Categories
SELANGOR

Sunway Lagoon dibuka semula, patuhi semua SOP

PETALING JAYA, 5 JULAI: Selepas ditutup sejak 18 Mac susulan pandemik Covid-19, Sunway Lagoon membuka semula pintunya semalam dengan menyediakan hadiah istimewa kepada 1,000 pengunjung pertama dan pembeli pas Quack Xpress secara dalam talian.

Penolong Pengurus Besar Sunway Lagoon M.Magendran berkata persediaan menyeluruh dilakukan terutama dari segi kebersihan dan keselamatan bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan.

“Sebelum pembukaan semula, pekerja kami melakukan persediaaan bagi memastikan semua langkah keselamatan tersedia di Extreme Park, Water Park, Amusement Park, Scream Park dan Nickelodeon Lost Lagoon,” katanya kepada pemberita semasa majlis pembukaan semula taman tema itu di sini semalam.

Beliau berkata semua titik sentuhan di taman tema itu juga akan sentiasa dibersihkan manakala permainan tunggangan di pusat hiburan tersebut akan dinyah cemar selepas setiap kali digunakan.

“Suhu badan pengunjung juga akan diambil dan mereka perlu mengisi borang deklarasi diri secara digital sebelum memasuki Sunway Lagoon manakala pemakaian pelitup muka adalah digalakkan,” katanya.

Magendran berkata taman tema itu, yang meliputi kawasan seluas kira-kira 35 hektar dan memiliki lebih 90 tarikan, hanya akan membenarkan kemasukan 50 peratus daripada kapasiti pengunjungnya bagi memastikan penjarakan sosial.

Seorang pengunjung, Nurul Hidayah Che Su, 27, mengakui berasa selamat untuk mengunjungi Sunway Lagoon kerana taman tema itu mematuhi segala SOP.

“Selepas sekian lama terkurung, saya rasa ini adalah tempat terbaik untuk membawa keluarga keluar beriadah. Lagi pun, saya sangat berpuas hati dengan SOP yang disediakan,” kata pekerja swasta itu.

-BERNAMA