Categories
AGENDA GLOBAL

Ratusan rakyat tunjuk perasaan di Bangkok, gesa pemerintah undur

BANGKOK, 20 JULAI: Ratusan rakyat Thailand mengadakan tunjuk perasaan di Monumen Demokrasi Bangkok malam kelmarin, meminta pengunduran pemerintah.

Mereka nekad melakukannya tanpa menghiraukan larangan berkumpul secara besar-besaran dalam keadaan darurat untuk mengekang penularan Covid-19.

Demonstrasi yang diketuai oleh kumpulan Free Youth itu berkumpul berhampiran Monumen Demokrasi di Ratchadamnoen Avenue, di Bangkok sejak petang semalam.

Penganjur membuat tiga tuntutan – pembubaran Parlimen, menghentikan gangguan terhadap pengkritik pemerintah dan menulis semula perlembagaan.

Dalam keadaan darurat, ketika ini, acara berkumpul secara besar-besaran dilarang di negara berkenaan.

Protes pada malam tadi adalah antara demonstrasi terbesar sejak rampasan kuasa junta tentera pada 2014.

Ratusan pegawai polis kelihatan berkawal, bagaimanapun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

-BERNAMA