Categories
AGENDA NASIONAL

3,384 individu dikuarantin di hotel, institut latihan awam

SHAH ALAM, 1 OGOS: Seramai 3,384 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai sehingga semalam menjalani kuarantin wajib di tempat dikhaskan, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka ditempatkan di 14 hotel serta lima institut latihan awam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.

“Kesemuanya kembali dari 23 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda dan Australia.

“Manakala 13 daripada jumlah keseluruhan itu disaring di pintu masuk negara dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata sebanyak lapan operasi sanitasi dijalankan di lapan zon melibatkan enam di Sabah dan dua di Negeri Sembilan.

“Sejak 30 Mac kerajaan melakukan 9,456 operasi berkaitan merangkumi 134 zon dengan 12,776 premis disanitasi terdiri 5,602 bangunan kerajaan, 2,690 pusat perniagaan,2,539 tempat awam, 1,591 kawasan perumahan dan 354 pasar raya,” katanya.