berita bisnes terkini termasuk perbincangan bertumpu kepada pembangunan usahawan.

“Bernama TV telah memperkenalkan 12 program baharu merangkumi pelbagai isu, berita semasa serta kandungan lebih berfokus kepada golongan muda. Bernama juga berjaya merangkul dua pengiktirafan pada majlis Anugerah Kepimpinan Ikon Jenama BrandLaurette Yayasan Jenama Dunia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NCPF) bernilai RM21.6 bilion yang dilancarkan pada 19 September lepas adalah pelan lima tahun bertujuan menyediakan kesalinghubungan digitial yang mapan, menyeluruh, berkualiti tinggi serta mampu milik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo. Foto BERNAMA

Di bawah NCPF, Gobind berkata, 4.14 juta premis akan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila dinaik taraf kepada gentian optik, pembinaan 213 menara komunikasi baharu termasuk 100 di Sabah dan Sarawak serta harga langganan Streamyx dikurangkan daripada RM110 hingga RM160 kepada RM69 setiap bulan.

“Tawaran khas Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk diskaun RM10 hingga RM15 bagi perkhidmatan mudah alih pra-bayar dan pasca bayar tertentu serta diskaun 50 peratus (daripada RM120 kepada RM60) untuk pendaftaran baharu nama domain.my mulai 1 Januari 2020,” katanya.

Ke arah persiapan pelaksanaan 5G, Gobind berkata sebanyak RM50 juta telah diluluskan di bawah Geran Pembangunan Ekosistem 5G bertujuan menggalakkan lebih banyak projek rintis aplikasi digital.

Pasukan Petugas 5G Kebangsaan telah menyiapkan Laporan Separa Penggal pada 29 Julai lepas dan Laporan Akhir pada 18 Disember lepas selaras dengan terma rujukan mereka bagi mencadangkan pelbagai strategi untuk pelaksanaan teknologi serta ekosistem 5G.

“Inisiatif ‘5G Testbed’ juga dimulakan di Putrajaya dan Cyberjaya bagi menguji kebolehan serta keberkesanan teknologi 5G,” kata Gobind.

Mengenai keselamatan siber, beliau berkata CyberSecurity Malaysia telah diberi pengiktirafan oleh Interpol yang juga badan antara kerajaan bagi menggalakkan kerjasama antara pihak berkuasa polis di seluruh dunia dalam membangunkan Garis Panduan bagi Makmal Forensik Digital Global Interpol.

Tidak setakat itu sahaja, kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) juga tidak terlepas pandang perkhidmatan pos dan kurier yang dijalankan Pos Malaysia dengan memperkenalkan inisiatif ‘Alamat Untuk Semua’ di kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan penghantaran surat, bungkusan, bantuan kerajaan dan sebagainya dapat dilaksanakan dengan baik dan efektif. Pada tahun ini (2019), sebanyak 948 alamat rumah berjaya didaftarkan,” katanya.

Sejajar dengan perkembangan e-Dagang, beliau berkata Pos Malaysia memperkenalkan dua program utama iaitu platform penghantaran dalam talian ‘Pos Laju SendParcel’ dan ‘Pos Rider’.

-BERNAMA