Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Merdeka tekad raih kebebasan, elak sikap curiga

SHAH ALAM, 30 OGOS: Merdeka bukan hanya diukur pada slogan atau patriotik memasang bendera, sebaliknya mencakupi janji atau tekad meraih kebebasan dan keadilan kepada semua kaum.

Ketua pembangkang berkata merdeka juga tidak bererti jika rakyat masih dirundung kemiskinan, jurang pendapatan dibiar melebar dan elit politik terus mangaut kekayaan.

“Mengulangi sikap rasuah, kepincangan, kebobrokan dalam aspek tatakelola; apakah itu boleh dikatakan memaknai semangat merdeka?

“Dan apa maksud merdeka sekiranya rakyat atau warga di negara ini terus mencurigai antara satu dengan yang lain?” soal Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan merdeka.

Presiden Parti Keadilan Rakyat itu turut mengajak rakyat meraikan merdeka dengan tekad dan semangat luar biasa serta menolak kebencian dan curiga antara kaum.

“Kita punya visi besar untuk tanah air tercinta yakni membangun Malaysia yang serba baharu, baik dari segi pemikiran, perekonomian, tadbir urus dan sikap.

“Selamat menyambut Hari Merdeka kepada seluruh anak watan. Merdeka!” katanya lagi.