Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak, remaja bawah 17 tahun tidak perlu kuarantin setiba di Malaysia mulai 1 April

SHAH ALAM, 9 MAC : Kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin selepas tiba di Malaysia mulai 1 April ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, golongan terbabit bagaimanapun hanya perlu menjalani kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sebaik tiba di Malaysia.

“Bagi pengembara yang sedang menjalani kuarantin sebagai contoh katakan individu itu tiba pada 29 Mac, tempoh kuarantin mereka akan berakhir pada 1 April.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang belum lengkap vaksinasi atau tiada langsung vaksinasi, perlu menjalani kuarantin selama lima hari selain perlu mematuhi syarat ditetapkan Malaysia sebaik menamatkan tempoh kuarantin,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Khairy turut menjelaskan kerajaan tidak bercadang untuk kembali semula kepada fasa pandemik sekiranya sudah beralih ke fasa endemik 1 April ini.

“Namun, sebagai kementerian kesihatan yang mengamalkan dasar kawalan penyakit berjangkit yang selamat dan menjaga kesihatan awam, kita sentiasa bersiap sedia dengan apa sahaja kemungkinan.

“Sekiranya muncul varian baharu bukan sahaja di Malaysia semua negara pun sudah pasti akan mengkaji protokol baharu…jika sistem kesihatan kita lumpuh kita akan mencadangkan langkah tertentu dibuat,” katanya.

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi batal peraturan penjarakan sosial, pelawat tidak perlu kuarantin

RIYADH, 6 MAC: Arab Saudi pada Sabtu mengumumkan bakal menarik balik beberapa lagi peraturan berkaitan COVID-19, susulan keadaan pandemik yang bertambah baik di negara itu.

Kementerian Dalam Negeri memutuskan bahawa penjarakan sosial akan ditarik balik tetapi rakyat masih perlu memakai pelitup muka di kawasan tertutup, lapor agensi berita Xinhua memetik SPA.

Selain itu, pengunjung yang masuk ke negara itu tidak perlu lagi menyediakan PCR atau ujian antigen pantas dan menjalani kuarantin wajib COVID-19 semasa ketibaan, tambah kementerian itu.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jika terima dos penggalak, kontak rapat tanpa gejala tidak perlu kuarantin mulai 1 Mac

SHAH ALAM, 24 FEB: Kontak rapat yang sudah menerima dos penggalak dan tiada gejala Covid-19 tidak perlu menjalani kuarantin mulai 1 Mac jika saringan negatif.

Mengumumkan peraturan baharu hari ini, menteri kesihatan menjelaskan mereka perlu menjalankan ujian pantas antigen (RTK-Ag) pada hari pertama dan ketiga dari tarikh akhir berhubung dengan pesakit.

Bagi individu yang lengkap vaksinasi, tambah Khairy Jamaluddin, mereka perlu menjalani kuarantin selama lima hari sama ada bergejala atau tidak.

“Walaupun tidak perlu menjalani kuarantin, mereka masih perlu mengemas kini maklumat MySejahtera bagi memudahkan kita mengesan kontrak rapat yang bergejala,” katanya pada sidang media yang disiar secara langsung.

Panduan baharu yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti dalam jadual di bawah.

Categories
AGENDA NASIONAL

55 jemaah umrah Malaysia positif Covid-19, jalani kuarantin di Mekah

SHAH ALAM, 30 DIS:  Kesemua 55 orang jemaah umrah dari Malaysia yang sedang menjalani kuarantin di Mekah, Arab Saudi kerana positif Covid-19 sejak Isnin lalu berada dalam keadaan baik.

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah berkata jemaah terbabit tidak menunjukkan simpton Covid-19 yang teruk dan ditempatkan di bilik hotel berasingan.

Katanya pihak agensi pelancongan yang membawa jemaah umrah itu menyediakan makanan dan minuman tiga kali sehari selain menghantar ubat-ubatan.

“Ujian PCR seterusnya akan dilakukan dalam masa terdekat. Jemaah yang mendapat keputusan negatif akan terus dibeli tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia,” katanya kepada Selangorkini melalui Facebook hari ini.

Terdahulu Wisma Putra ketika dihubungi menyatakan pihaknya berhubung rapat dengan para jemaah umrah terbabit dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah menghantar pasukan bagi memberikan bantuan.

