Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia, lima beregu layak ke final jelajah dunia

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia dan lima beregu Malaysia berjaya melangkah ke Final Jelajah Dunia HSBC BWF yang akan diadakan di Impact Arena dari 27 hingga 31 Januari di Bangkok, Thailand.

Lima beregu negara itu adalah dua beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, dua gandingan wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen serta beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Kesemua mereka layak ke kejohanan akhir musim itu selepas tersenarai dalam lapan pemain dan beregu terbaik bagi setiap kategori dalam HSBC BWF Road to Bangkok Rankings.

Menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi laman webnya www.bwfworldtourfinals.bwfbadminton.com, maksimum dua pemain atau beregu bagi setiap Ahli Persatuan layak untuk menyertai Final Jelajah Dunia HSBC BWF.

Pemain diwajibkan menyertai kedua-dua kejohanan Terbuka Thailand Yonex dan Toyota untuk layak ke Final Jelajah Dunia HSBC BWF.

Bagaimanapun, Malaysia gagal untuk melayakkan diri dalam acara perseorangan wanita pada kejohanan yang menawarkan hadiah US$1.5 juta (RM6.07 juta) itu selepas tiada pemain dalam acara berkenaan tersenarai sebagai lapan pemain terbaik.

Undian untuk Final Jelajah Dunia HSBC BWF dijadualkan pada 10 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia) esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambutan Hari Kebangsaan meriah di Bangkok

BANGKOK, 31 OGOS: Biarpun berada jauh dari tanah air, sambutan Hari Kebangsaan ke-63 hari ini tetap meriah dalam keadaan norma baharu buat rakyat Malaysia yang berada di ibu negara Thailand.

Dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dikuatkuasakan kerajaan Thailand susulan pandemik Covid-19, kira-kira 100 rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di sekitar Bangkok, hadir di Kedutaan Besar Malaysia, bagi menyemarakkan sambutan hari bersejarah itu dengan penuh semangat patriotik.

Majlis bermula dengan acara menaikkan Jalur Gemilang dan semua hadirin diketuai Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku.

Jojie berkata walaupun berdepan pandemik Covid-19, ia tidak melunturkan semangat rakyat Malaysia memperingati detik penting dan istimewa negara.

“Hari ini bukan sahaja melambangkan sejarah pembentukan Malaysia berdaulat dan bebas merdeka, ia juga melambangkan kejayaan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dalam membina sebuah negara maju, aman dan makmur sepanjang 63 tahun negara kita merdeka,” katanya.

Jojie berkata kedutaan menganjurkan beberapa program bersempena Hari Kebangsaan dalam skala kecil yang hanya melibatkan warga kerja, ahli keluarga dan segelintir rakyat Malaysia yang berada di Bangkok.

Beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan ke-63 itu juga mengukuhkan hubungan diplomatik dua hala di antara Malaysia dan Thailand.

Hadir sama pada majlis sambutan Hari Kebangsaan itu ialah Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) Dr Hwee Khim Boo dan Presiden Kelab Malaysia Thailand Datuk Bobby Tai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Ratusan rakyat tunjuk perasaan di Bangkok, gesa pemerintah undur

BANGKOK, 20 JULAI: Ratusan rakyat Thailand mengadakan tunjuk perasaan di Monumen Demokrasi Bangkok malam kelmarin, meminta pengunduran pemerintah.

Mereka nekad melakukannya tanpa menghiraukan larangan berkumpul secara besar-besaran dalam keadaan darurat untuk mengekang penularan Covid-19.

Demonstrasi yang diketuai oleh kumpulan Free Youth itu berkumpul berhampiran Monumen Demokrasi di Ratchadamnoen Avenue, di Bangkok sejak petang semalam.

Penganjur membuat tiga tuntutan – pembubaran Parlimen, menghentikan gangguan terhadap pengkritik pemerintah dan menulis semula perlembagaan.

Dalam keadaan darurat, ketika ini, acara berkumpul secara besar-besaran dilarang di negara berkenaan.

Protes pada malam tadi adalah antara demonstrasi terbesar sejak rampasan kuasa junta tentera pada 2014.

Ratusan pegawai polis kelihatan berkawal, bagaimanapun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand percaya wujud dalang di sebalik siri letupan

BANGKOK, 6 OGOS: Pihak berkuasa Thailand percaya kumpulan dari selatan bertanggungjawab terhadap beberapa siri letupan di ibu kota ini, sejak Jumaat lalu.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan berkata, polis percaya ada dalang di sebalik letupan itu, bagaimanapun belum dapat disahkan sama ada serangan terbabit bermotifkan politik.

“Insiden ini sudahdirancang terlebih dahulu. Kami sedang dalam proses untuk mengesan bagaimana mereka (suspek) bergerak dan dari mana mereka mendapat bom,” katanya kepada media selepas mesyuarat mingguan kabinet di Rumah Kerajaan, hari ini.

Beliau berkata, polis tidak menolak sebarang motif berhubung insiden itu yang membabitkan “ramai” orang.

Prawit, timbalan perdana menteri yang bertanggungjawab dalam perkara berkaitan keselamatan, memberi taklimat kepada Kabinet berhubung beberapa siri letupan semasa ibu kota ini menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Mesyuarat Menteri-Menteri dan Mesyuarat Berkaitan.

Jumaat lalu, polis menjumpai sembilan bom, termasuk beberapa peranti yang tidak meletup, di lima lokasi di Bangkok selepas berlaku beberapa letupan kecil yang mengakibatkan empat orang cedera.

