Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Trafik harian LPT2 meningkat 70 peratus menjelang Aidiladha

KUALA TERENGGANU, 30 JULAI: Pengendali lebuh raya LPT2 Sdn Bhd menjangka Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 akan mengalami peningkatan kenderaan sehingga 70 peratus atau 35,000 sehari menjelang sambutan Aidiladha pada Jumaat ini.

Dalam kenyataannya semalam, Pengarah Eksekutif LPT2 Datuk Azman Ismail berkata secara purata, kira-kira 13,000 kenderaan menggunakan lebuh raya itu pada hari-hari biasa.

Menurutnya, bagi melancarkan perjalanan, buat pertama kali LPT2 bekerjasama dengan ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan memperkenalkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), melibatkan keseluruhan laluan lebuh raya di pantai timur (E8).

Bermula hari ini (semalam) dan esok (hari ini), pengguna dari Kuala Lumpur/Selangor menuju ke Pahang dinasihati memasuki lebuh raya antara 10 pagi hingga 1 tengah hari atau 8 malam hingga 11 malam, manakala bagi perjalanan ke Terengganu dan Kelantan, waktu disarankan ialah 6 pagi hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 10 malam.

Bagi perjalanan pulang ke Kuala Lumpur/Selangor pada 1 dan 2 Ogos, pengguna dari Pahang disaran berada di lebuh raya antara 6 pagi dan 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam, manakala pengguna dari Terengganu (melalui Plaza Tol Kuala Terengganu) dicadang memasuki lebuh raya bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari atau 8 malam hingga 10 malam.

Pelanggan dari Kelantan (melalui Plaza Tol Kuala Terengganu) pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya bermula 5 petang hingga 9 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam.

Maklumat trafik bagi KLK dan LPT1 boleh hubungi talian LPT-Line di 1700-818-700 atau mengikuti Facebook Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter di @LPTTrafik, sementara bagi LPT 2, orang ramai boleh dapatkan maklumat terkini antaranya menerusi Twitter @LPT2Trafik atau menghubungi talian LPT2Line di 1800 88 0220.

-BERNAMA