Sementara itu Pengarah Urusan In Saff Travel and Tours Sdn Bhd Mohd Fahmi Mohd Nawi dalam kenyataan berkata pihaknya mempunyai pasukan operasi khas di Arab Saudi yang menyantuni jemaah bermula hari pertama mereka menjalani kuarantin.

“Kami telah memaklumkan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Arab Saudi berkenaan dengan isu ini pada 28 Disember dengan melampirkan maklumat jemaah seperti pasport, visa dan keputusan ujian PCR.

“Marilah sama-sama kita doakan agar jemaah kami sabar dan tabah serta cepat sembuh,” katanya.

Pada 28 Disember lalu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Arab Saudi dimasukkan dalam 18 negara berisiko tinggi jangkitan varian Omicron.

Jemaah umrah yang pulang ke tanah air kini diwajibkan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin.

Sabtu lepas Kementerian Kesihatan mengumumkan sebanyak 62 kes varian Omicron dikesan di negara ini dengan 30 daripadanya membabitkan jemaah umrah.
Categories
AGENDA NASIONAL

M Nasir positif Covid-19, kuarantin di rumah

SHAH ALAM, 13 DIS: Penyanyi dan komposer, Datuk M Nasir kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas disahkan positif Covid-19.

Berita berkenaan disahkan Datin Marlia Musa yang mengatakan suaminya dikesan dijangkiti virus berkenaan selepas menjalani ujian kendiri sebanyak dua kali, lapor portal BH Online.

Berikutan itu, Marlia berkata mereka sekeluarga terus melakukan ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) namun dirinya, anak dan pembantu rumah bebas Covid-19.

“Setakat ini beliau tidak apa-apa gejala dan hanya jalani kuarantin kendiri. Suami sepatutnya hadir program di Pesta Buku Selangor semalam,” katanya.

Tambah Marlia, beliau tidak tahu punca jangkitan berkenaan dan meminta orang ramai mendoakan kesembuhan suaminya.

Categories
AGENDA NASIONAL

5,947 individu mohon kuarantin di rumah sejak seminggu lalu

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Sejumlah 5,947 individu, kebanyakannya warganegara Malaysia, telah mengemukakan permohonan melalui portal Home Quarantine Application (HQA) sejak dilancarkan 20 Sept lalu untuk menjalani kuarantin di tempat kediaman.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sejak seminggu dilancarkan, portal HQA telah menerima sebanyak 4,883 permohonan lengkap dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,741 permohonan telah diproses.

“Sebanyak 1,612 telah diberi kelulusan untuk menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman,” katanya dalam kenyataan berkaitan perkembangan Covid-19 semalam.

Memperinci lanjut, Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah permohonan tersebut, 3,921 melibatkan pemohon warganegara Malaysia diikuti oleh 1,910 individu bukan warganegara dan pemastautin tetap Malaysia iaitu sebanyak 116 orang.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini melancarkan portal sebagai salah satu persiapan menghadapi pertambahan kemasukan pengembara dari luar negara atas pelbagai tujuan.

Portal khas ini diwujudkan bagi memudahkan urusan permohonan kuarantin di rumah atau tempat kediaman kepada pengembara dari luar negara yang tiba di Malaysia melalui pelbagai pintu masuk antarabangsa.

Menerusi portal HQA ini, pemohon perlu mengemukakan permohonan di antara tujuh hingga 10 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata sistem permohonan dalam talian ini masih dalam proses peralihan dan dijangka akan digunakan sepenuhnya mulai bulan depan.

Katanya KKM menyasarkan lebih banyak permohonan akan dapat diselesaikan dalam tempoh kurang dari tiga hari selepas ini sambil menambah ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu beliau menasihatkan semua pemohon yang telah diberikan kemudahan tersebut agar mematuhi arahan dan tatacara operasi piawai (SOP) kuarantin di rumah sepenuhnya.

“Ia penting agar dapat mengurangkan risiko daripada menyebarkan penyakit Covid-19 kepada keluarga dan komuniti dan mengelak penularan varian baharu terutamanya Variant of Concern (VOC) atau Variant of Interest (VOI) ke dalam negara,” katanya.

