Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah penduduk Malaysia isi e-Census masih di bawah sasaran

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Jumlah penduduk Malaysia yang mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian, atau “e-Census” masih di bawah sasaran.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kurang daripada 10,000 isi rumah mengisi e-Census setiap hari berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 37,000 isi rumah.

“Sasaran masih jauh, sehari secara purata kita sasarkan 37,000 isi rumah tetapi sekarang sehari hanya 8,000 hingga 10,000 yang mengisi secara e-Census…kita akan cuba tingkatkan (bilangan mengisi e-Census),” katanya kepada Bernama, di sini semalam ketika ditanya mengenai perkembangan Banci 2020.

Setakat ini hampir 500,000 penduduk Malaysia telah mula melaksanakan tanggungjawab dengan mengisi maklumat Banci 2020 sejak 7 Julai lepas, katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan mendadak individu mengisi e-Census pada Ogos ini susulan pihaknya giat melakukan pelbagai promosi.

“Kita pun telah bergerak dengan fokus kepada agensi-agensi kerajaan dan beberapa negeri juga telah kita turun padang untuk promosi e-Census,” kata Mohd Uzir.

Projek bancian yang memasuki edisi keenam kini melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta kediaman, dijalankan dalam dua fasa, dengan fasa pertama bermula dari 7 Julai hingga 30 September ini dilaksanakan menerusi e-Census, manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Okt menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

– BERNAMA