Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada telefon pintar? Boleh guna SMS ke SELangkah

SHAH ALAM, 19 JULAI: Sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi mengesan penjejakan kontak pesakit Covid-19 boleh digunakan individu tidak mempunyai telefon pintar, kata pengasasnya.

Dr Helmi Zakariah berkata mereka tidak perlu mengimbas kod QR sebaliknya hanya perlu menghantar data seperti nama dan nombor telefon menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) apabila memasuki premis.

“Kita mewujudkan sistem SMS ekoran ada segelintir masyarakat tidak mempunyai telefon pintar. Justeru, apabila wujudnya sistem ini mereka tidak perlu menulis secara manual di kertas sebaliknya hanya ikuti panduan disediakan di poster SELangkah.

Dr Helmi memberikan penerangan berkenaan SELangkah memainkan peranan dalam membentuk jaringan data berkesan untuk membantu mengekang penyebaran wabak Covid-19 kepada wartawan Media Selangor di Pusat Operasi SELangkah, Kuala Lumpur pada 16 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Menariknya, mereka yang menggunakan sistem SMS itu tidak dikenakan caj kerana ia disokong dan ditaja penuh Telekom Malaysia,” katanya ketika ditemui Media Selangor baru-baru ini.

Dr Helmi berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai keselamatan peribadi atau kerahsiaan data mereka terjejas kerana sistem SELangkah mematuhi sepenuhnya piawaian di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Beliau menggesa masyarakat terus menggunakan SELangkah dengan memberikan maklumat sahih bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan penularan Covid-19.

“Jika anda pemilik perniagaan, paparkan kod QR SELangkah di tempat anda, dan jika anda adalah pelanggan, pastikan peniaga tersebut menyediakan sistem SELangkah,” katanya.

Langkah penggunaan SELangkah menerusi SMS :

1) Taip kod kawasan (berbeza mengikut premis, kod terdapat di bawah kod QR)
2) Hantarkan ke 66399