Keterangan lanjut mengenai portal HQA boleh didapati di laman sesawang https://hso.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa/.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Portal untuk penggembara mohon kuarantin dirumah dibuka mulai esok

SEPANG, 20 SEPT: Pengembara dari luar negara yang ingin menjalani kuarantin wajib di rumah atau kediaman boleh mengemukakan permohonan melalui Portal Home Quarantine Application (HQA) di laman web Kementerian Kesihatan (KKM) bermula esok, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Permohonan perlu dibuat dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum ketibaan ke Malaysia,” katanya, justeru pengembara yang akan tiba di Malaysia mulai 28 Sept boleh berbuat demikian melalui portal https://ecovid19.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa.

Sebelum ini, beliau berkata permohonan pengembara untuk kuarantin di rumah atau kediaman dibuat melalui emel [email protected], dan menyebabkan terdapat lebih 6,000 permohonan tertunggak.

“Dengan wujudnya portal HQA ini, pengurusan permohonan dapat dilakukan dengan lebih baik. Selepas ini tiada lagi urusan melalui emel. Hanya perlu pergi ke laman web KKM dan ke bahagian ‘Home Quarantine’ serta mengisi satu borang yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan ke Private Covid-19 Health Screening Centre di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, yang turut disertai Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Khairy berkata menerusi portal HQA, kelulusan bagi permohonan kuarantin akan diterima dalam tempoh tiga hari selepas pengembara menghantar permohonan lengkap.

Beliau berkata syarat untuk menjalani perintah kuarantin wajib di rumah atau kediaman akan diletakkan dalam portal tersebut dan antaranya ialah rumah atau kediaman tersebut mempunyai bilik dan tandas mencukupi bagi memastikan tiada pergaulan dengan ahli keluarga lain.

Beliau berkata KKM mempunyai kaedah tertentu untuk memastikan mereka yang kuarantin di rumah termasuk pengembara patuh pada arahan Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) antaranya menggunakan gelang pengawasan pengesan digital.

“Ini adalah projek perintis yang mana kita akan pakaikan mereka dengan gelang sepanjang tempoh kuarantin. Sebaik sahaja projek ini diuji terhadap beberapa orang yang disasarkan, kita akan lihat sama ada ia sesuai atau tidak,” katanya.

Mengenai lawatannya ke KLIA hari ini, Khairy berkata ia bertujuan meninjau persediaan pembukaan sempadan negara di bawah strategi Reopening Safely Malaysia.

Reopening Safely Malaysia adalah satu strategi untuk memulihkan negara dari krisis kesihatan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi yang dialami disebabkan krisis kesihatan.

“Sebab itu kita buat persiapan untuk Reopening Safely sempadan kita. Kita hendak melihat kepada persiapan kita di pintu masuk negara iaitu KLIA dan langkah-langkah yang dapat kita melaksanakan bersama terutamanya dengan MAHB apakah proses aliran yang lebih efisien, selamat dan teratur untuk mereka yang hendak masuk balik ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata antara penambahbaikan yang boleh dibuat di KLIA adalah mempermudahkan urusan pengembara dengan mengurangkan borang yang perlu diisi oleh mereka.

Katanya, perkara tersebut akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 untuk mempermudahkan prosedur sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau mengurangkan stesen-stesen yang perlu dilalui pengembara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

404 individu kuarantin jalani projek rintis pemakaian gelang peranti digital

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melaksanakan projek rintis pemakaian gelang peranti digital bagi individu yang menjalani kuarantin di rumah.

Menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ketika ini seramai 404 individu menjalani projek rintis berkenaan.

“Kalau kita berpuashati dengan ketepatan peranti ini kita akan laksanakan kepada lebih ramai individu yang menjalani kuarantin,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu katanya tiada kematian yang direkodkan KKM disebabkan oleh penerimaan vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 (PICK) dijalankan sehingga kini.

Menurutnya, menerusi kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI), hanya 20.7 peratus daripada 1,000 dos yang diberikan mempunyai reaksi ringan.

“Kesan sampingan ringan yang dilaporkan antaranya sakit di bahagian suntikan, pening kepala dan kelesuan dalam kalangan penerima vaksin,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Selcare dicadang bantu KKM pantau individu kuarantin di rumah

SHAH ALAM , 25 OGOS: Kerajaan Selangor dicadang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau tahap kesihatan individu positif Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah.

