Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri: 45,000 kenderaan dijangka lalui LPT2 setiap hari

KUALA TERENGGANU, 10 SEPT: Syarikat konsesi lebuh raya, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Sdn Bhd menjangkakan pertambahan trafik antara 38,000 sehingga 45,000 kenderaan sehari apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan sedikit masa lagi.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT 2 Suhaimi Saat berkata selepas sekian lama berdepan sekatan akibat penularan pandemik Covid-19, orang ramai pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman atau melancong bagi melepaskan tekanan.

Sehubungan itu pihaknya telah melakukan persiapan rapi merangkumi aspek keselamatan dan kemudahan bagi memastikan pengguna mendapat pengalaman perjalanan yang selesa sekali gus tiba dengan selamat ke destinasi masing-masing.

“Pasukan penyelenggaraan dan kakitangan perkhidmatan pelanggan yang ditempatkan di laluan tertentu di sepanjang 184 kilometer lebuh raya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Malah semua kemudahan awam di kawasan lima Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah LPT 2 sentiasa dibersihkan mengikut jadual yang ketat untuk menjamin keselesaan pengguna dan ia adalah sebahagian komitmen jangka panjang LPT 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaimi berkata bagi meningkatkan aspek keselamatan pengguna, pihaknya juga menjalin kerjasama dengan pasukan trafik polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi penguatkuasaan di sepanjang lebuh raya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua pengguna supaya tidak mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 ketika berada di kawasan R&R dan hentian sebelah.

“Sila patuh kepada arahan supaya melakukan imbasan MySejahtera, memakai topeng muka dan penjarakan fizikal apabila berada di R&R dan hentian sebelah.

“Dengan pertambahan kenderaan, pastinya keadaan akan menjadi sesak dan amat penting untuk orang ramai mematuhi SOP demi kebaikan bersama,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Trafik harian LPT2 meningkat 70 peratus menjelang Aidiladha

KUALA TERENGGANU, 30 JULAI: Pengendali lebuh raya LPT2 Sdn Bhd menjangka Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 akan mengalami peningkatan kenderaan sehingga 70 peratus atau 35,000 sehari menjelang sambutan Aidiladha pada Jumaat ini.

Dalam kenyataannya semalam, Pengarah Eksekutif LPT2 Datuk Azman Ismail berkata secara purata, kira-kira 13,000 kenderaan menggunakan lebuh raya itu pada hari-hari biasa.

Menurutnya, bagi melancarkan perjalanan, buat pertama kali LPT2 bekerjasama dengan ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan memperkenalkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), melibatkan keseluruhan laluan lebuh raya di pantai timur (E8).

Bermula hari ini (semalam) dan esok (hari ini), pengguna dari Kuala Lumpur/Selangor menuju ke Pahang dinasihati memasuki lebuh raya antara 10 pagi hingga 1 tengah hari atau 8 malam hingga 11 malam, manakala bagi perjalanan ke Terengganu dan Kelantan, waktu disarankan ialah 6 pagi hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 10 malam.

Bagi perjalanan pulang ke Kuala Lumpur/Selangor pada 1 dan 2 Ogos, pengguna dari Pahang disaran berada di lebuh raya antara 6 pagi dan 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam, manakala pengguna dari Terengganu (melalui Plaza Tol Kuala Terengganu) dicadang memasuki lebuh raya bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari atau 8 malam hingga 10 malam.

Pelanggan dari Kelantan (melalui Plaza Tol Kuala Terengganu) pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya bermula 5 petang hingga 9 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam.

Maklumat trafik bagi KLK dan LPT1 boleh hubungi talian LPT-Line di 1700-818-700 atau mengikuti Facebook Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter di @LPTTrafik, sementara bagi LPT 2, orang ramai boleh dapatkan maklumat terkini antaranya menerusi Twitter @LPT2Trafik atau menghubungi talian LPT2Line di 1800 88 0220.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga pemandu berdepan detik cemas, kerbau melintas di LPT2

KUALA BERANG, 26 DIS: Tiga pemandu menempuhi detik cemas apabila kereta yang dipandu mereka merempuh seekor kerbau di Kilometer 422.3 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Ajil – Kuala Terengganu, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Adli Mat Daud berkata kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi apabila sebuah Perodua Myvi dipandu wanita berusia 28 tahun menghala arah Kuala Terengganu melanggar seekor kerbau yang melintas jalan secara tiba-tiba, menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melanggar penghadang besi di bahu jalan.

Beliau berkata kemudiannya sebuah Toyota Corolla Altis yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah Jerantut, Pahang menghala ke Jeram Hilir, Kuala Terengganu turut melanggar bangkai kerbau itu sehingga menyebabkan keretanya terbabas dan terbalik,” katanya dalam kenyataan, di sini malam tadi.

Katanya sebuah MPV Toyota Wish yang dipandu seorang lelaki 33 tahun pula yang dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang menghala ke Bachok, Kelantan, turut mengalami situasi yang sama apabila tidak sempat mengelak, lalu melanggar bangkai kerbau itu.

Adli berkata kemalangan itu menyebabkan pemandu Perodua Myvi dan Toyota Altis mengalami kecederaan ringan manakala pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

-BERNAMA