Sementara itu, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata polis menahan tujuh suspek disyaki terbabit dalam beberapa siri letupan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan bila dan di mana tujuh suspek itu ditahan.

Katanya, polis akan mempertingkatkan siasatan untuk memburu lebih banyak suspek.

Setakat ini, sembilan suspek ditahan untuk membantu siasatan. Dua lagi lelaki dari Narathiwat ditahan kerana disyaki menanam bahan letupan di kaki lima berhampiran ibu pejabat Polis Diraja Thai di Jalan Rama I di sini pada Khamis petang.

Sementara itu, Prayuth berkata beliau akan ke Yala di Selatan Thailand esok untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang berlarutan selama beberapa dekad itu.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

‘Malaysia Street Food Lover 2019’ di Bangkok hingga 23 Jun

BANGKOK, 20 Jun: Penggemar makanan berpeluang menikmati keenakan makanan jalanan Malaysia di pusat membeli belah Central World di Bangkok, Thailand bermula hari ini.

Lebih 60 jenis makanan jalanan Malaysia seperti Nasi Lemak, Satay, Roti Canai dan Asam Pedas tersedia untuk dinikmati di kembara ‘Malaysia Street Food Lover 2019’ yang diadakan di sini sehingga Ahad ini.

Selain itu, Hinava, Laksa Sarawak, Otak-Otak Daun Nipah dan beberapa kuih tradisional seperti Seri Muka dan Koci antara menu yang disediakan pada acara yang berlangsung selama empat hari itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata ‘Malaysia Street Food Lover 2019’ adalah inisiatif kementerian bagi menggalakkan usahawan makanan di bawah segmen makanan jalanan untuk mengembangkan pasaran kulinari.

“Ini adalah disebabkan keunikan menu hidangan Malaysia mempunyai cita rasa makanan yang serupa dengan negara Asean dari segi rasa – pedas, manis dan masam yang menjadikannya berpotensi untuk diterima rakyat Thailand.

“Malaysia Street Food Festival akan menonjolkan keunikan dan kepelbagaian menu hidangan Malaysia yang melambangkan kebudayaan dan warisan negara.

“Ini merupakan platform pemasaran bagi usahawan kulinari memperkenalkan menu hidangan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 24 usahawan dari Malaysia mempamerkan makanan jalanan Malaysia sempena Malaysia Fest 2019.

Kembara ‘Malaysia Street Food Lover 2019’ akan diteruskan di selatan Thailand bermula 27 hingga 30 Jun ini di Central Festival Hatyai, Songkhla.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata Malaysia yang mempunyai kepelbagaian budaya dan makanan itu digambarkan melalui pelbagai masakan yang dipamerkan di festival itu.

“Ini adalah peluang terbaik untuk rakyat Thailand mencuba makanan jalanan Malaysia yang asli,” katanya baru-baru ini. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

Polis Thailand rampas 500kg dadah di Bangkok

BANGKOK, 31 Mei : Polis Thai merampas 500kg dadah ‘ice’ yang disembunyikan di dalam bonet sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan menahan seorang rakyat tempatan dalam serbuan di sebuah pusat pemeriksaan di lebuh raya dalam daerah Saimai di Bangkok pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Chalermkiat Srivorakan berkata polis menjumpai 25 guni ‘ice’ atau hablur kristal methamphetamine yang dibungkus dan dilabelkan sebagai daun teh, di dalam bonet SUV itu, setiap satu seberat 20kg.

Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki berumur 32 tahun dari Narathiwat, yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, antara 2009 dan 2010.

“Suspek mengaku dia dibayar 100,000 Baht untuk mengambil dadah itu di wilayah Saraburi (tengah Thailand) untuk menghantar dadah itu ke wilayah sempadan selatan Thailand.

“Dadah itu dipercayai untuk diseludup dari kilang dadah di sebuah negara berjiran ke wilayah timur laut Thailand sepanjang Sungai Mekong ke wilayah sempadan selatan,” katanya pada sidang media di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Metropolitan Mej Jen Daoloy Muendet berkata siasatan awal mendapati dadah itu dipesan oleh dalang dari wilayah di selatan sempadan.

“Polis sudah mengenal pasti dalang itu,” katanya.

Dadah dipercayai akan singgah di Malaysia sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Retreat Bangkok tidak ada kaitan dengan Chin Peng

retreat

SUBANG JAYA 23 SEPT : Sesi retreat Exco Kerajaan Negeri di Bangkok tidak ada kaitan dengan kematian bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Ong Boon Hua @ Chin Peng, tegas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Retreat itu merupakan sesi perbincangan merangka Pelan Tindakan Lima Tahun melaksanakan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 Pakatan Rakyat, selain dari merisik pelabur penting dari Thailand, Central Group (CPN) dan mengenalpasti teknologi Industrialized Building System (IBS) untuk membantu pembinaan Rumah Mampu Milik di Selangor.

Bercakap kepada media seusai Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya, Abdul Khalid berkata keizinan diperoleh dari DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum sambutan Hari Malaysia, 16 September lepas.

“Saya tidak tahu siapa akan meninggal dunia pada Hari Malaysia,” katanya.

Chin Peng dilaporkan meninggal dunia ketika umurnya 88 tahun di Bangkok, Thailand, pada 16 September lepas. Beliau hidup dalam buangan di negara jiran dan tidak dibenarkan pulang ke Malaysia.

Beliau melancarkan perang gerila menentang penjajah British, dan kemudian memerangi Kerajaan Malaysia untuk menubuhkan pemerintahan komunis sehingga perjanjian damai dimeterai antara kedua-dua pihak pada 1989.