Wakil rakyat Sementa berkata saranan itu susulan beberapa kes sebelum ini yang tidak mendapat panduan sewajarnya sehingga menyebabkan gejala semakin teruk dan mengundang risiko.

“Klinik Selcare boleh berperanan memberi nasihat selain menyediakan ubat-ubatan yang diperlukan berdasarkan pemantauan secara dalam talian,” kata Dr Daroyah Alwi.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Daroyah berkata Kerajaan Selangor juga boleh melaksanakan khidmat kaunseling kepada penduduk negeri ini yang kehilangan ahli keluarga atau orang tersayang akibat Covid-19.

“Pimpinan kawasan perlu memainkan peranan masing-masing bagi bersama-sama membantu pihak yang memerlukan dalam keadaan mencabar ini.

“Kebajikan mereka perlu diberi perhatian oleh semua pihak sama ada wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung, ahli jawatankuasa masjid dan sebagainya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit Covid-19 jalani kuarantin kendiri ditemukan meninggal dunia di rumah

JOHOR BAHRU, 28 JUAI: Seorang pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin kendiri ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Jalan Bayan, Kampung Kenangan Tun Syed Nasir di Tangkak, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.48 pagi.

Beliau berkata kematian pesakit itu, Zuraimi Abd Aziz, 51, disedari oleh anak saudaranya ketika menghantar bekalan makanan apabila menemukan mangsa yang dipercayai tinggal seorang diri di rumah berkunci itu, tidak sedarkan diri.

“Anak saudara mangsa berasa curiga kerana bekalan makanan yang dihantar sebelum ini masih belum disentuh, menyebabkannya bertindak menjenguk melalui tingkap dan menyedari bapa saudaranya sudah terbaring.

“Anak saudaranya kemudian bertindak menghubungi pihak berkuasa dan menyerahkan kunci kediaman kepada bomba untuk melihat keadaan mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pegawai perubatan yang datang kemudian mengesahkan mangsa positif Covid-19 dan telah meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat positif Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir: Kuarantin di rumah jangkit ramai orang, segerakan vaksin semua

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kuarantin kendiri di rumah bagi pesakit Covid-19 tidak bersesuaian kerana boleh menjangkiti keluarga atau rakan, kata Ahli Parlimen Langkawi.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hal itu kerana sebilangan besar pesakit tersebut mungkin tidak diasing sekali gus akan merebakkan jangkitan kepada orang lain.

“Tahap jangkitan bagi 17,000 pesakit ini tidak sama. Sudah tentu hanya segelintir sahaja akan dirawat dan dimasukkan ke hospital manakala yang kurang serius pula mencecah ribuan kes dan terpaksa kuarantin di rumah.

“Mereka tidak dapat dikuarantin dengan betul, mungkin ada yang tidak diasingkan dan kesudahannya individu serumah pula akan keluar tanpa sedar sebenarnya menyebarkan wabak itu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata kes Covid-19 akan berterusan meningkat, malah daripada 17,000 kes baharu hanya 1,000 sahaja dapat dimasukkan ke hospital.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Semakin besar bilangan pesakit yang dikuarantin di rumah, semakin banyak jumlah kes baharu. Oleh itu, satu-satunya jawapan adalah vaksinasi.

“Dos vaksin 500,000 sehari tidak cukup. Vaksinasi percuma ini harus diberikan kepada semua individu dengan kadar segera,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kontak rapat digalak buat ujian sendiri, terus kuarantin

SHAH ALAM, 24 JULAI: Individu yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 dan tidak bergejala digalak melakukan ujian Covid-19 di klinik atau menggunakan kit ujian kendiri dan seterusnya kuarantin di rumah.

Timbalan ketua pengarah kesihatan (kesihatan awam) berkata saranan itu bagi mengurangkan bebanan hospital di Lembah Klang dalam menguruskan jangkitan wabak.

“Dengan melakukan ujian kendiri dan pengasingan di rumah, diharapkan agar kes yang memerlukan rawatan dapat diberikan dengan kadar segera.

“Manakala kontak rapat yang tidak bergejala dapat melakukan ujian kendiri. Ini akan dilaksanakan apabila kit ujian kendiri boleh didapati dengan meluas,” kata Datuk Dr Chong Chee Kheong menerusi kenyataan.