Categories
AGENDA GLOBAL

Ekonomi Thailand bertambah baik selepas longgar sekatan

BANGKOK 1 OGOS: Ekonomi Thailand bertambah baik berbanding bulan sebelumnya berikutan kelonggaran secara berperingkat sekatan pergerakan dilaksanakan di negara itu dan di luar negara.

Bank of Thailand (BoT) berkata pendekatan itu menyokong penyambungan semula kegiatan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Nilai eksport barangan termasuk emas, penggunaan swasta dan petunjuk pelaburan swasta dan pengeluaran pembuatan menguncup pada kadar yang rendah.

“Perbelanjaan awam meningkat dalam perbelanjaan semasa dan juga modal, bagaimanapun sektor pelancongan terus menyusut dengan ketara disebabkan sekatan perjalanan antarabangsa,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

BoT berkata nilai eksport barangan turun 24.6 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas, naik sedikit berbanding bulan sebelumnya.

Katanya, kecuali bagi emas, kadar penguncupan berkurangan dengan ketara kepada 18.4 peratus daripada 29.0 peratus bulan lalu.

“Ini berikutan peningkatan eksport dalam hampir semua kategori seiring dengan kegiatan ekonomi yang bertambah baik di negara rakan dagangan selepas langkah sekatan dilonggarkan,” kata bank pusat itu.

-BERNAMA